Isnin, 14 Jun 2010

Penjajahan asap


Oleh Mohd Azis Ngah

Asap dari bilik merokok yang ada dalam sesuatu bangunan memberi kesan besar kepada kualiti udara pejabat

KETIKA kerajaan mengumumkan semua bangunan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Jun lalu, pelbagai pihak menyambut baik cadangan itu, ada juga yang sinis dan tentunya golongan perokok berasakan ia satu bentuk hukuman.

Semua itu sebenarnya mempunyai hikmah tersendiri kerana sebelum ini ramai yang memperkatakan mengenai masalah udara di luar bangunan, di tempat terbuka misalnya masalah jerebu yang memberi kesan buruk kepada penghidap asma, orang tua dan kanak-kanak.

Hakikatnya, berada dalam bangunan pun belum tentu menjamin tahap kesihatan yang baik kerana ramai yang tidak menyedari risiko pendedahan udara dalaman serta kesan kepada kesihatan, apatah lagi udara tercemar termasuklah asap rokok. Aktiviti merokok di dalam bangunan diakui antara empat faktor utama mempengaruhi kualiti udara dalaman dalam kalangan pekerja pejabat yang dikenali dengan terma ‘Indoor Air Quality’ (IAQ). Antaranya ialah bahan pencemar kimia, pencemar biologi, tekanan fizikal dan psikososial. Apa yang menarik untuk dibincangkan ialah faktor mengenai punca bahan pencemar kimia seperti organik meruap (VOCs), ozon alat pencetak, partikel terampai, pembasmi serangga dan asap tembakau persekitaran atau ‘Environmental Tobacco Smoke’ (ETS).

Semua faktor itu jika ditambah dengan sikap kurang kesedaran dalam kalangan pekerja mengenai persekitaran dalaman menyebabkan aktiviti di dalam bangunan mengundang bencana masalah IAQ terutama aktiviti merokok.

Perlu diketahui, kajian Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menunjukkan pekerja pejabat menghabiskan masa lebih 75 peratus di dalam kawasan bangunan termasuk di pejabat, sekolah, pusat beli belah atau dalam kenderaan.

Jika fakta itu diambil kira, pekerja pejabat sebenarnya cukup terdedah kepada pencemaran udara dalaman kerana berada terlalu lama di dalam bangunan terutama pejabat yang mempunyai ruangan merokok atau berlakunya aktiviti ‘curi-curi merokok’ di tempat tersembunyi.

Pegawai Akademik dan Penyelidik, Unit Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (USKKP), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Syazwan Aizat Ismail, berkata punca utama masalah kualiti udara dalaman terbahagi kepada dua iaitu sistem pendingin hawa dan aktiviti pengguna bangunan.

Katanya, aktiviti pengguna bangunan sangat penting dalam mempengaruhi paras pencemar persekitaran dalaman dan merokok di tangga dan di dalam tandas juga boleh memberi impak ke atas ruang kerja pejabat.

“Kajian SBS dan IAQ mendapati paras ETS partikel terampai di ruang legar pejabat yang mempunyai bilik merokok mencatatkan bacaan 2.5 microgram permeter padu. Kadar itu adalah tinggi berbanding ruang pejabat yang biliknya ditutup atau diubahsuai menjadi surau.

“Ini membuktikan asap rokok boleh merebak ke ruang legar pejabat jika sistem ventilasi bilik merokok di bawah standard ditetapkan. Kita perlu mencontohi negara maju yang menghentikan terus aktiviti merokok di ruang berhawa dingin atau di dalam bangunan,” katanya.

Walaupun kerajaan sudah mewartakan Akta Kawalan Hasil Tembakau dan pengguna dilarang merokok di dalam kawasan berhawa dingin, tetapi masalah pencemaran tetap berlaku kerana kurangnya tindakan penguatkuasaan dan kesedaran pekerja.

Pemilik bangunan juga kurang memantau aktiviti yang mencemar udara dalaman menyebabkan masalah partikel terampai tinggi di sesetengah bangunan. Disebabkan bahan ‘partikel’ itu kecil dan halus, ia boleh menembusi ruang paru paru manusia.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan serangan asma kepada penghidapnya dan pekerja lain yang sihat juga tercemar dengan tanda mata berair, hidung tidak selesa dan demam,” katanya.

Berdasarkan kajian Dr Sean Semple daripada University Of Aberdeen, mendapati pekerja bar di United Kingdom berjaya menurunkan kes berpunca daripada masalah sistem pernafasan sejak kerajaan memansuhkan kegiatan merokok di dalam bangunan.

Ini membuktikan penguatkuasaan penting dalam mengurangkan masalah kualiti udara dalaman dan kesihatan pekerja, manakala pengurus bangunan digalakkan memantau berterusan masalah kepada punca pencemaran.

Masalah pencemaran udara dalam ini boleh dikawal dengan baik dan mudah apabila jika kedua-dua pihak, pengurusan dan pengguna bangunan memainkan peranan masing-masing dan aspek utama yang perlu dititikberatkan ialah proses pemantauan jika 60 peratus pekerja mengadu masalah IAQ.

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

2 ulasan:

  1. mohon pandangan cikgu,

    seri dapat tempat di SEGI Uni College di damansara. dapat pinjaman disediakan asrama serta elaun bulanan sekitar rm 200.00. seri ambil jurusan kejururawatan tempoh 3 tahun.

    terimakasih.

    BalasPadam
  2. Salam Seri...Tahniah kerana mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kolej SEGI sememangnya antara kolej terkemuka di negara kita, justeru cikgu fikir peluang yang diterima jangan Seri lepaskan. Walau bagaimanapun, sebagai orang Islam kita digalakkan untuk bersolat Istikharah dahulu, semoga dengan itu hati kita lebih tenang dan dipermudahkan segala urusan. Satu lagi harapan cikgu, jangan pula berhenti daripada perjuangan menjunjung bahasa apabila berada di kolej nanti... Sekali lagi tahniah!

    BalasPadam