Mampukah kedudukannya dipertahan seperti dalam Perlembagaan Negara
BEBERAPA ilmuwan bukan Melayu mengejutkan khalayak Wacana Hari Pejuang Bahasa 152 ketika memperkatakan ranjau dan duri yang terpaksa dilalui bahasa Melayu apabila mereka tampak lebih Melayu daripada sesetengah bangsa Melayu sendiri dalam hal ini.
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Ridhuan Tee Abdullah, sebagai Cina Muslim tampak begitu bersimpati dengan nasib bahasa Melayu di negara ini apabila keluar dengan pandangan bahawa segala yang disaran dan diperdebatkan mengenai isu bahasa Melayu tidak akan bermakna tanpa ada semangat yang kuat.
“Soal bahasa adalah perkara besar kerana ia juga boleh diletakkan sebagai maruah sesuatu bangsa. Soalnya sekarang ialah siapa yang ingin melaksanakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan? Sampai bila isu bahasa mahu dipolitikkan. Kita semua perlu ada sikap bertolak ansur.
“Jika jiwa pihak atasan sudah tiada jiwa Melayu, bagaimana caranya mereka ingin mendidik orang yang berada di bawah untuk mencintai bahasa rasmi sendiri,” soalnya dalam nada sebak pada wacana di Balai Budaya Tun Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Wacana bersempena Majlis Perasmian Hari Pejuang Bahasa ‘152’ dihadiri lebih 100 peserta menyarankan semua rakyat Malaysia tidak mengira agama, bangsa dan warna kulit, perlu bersatu padu mempertahankan dan mendaulat kembali bahasa Melayu pada kedudukan sewajarnya.
Pensyarah Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Dr S Nathesan Sellapan, pula berpandangan bahawa bahasa Melayu bukan saja untuk orang Melayu, tetapi ia adalah bahasa bangsa Malaysia yang perlu diselaraskan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Perjuangan ini tidak boleh dilakukan oleh bangsa Melayu saja kerana ia perlu dilaksanakan oleh semua masyarakat di Malaysia, malahan kita boleh lihat bahawa pembabitan masyarakat di Sabah dalam mendaulatkan bahasa Melayu adalah sangat kuat,” katanya.
Semangat memartabatkan bahasa Melayu semakin membara apabila Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Profesor Emeritus Dr Abdullah Hassan, menekankan tidak mudah untuk ‘memandaikan’ rakyat Malaysia seramai 24 juta orang dalam bahasa Melayu.
“Ini kerana ia memerlukan ketekunan, dokongan dan kewangan daripada pihak berwajib. Isu penggunaan bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan membawa banyak mudarat kepada pembangunan modal insan untuk negara ini,” katanya yang juga Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).
Beliau berharap bahasa Melayu diperkasakan semula ekoran kejayaannya ditenggelamkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 dan turut membidas segelintir pemimpin yang ‘lebih sudu daripada kuah’ dalam isu bahasa Inggeris, sedangkan bahasa mereka tidak sehebat mana.
“Sejak pelaksanaan PPSMI, setiap tahun 300,000 pelajar terkandas dan siapa yang wajar dipertanggungjawabkan atas kegagalan ini. Saya berharap Kementerian Pelajaran dapat memperbaiki kembali kerosakan ini agar pelajar ini tidak kecundang.
“Semua pihak perlu sedar bahawa kita tidak boleh membina peradaban tanpa ilmu yang dikendalikan dalam bahasa kita sendiri. Hanya dengan ilmu di dalam bahasa rasmi negara ini, kita dapat membina peradaban dan memantapkan negara,” katanya
Ledakan kemarahan berhubung perkara ini dapat dikesan pada Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad yang nyata kesal dan peliknya kerana bahasa Melayu masih bergelut dengan usaha memartabat, memperkasa dan memperjuangkannya selepas lebih 52 tahun dasar kebangsaan digubal.
“Hal ini pelik bagi saya, kerana bahasa yang martabatnya hendak diperjuangkan atau diperkasakan ini bukan bahasa kecil-kecilan atau yang hayatnya hampir pupus tapi, ia adalah bahasa besar yang lebih 1000 tahun menjadi alat pembina tamadun tinggi di seluruh rantau Melayu-Indonesia,” katanya ketika menyampaikan ucap utama Perjuangan Bahasa Melayu Yang Tidak Sudah-Sudah. Mengapa?
Baginya masalah yang timbul berkenaan bahasa Melayu bukan disebabkan ia tidak layak menjadi alat kemajuan bangsa dan negara, tetapi kerana dasar yang ada tidak dilaksanakan dengan tegas, benar dan jujur, sering kali diselewengkan pihak tertentu.
“Dasar itu selalu dikotak-katik atau menjadi mangsa pendirian, pendapat dan kepercayaan orang berkuasa, lalu diubah sesuka hati tanpa merujuk kepada Perlembagaan Negara, Parlimen, undang-undang bahasa ataupun secara rundingan dan perbincangan dengan pakar dasar bahasa Melayu di negara ini,” tegasnya.
Dr Hassan berpendapat, orang yang tidak pandai menggunakan bahasanya sendiri, tidak pandai berfikir lagi dalam bahasanya, tidak layak menjadi wakil rakyat, menteri dan pegawai kerajaan di negaranya selain berharap NGO Melayu bersatu untuk mempertahankan taraf dan fungsi bahasa Melayu dan tidak membiarkan ia diperalatkan sesiapa juga.
Pada sesi soal jawab, Pensyarah Jabatan Malaysia dan Indonesia, Pusan University of Foreign Studies, Prof Dr Kang Kyoung Seok, berkata penggunaan bahasa utama dunia bukanlah tunjang utama kegemilangan dan kemajuan sesebuah negara.
“Korea sendiri tidak mendaulatkan dan mengutamakan bahasa Inggeris dalam aspek pembangunan ekonomi dan pendidikan kerana bagi kami, bahasa Korea sangat indah dan perlu dikekalkan. Saya sendiri berpandangan bahawa bahasa Melayu adalah antara bahasa indah di dunia dan wajar didaulatkan dalam negara dan rumpunnya sendiri,” jelasnya.
Sumber : http://www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan