Tawaran menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS tentunya berita yang sangat menggembirakan pelajar dan seluruh keluarga. Justeru, tidak hairan jika ada yang sanggup berhabis menyediakan bas rombongan untuk mengangkut jiran sekampung semata-mata untuk menghantar anak masuk ke universiti. Kegembiraan itu ditambah lagi dengan majlis kenduri kesyukuran yang diadakan.
Namun lebih daripada itu, setiap pelajar selayaknya mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas kurnia Ilahi kerana terpilih masuk ke universiti. Mana tidaknya, antara ratusan ribu pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang lalu, hanya sebilangan kecil ditawarkan ke IPTA/IPTS yang menyediakan tempat terhad kepada mereka yang benar-benar layak.
Seterusnya kejayaan itu hendaklah dibuktikan pula dengan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi agama, bangsa dan negara. Sedia difahami bahawa kejayaan yang bakal dikecapi tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa disertai usaha dan komitmen yang jitu oleh setiap pelajar.
Jangan hanya bersikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ di awal semester tetapi setelah tahu selok-belok berada di universiti, mereka mula lalai tidak hadir ke kuliah, terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah, asyik dilamun cinta yang kesemuanya bakal memusnahkan harapan keluarga dan negara.
Apatah lagi setelah berjaya mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang jika tidak diurus dengan baik pasti akan digunakan untuk tujuan yang tidak betul.
Golongan mahasiswa juga perlu mengikhlaskan niat sejak hari pertama melangkah kaki ke universiti, untuk menuntut ilmu semata-mata kerana Allah SWT dan tidak hanya berharap segulung sijil dan gaji lumayan apabila bergraduat nanti.
Dewasa ini, terdapat golongan terpelajar yang terjebak melakukan aktiviti jenayah kolar putih seperti rasuah, penipuan dan pecah amanah kemungkinan disebabkan tiada keberkatan ilmu akibat niat yang tidak ikhlas.
Tiada kesepaduan antara ilmu dan amal juga boleh menyumbang kepada gejala buruk itu. Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda: “Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah”.
Selain itu, para pelajar juga diingatkan agar sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT. Amalan berdoa dan memohon pertolongan-Nya adalah jalan terbaik untuk cemerlang. Ini kerana walau genius mana sekalipun seseorang itu, tanpa hubungan erat dengan Pencipta-Nya, seseorang itu tidak akan berjaya dalam erti kata kejayaan holistik, dunia dan akhirat.
Golongan pelajar Muslim juga dinasihatkan tidak mengabaikan tanggungjawab utama iaitu melaksanakan ibadat wajib yang diperintahkan Allah SWT seperti sembahyang lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadan.
Alasan kesuntukan masa, sibuk dengan kuliah, banyak tugasan untuk diselesaikan bukan hujah untuk tidak mengerjakan perintah itu. Ini kerana sebagai individu Muslim, ibadah kepada Allah SWT wajib diutamakan sebelum yang lain-lain. Menurut Waqi, guru kepada Imam Shafie, ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak dikurniakan kepada pelaku maksiat.
Pelajar juga diingatkan agar sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT terutama dari aspek pemakaian yang menutup aurat, menjaga batasan pergaulan lelaki dan perempuan serta jangan terlibat dengan perkara-perkara yang melanggar peraturan agama mahupun universiti seperti menganggotai pergerakan Jemaah Islamiyah (JI) yang boleh menimbulkan huru-hara dalam negara.
Ia bertepatan dengan status sebagai pelajar universiti yang matang dan boleh mempertimbangkan sesuatu dengan baik berasaskan akal yang sihat dan landasan agama yang benar. Justeru, sebelum melakukan sesuatu, berfikirlah dengan matang dan bijaksana.
Golongan pelajar juga perlu bersedia untuk berkorban sepenuh masa dan sekuat tenaga untuk berjaya mengharungi liku-liku perjalanan sebagai pelajar universiti. Ia tak ubah seperti tentera yang bersabung nyawa berjihad di jalan Allah SWT. Malahan jika diperhalusi, ia adalah perjuangan untuk menaikkan kembali maruah dan ketinggian Islam melalui peradaban dan ketamadunan ilmu yang dikuasai oleh umatnya.
Nama-nama tersohor seperti Abu Muhammad al-Khawarizmi, al-Biruni, al-Farabi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi adalah bukti kegemilangan tamadun Islam terdahulu yang berpaksikan kepada ilmu pengetahuan sebagai teras kegemilangan.
Nabi Muhammad SAW direkodkan pernah bersabda: “Barang siapa yang inginkan dunia dan kemewahannya hendaklah dengan ilmu, barang siapa yang inginkan akhirat dan kenikmatannya hendaklah dengan ilmu dan barang siapa yang ingin kedua-duanya (dunia dan akhirat) juga hendaklah dengan ilmu.”
Justeru peluang mendapat tempat di universiti perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh pelajar agar menjadi insan berguna satu masa nanti. Begitu juga diingatkan agar tidak ada yang menjadikan segulung ijazah untuk mendabik dada dan menyombong diri sehingga berasa dialah yang terbaik daripada segala-galanya.
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor BahruSumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan