Jumaat, 24 September 2010

Jalan raya sungai maut pengguna motosikal

OLEH : ABDUL MUNIT KASMIN

Pada hari pertama Aidilfitri baru-baru ini, Operasi Sikap ke-22 mencatatkan 21 kemalangan maut. Angka ini meningkatkan jumlah kepada 139 sejak operasi itu dijalankan. Dari 21 kematian, 13 atau lebih 60 peratus terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal. Jumlah ini tinggi berdasarkan kempen besar-besaran kerajaan tahun ini.

Dari segi lokasi kemalangan pula, statistik hari raya pertama mencatatkan 1,001 kes berlaku di pelbagai lokasi seluruh negara. Sebanyak 408 kes atau 41 peratus berlaku di Jalan Persekutuan, 255 atau 25 peratus di Jalan Bandaran, 184 atau 18 peratus di Jalan Negeri dan 99 atau 10 peratus di Jalan Raya Bertol. Jalan Bandaran dan Persekutuan merupakan lubuk kemalangan jalan raya negara.

Bagi penunggang motosikal, permukaan jalan raya tidak sempurna dan sikap tidak sopan penunggang menjadi faktor berlaku kemalangan. Bagaimanapun faktor terpenting ialah tidak berlakunya pendemokrasian permukaan jalan raya, iaitu tiada lorong khas motosikal, di sepanjang 16,000 km jalan raya Persekutuan dan 80,000 km jalan raya negeri seluruh negara. Walaupun penunggang bersopan, tetapi kalau berlaku sedikit pergeselan dengan kenderaan lain, yang kesalahan berpunca dari kenderaan tersebut dan kemalangan berlaku, penunggang dan pemboncengnya menghadapi musibah tinggi. Jadi, suatu lorong khas untuk motosikal perlu diwujudkan bagi mengelak pergeseran yang membawa kepada kemalangan.

Permukaan jalan raya di Malaysia kini seolah-olah dikhaskan untuk penggunaan kenderaan empat roda, bas dan lori sahaja dan terlalu sedikit ruang boleh digunakan penunggang motosikal, basikal atau penjalan kaki. Ini memaksa mereka berkongsi lorong dengan kereta, bas dan lori yang akhirnya jika kemalangan berlaku, mereka yang menerima padah teruk. Jadi perancangan pembinaan permukaan jalan raya harus lebih demokratik dengan menyediakan lorong khas untuk rakyat yang kerdil seperti penunggang motosikal, basikal dan penjalan kaki, di samping lorong untuk kenderaan kereta, bas dan lori di sepanjang 16,000 km Jalan Persekutuan dan 80,000 km Jalan Negeri. Menteri Kerjaraya patut dipuji kerana menekankan pembinaan lorong motosikal di jalan raya baru, tetapi dia terlupa kemalangan maut tidak memilih jalan raya baru atau lama.

Konsep pendemokrasian jalan raya sukar dibina sekali gus memandangkan keterbatasan peruntukan. Dalam hal ini, keutamaan lokasi atau kawasan perlu ditentukan. Keutamaan pembinaan adalah bagi kawasan ramai penunggang seperti perbandaran, perindustrian, pusat pengajian tinggi, pertanian (jelapang padi, kebun getah dan sawit) yang motosikal menjadi mod pengangkutan utamanya. Lorong pejalan kaki hanya sesuai di kawasan perumahan dan perbandaran.

Memang kos bina lorong motosikal mengikut model rujukan JKR, iaitu Jalan Persekutuan 2 Kelang-Kuala Lumpur mahal, oleh itu suatu model baru patut diperkenalkan agar kosnya bukan sahaja rendah tetapi mempunyai ciri-ciri keselamatan meyakinkan pengguna. Kos bina tentu tinggi iaitu sehingga RM5 juta satu kilometer. Ia disebabkan tindakan asing lorong motosikal dengan lorong kenderaan kereta, bas dan lori dengan kawasan hijau. Sungguh pun kaedah bina lorong motosikal ini dapat mengurangkan kemalangan penunggang, tetapi adakalanya mereka bimbang menggunakan lorong ini, terutama pada sebelah malam sebab kaedah pembinaannya menarik minat penjenayah.

Suatu model alternatif bina lorong motosikal ialah di kawasan rezab jalan raya. Melalui model ini kos bina dalam lingkungan RM200,000 sekilometer. Model ini lebih praktikal, kosnya agak rendah dan penunggang boleh guna sepanjang masa sebab jenayah sukar terjadi kerana pemisahan di antara lorong motosikal dan kenderaan empat roda adalah dengan suatu garisan panjang yang menjalur di sepanjang jalan raya. Model ini telah lama digunakan di Thailand.

Sebenarnya model alternatif ini telah dibina di sebahagian Jalan Persekutuan dari Skudai ke Pontian Kecil Johor dan sebahagian Jalan Persekutuan 5 dari Hutan Melintang ke Teluk Intan. Sekiranya model alternatif ini dipilih, kos diperlukan bina lorong motosikal di 16,000 km Jalan Persekutuan ialah kira-ialah RM320 juta. Kos bina ini adalah munasabah dibandingkan usaha untuk menyelamatkan kira-kira 60 peratus kemalangan maut penunggang dan pembonceng motosikal. Oleh sebab kosnya agak besar projek ini boleh disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Namun pembinaan lorong tidak akan berkesan atasi kemalangan maut penunggang jika usaha mendidik tidak dilakukan secara berterusan. Ini boleh dibuat melalui penguatkuasaan undang-undang jalan raya berterusan, tegas dan berkesan. Penguat kuasa jalan raya seperti Polis dan Pegawai JPJ sewajarnya tidak berkompromi dengan setiap kesalahan penunggang dan tidak dijalankan pada musim perayaan tertentu sahaja.

Sebenarnya pendidikan unggul ialah dengan mendidik mereka jadi penunggang yang sayang kepada diri dan peduli kepada pemboncengnya. Namun pendidikan berterusan itu akan lebih berkesan sekiranya projek pendemokrasian jalan raya dapat dilaksanakan secepat mungkin. Sehingga usaha ini berjaya dilaksanakan, jalan raya tetap akan menjadi sungai maut kepada penunggang dan pembonceng motosikal.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen