Isnin, 22 Februari 2010

Bahasa Melayu istilah tepat

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Sejarah membuktikannya dan tidak perlu diubah hanya kerana takut

PENGGUNAAN istilah bahasa Melayu lebih tepat berbanding bahasa Malaysia berdasarkan bukti sejarah, pandangan akademik dan hakikat ilmu, sekali gus menjadikan usul Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) Ke-15, pada bulan lalu, wajar diambil perhatian oleh kerajaan.

Pengerusi Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rahim Aman, berkata penggunaan istilah bahasa Malaysia lebih berbentuk politik dan tidak merujuk kepada ilmu bahasa, sedangkan istilah yang tepat ialah bahasa Melayu dengan mengambil kira sejarah, akademik dan hakikat ilmu.

Kerajaan mungkin melihat integrasi nasional sehingga mengharapkan semua etnik di negara ini menerimanya sebagai bahasa nasional. Bagaimanapun, ia tidak benar jika kita melihat berdasarkan konsep akademik kerana sejarah kita lebih kepada penggunaan istilah bahasa Melayu dan sudah pun diterima oleh semua etnik di negara ini,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Dr Rahim berkata, penggunaan istilah bahasa Melayu sudah wujud sebelum Kesultanan Melayu Melaka diasaskan seperti yang digunakan oleh Kerajaan Melayu Funan, manakala pembukaan Melaka memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa terbabit.

Kerajaan Johor-Riau selepas jatuhnya Melaka, juga berkembang sebagai pusat pentadbiran, ilmu, ekonomi dan persuratan Melayu sehingga bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa penyatu kepada etnik yang ada.

“Kalau kita lihat bahasa Inggeris pun sebenarnya berasal daripada dialek yang asalnya berkembang di wilayah England yang masih kecil ketika itu, tetapi diangkat menjadi bahasa kebangsaan mereka selaras dengan perkembangan kota London sebagai pusat ekonomi dan kecemerlangan tamadun,” katanya.

Apatah lagi istilah bahasa Melayu, masih digunakan dalam konteks akademik sehingga pusat dan program pengajian masih mengekalkan bahasa Melayu kerana universiti dibina atas asas akademik, berdasarkan sejarah bahasa Melayu yang lama itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran perubahan itu kerana bahasa Melayu sudah pun kukuh dan berupaya menjadi bahasa penyatu sehingga generasi terdahulu sejak ratusan tahun dulu dapat menerimanya.

Kita jangan berasa takut pada perkataan Melayu kerana sifat takut itu sendiri sebenarnya menggalakkan perkauman, sebaliknya penggunaan Melayu, boleh mencairkan perkauman kerana semua etnik di negara ini menerimanya.

“Bahasa Cina dan bahasa Tamil masih ada tetapi mengapa kita korbankan bahasa Melayu sedangkan saya yakin orang Cina sendiri menerima istilah itu kerana tidak ada demonstrasi atau bantahan daripada etnik lagi,” katanya.

Mengenai istilah bangsa Melayu, Dr Rahim mengambil pendekatan untuk menerima penggunaannya kerana bangsa merujuk kepada bangsa yang membina sesebuah negara, manakala etnik atau kaum pula digunakan untuk Melayu, Cina, India serta etnik di Sabah dan Sarawak.

“Semua etnik itu menjadi warga negara, iaitu bangsa Malaysia seperti bangsa Amerika yang diwakili pelbagai etnik, sekali gus penggunaan bangsa Malaysia wajar dikekalkan untuk menimbulkan kebanggaan kerana tanah ini menjadi tempat kita hidup, membina kehidupan dan mati,” katanya.

Pandangan Dr Rahim senada dengan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Adi Yasran Abdul Aziz, dalam soal penggunaan bahasa Melayu, tetapi berbeza dalam konteks penggunaan bangsa Melayu.

Istilah bahasa Melayu sudah digunakan pada Batu Bersurat Terengganu pada 1303 Masihi dan terus digunakan sehingga 1970 tanpa ada sebarang isu berbangkit sehingga ketika mencapai kemerdekaan, bangsa lain tidak membantah apabila ia dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” jelasnya.

Justeru, ada keperluan untuk menilai kembali perubahan istilah kepada bahasa Malaysia kerana ia berkaitan dengan jati diri orang Melayu sedangkan bahasa dan bangsa adalah fitrah kejadian, lalu perubahan mesti dibuat ke arah kebaikan dan sekiranya tiada manfaat besar kepada orang Melayu, perubahan tidak perlu.

Bahasa Melayu sudah diterima berabad-abad lama. Bahasa dan bangsa ialah fitrah kejadian. Apabila seseorang dibesarkan dalam keluarga Melayu yang menggunakan bahasa ibundanya, individu berkenaan akan turut berbahasa Melayu, iaitu peringkat pemerolehan bahasa,” katanya.

Beliau meminta pihak yang mahu mencipta istilah, terlebih dulu merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertanggungjawab dalam perkara terbabit kerana ia perlu mematuhi prosedur tertentu sebelum istilah berkenaan diterima pakai.

Berbincang dulu dengan ahli bahasa sebelum menukarkannya. Sekiranya ada kepentingan politik dan perpaduan, ahli bahasa terbuka dalam menilai. Apatah lagi dari segi undang-undang, ia tidak tercatat sebagai bahasa kebangsaan ialah bahasa Malaysia. Sebaliknya Perkara 152 menegaskan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” tegasnya.

Mengenai istilah bangsa Malaysia, Dr Adi Yasran menganggap istilah itu sebagai idaman yang belum berlaku, sebaliknya penggunaan masyarakat Malaysia lebih tepat berdasarkan realiti rakyat di negara ini yang berada di bawah pentadbiran dan pemerintahan Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

1 ulasan:

  1. Hmmm,... kalau nak debat hanya pada nama Melayu atau Malaysia, entah sampai bila nak habis?

    Yang penting perkasakan bahasa ini. Ia sedang mengalami krisis keyakinan penuturnya sendiri.

    BalasPadam