Khamis, 4 Februari 2010

Pupuk rakyat berintegriti

Oleh ROHANA MUSTAFFA

Bahagian Penerbitan Dasar Negara menjelaskan nilai integriti dalam 1Malaysia yang dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah bagi sebuah kerajaan, ia hendaklah sebuah kerajaan yang mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Dari mana kepercayaan dan keyakinan ini diperoleh? Pastinya melalui nilai-nilai integriti yang diamalkan dari peringkat pemimpin hinggalah ke bawah tanpa mengira kedudukan.

Mereka yang dianggap berintegriti ialah mereka yang bersikap jujur terhadap tindakan dan percakapan, bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.

Dalam hal ini masyarakat Malaysia yang berintegriti diharapkan cenderung berusaha memperbaiki kesilapan, dan tindakan yang salah, perlu diperbetul.

Individu yang berintegriti ialah mereka yang sentiasa menepati janji dan masa kerana sekali janji dimungkiri, ia boleh menghakis kepercayaan dan kesetiaan orang yang terlibat.

KESINAMBUNGAN DASAR

Konsep 1Malaysia memang tidak dianggap satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Maka penekanan terhadap nilai integriti ini juga ialah kesinambungan kepada nilai yang sama yang ditegaskan di bawah perdana menteri-perdana menteri Malaysia yang terdahulu.

Semasa mengaitkan konsep 1Malaysia yang diperkenalkannya, Najib sememangnya memberikan penghargaan kepada pemimpin UMNO dan negara sebelumnya yang menerajui parti dan negara berpaksikan Perlembagaan dan Rukun Negara serta realiti kepada masyarakat majmuk negara.

Nilai integriti ini tidak terkecuali, contohnya di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, penjawat awam sudah ditekankan dengan pelbagai dasar yang menjurus kepada melahirkan pekerja atau individu yang berintegriti.

Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam menitik beratkan semua ciri-ciri ke arah membentuk jentera kerajaan dan petugas yang mempunyai integriti.

Slogan seperti "Kepimpinan Melalui Teladan" dan "Bersih, Cekap dan Amanah" ialah antara contoh bagaimana Dr. Mahathir ketika itu serius untuk melihat pemimpin, kerajaan dan penjawat awam yang benar-benar diterima dan diyakini ramai.

NILAI INTEGRITI

Integriti dikaitkan dengan nilai amanah, jujur, boleh dipercayai dan sentiasa memelihara kepentingan awam tanpa mengambil peluang untuk kepentingan diri sendiri. Sebarang kerja yang dibuat ialah pengorbanan yang penuh ikhlas dan bertanggungjawab.

Di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi pula, soal integriti ditegaskan lagi dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia dengan slogan "Membudayakan Integriti Masyarakat Malaysia". IIM bertanggungjawab melengkapkan usaha pelaksanaan integriti ini dengan membentuk Pelan Integriti Nasional atau PIN.

Visinya ialah membentuk masyarakat Malaysia yang beretika, berintegriti dan berdaya tahan di mana warganya mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi budi pekerti yang mempunyai nilai-nilai murni sejagat.

Pendekatan falsafah ini melibatkan seluruh rakyat Malaysia yang merangkumi sektor awam, sektor swasta, sektor politik, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat umum.

Peranan IIM banyak, termasuk mengendalikan penyelidikan berkaitan dengan integriti institusi dan masyarakat; menganjurkan persidangan, seminar dan forum, menghimpun pendapat pelbagai sektor mengenai kemajuan atau halangan kepada pelaksanaan integriti, menerbit dan mengedarkan bahan bercetak, menggubal, melaksanakan program latihan dan pendidikan mengenai integriti dan memberi khidmat nasihat kepada kerajaan mengenai program dan strategi bagi meningkatkan integriti sebagai teras budaya kerja.

IIM masih meneruskan fungsinya yang secara langsung menyambut konsep 1Malaysia dengan usaha memperkukuh nilai murni integriti di bawahnya.

Umpamanya pada tahun lepas ia menganjurkan sekurang-kurangnya empat seminar pengukuhan integriti bagi pemimpin masyarakat yang melibatkan lebih 3,000 orang, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Tujuannya ialah untuk menyedarkan JKKK akan peranan mereka selaku ejen pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia dan mengingatkan pemimpin tentang tanggungjawab mereka.

MAKNA INTEGRITI

Nilai integriti dalam 1Malaysia yang ditekankan Najib sudah tentunya tidak lari daripada PIN sendiri yang mendefinisikan integriti itu secara umumnya sebagai kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Dan sudah tentu integriti berkait rapat dengan etika dalam tindakan seharian.

PIN mengasingkan makna integriti individu kepada keselarasan di antara apa yang dikatakan seseorang dengan apa yang dikotakan, keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan di antara kepentingan diri dan umum.

Individu yang apabila bertindak secara konsisten dalam pelbagai segi, dikatakan mempunyai integriti dan apabila bertindak sebaliknya, dia dikatakan tidak berintegriti atau lemah integriti.

Integriti organisasi pula dicerminkan melalui kod etikanya, piagam pelanggan, proses kerja dan pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika organisasi yang dipraktik dan dan dihayati petugas akhirnya diharapkan menjadi budaya organisasi.

Dalam mematuhi falsafah "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' integriti penjawat awam diukur daripada bagaimana dia melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum.

PIN menekankan bahawa penjawat awam tidak boleh menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara dan kenalan dan apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam.

Penjawat awam yang berintegriti ialah yang telus dan tulus dalam memikul tanggungjawab terhadap ketua, orang di bawahnya dan pihak lain.

Yang menjadi visi di bawah 1Malaysia ialah amalan etika yang baik dan nilai integriti pada individu ini menjadi proses pembudayaan yang berterusan.

Pembudayaan yang serupa seharusnya diterapkan bagi nilai-nilai murni yang lain, sehingga melahirkan warga yang semula jadinya mantap peribadinya dan warga Malaysia yang meletakkan kepentingan negara mengatasi segala kepentingan lain.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan