Sabtu, 6 Mac 2010

Profesor Dr. Awang Sariyan Sokong Wajibkan Kursus Bahasa Melayu Kepada Pelajar Asing

Prof. Dr. Awang Sariyan

SAYA menyokong sepenuh-penuhnya ketetapan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mewajibkan kursus bahasa Melayu kepada 65,000 orang pelajar asing di institusi pengajian tinggi di negara ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Dato’ Seri Mohd. Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Ketetapan itu sebenarnya merupakan pengisian dasar yang telah diputuskan oleh Kerajaan Malaysia sendiri sebagai susulan Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan tiga subjek wajib untuk diikuti oleh pelajar asing, iaitu bahasa Melayu, pengajian Malaysia dan pendidikan moral.

Bahkan dasar mewajibkan penguasaan bahasa kebangsaan negara tuan rumah seumpama itu telah menjadi amalan sejagat di negara-negara lain yang menerima pelajar dari luar negara sejak lama dahulu.

Kejayaan dasar itu di negara ini telah dilaksanakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak lebih 20 tahun sehingga memungkinkan pelajar dari luar negara di universiti itu dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat setempat, serta dapat menghayati budaya di negara ini.

Sukatan pelajaran bahasa Melayu untuk pelajar asing sebenarnya telah pun disiapkan, pada waktu itu oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dengan bantuan pakar-pakar bahasa, semasa hal ehwal pengajian tinggi masih di bawah Kementerian Pendidikan.

Pihak pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia diharapkan dapat membuat langkah susulan dengan segera untuk melaksanakan ketetapan yang dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu.

Ini merupakan salah satu langkah yang praktis dan mulia untuk memperdanakan bahasa Melayu dalam kalangan warga dunia, kerana pelajar yang pulang ke negara masing-masing pasti dapat menjadi sumber pengembangan bahasa Melayu di negara masing-masing.

Dengan terdapatnya 130 buah institusi pengajian tinggi di 45 buah negara sedunia yang mengajarkan pengajian Melayu, langkah kerajaan Malaysia memperkenalkan bahasa Melayu kepada pelajar dari luar negara yang belajar di negara ini pasti dapat meningkatkan martabat bahasa Melayu dengan lebih cepat dan meluas.

Prof. Dr. Awang Sariyan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Universiti Pengajian Asing Beijing

Sumber : http://mstar.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan