Sabtu, 25 September 2010

Menjejaki pembunuh, penjenayah

Oleh Akhbar Satar

Kepelbagaian latar belakang, motif kes jenayah perlukan pihak berkuasa setapak di depan

KEMATIAN jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang dipercayai dibunuh dengan kejam sebelum dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke sungai masih hangat diperkatakan, walaupun sudah lebih dua minggu berlalu.

Disebabkan kes itu juga, surat khabar laris bagai pisang goreng, mendengar laporan televisyen dan radio sudah menjadi rutin dan ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya kisah di sebalik kejadian pembunuhan kejam itu.

Secara umum, jenayah berlaku disebabkan faktor persekitaran atau keturunan (Nurture vs Nature atau Environmental vs Genetic). Di antara faktor persekitaran adalah sifat tamak seseorang.

Ahli kriminologi berpendapat manusia akan sentiasa memaksimumkan kesenangan dan mengurangkan penderitaan (maximize pleasure dan minimize pain). Ia sifat semula jadi manusia yang tamak dan tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dimiliki.

Faktor pertambahan penduduk juga memainkan peranan meningkatkan jenayah. Semakin ramai penduduk, semakin kurang peluang pekerjaan. Apabila keinginan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang halal, gagal mereka memilih cara tidak halal, lalu terjebak dengan kegiatan jenayah.

Kejatuhan ekonomi juga memberi kesan kepada peningkatan kadar jenayah. Ramai mengalami masalah kewangan akan mencari jalan tidak beretika bagi mendapatkan wang. Untuk mendapat habuan mudah, sebahagian terbabit kes penipuan, pecah amanah, rompak atau kadangkala membunuh bagi menutup kes daripada dihidu pihak berkuasa.

Teori merumuskan beberapa faktor seperti sosiologi, psikologi, falsafah dan agama menjadi penyebab kepada kejadian jenayah. Persoalan ini memeningkan ejen penguatkuasaan, pengkaji jenayah dan lain-lain.

Apakah jenayah berlaku kerana cara individu itu dibesarkan? Terdedah kepada golongan yang tidak beretika, kurang penghayatan agama atau moral atau disebabkan faktor genetik atau ‘bad seeds’. Ada juga teori bahawa peranan penjara hanya membendung penjenayah buat sementara. Apabila keluar, mereka akan mengulangi perlakuan itu.

Pengaruh televisyen (catharsis VS precipitation) juga banyak dibincangkan pakar kriminologi dan agensi penguatkuasaan di Barat. Kajian menunjukkan bahawa terdedah kepada filem ganas boleh mempengaruhi seseorang itu untuk bertindak ganas atau meniru gaya ditonton. Rumusan ini berasaskan teori ‘jenayah dipelajari’.

Ada juga pendapat bahawa melihat filem ganas akan melegakan seseorang penjenayah, membuatkan mereka puas hati dan tidak akan bertindak ganas seperti dalam filem atau program televisyen. Hipotesis pertama lebih tepat dan disokong banyak pihak.

Penjenayah yang licik dan memiliki kelulusan profesional seperti undang-undang atau kriminologi akan berfikir dan membuat perancangan sebelum melakukan jenayah. Memastikan semua tindakan teratur dan semua bukti dihapuskan supaya tidak dapat dikesan pihak berkuasa.

Mereka kadangkala bertindak bersendirian dan oleh itu, penjenayah yang licik akan turut memastikan sesiapa saja yang mengetahui tindakannya dihapuskan supaya tiada saksi dapat memberi keterangan terhadapnya jika tertangkap dan dibicarakan nanti.

Ada juga beberapa kes di Malaysia – seorang membunuh keluarganya kerana mendapat bisikan syaitan atau ’demonoglical’ dan kes seperti ini juga sering berlaku di Barat. Ada kajian berkaitan teori ekologi bahawa wujud ‘thermic law’, iaitu jenayah keganasan meningkat di negara Khatulistiwa, manakala kelakuan seperti pemabuk serta mencuri banyak berlaku di negara beriklim sejuk.

Kajian mengenai faktor keturunan juga sudah banyak dilakukan, termasuk ke atas anak kembar yang dilahirkan penjenayah. Seorang anak diberikan kepada seorang yang baik dan seorang lagi kepada bekas penjenayah. Apabila berusia 21 tahun, mereka dipertemukan dan didapati kedua-dua anak kembar itu terbabit dalam jenayah.

Masalah kecelaruan mental juga dikenal pasti antara faktor penyumbang kepada gejala keganasan, pembunuhan kejam atau rogol. Banyak kes kejam dilaporkan di negara kita seperti kes pembunuhan Canny Ong dan Norsuzaily Mokhtar.

Kes pembunuhan kejam Sosilawati adalah contoh kecelaruan personaliti pelakunya yang lebih dikenali sebagai psikopatik atau sosiopatik serta mempunyai ‘split personality’.

Perlu diingat, sebelum melakukan sesuatu jenayah, penjenayah sudah tentu mempunyai niat, keupayaan dan peluang. Bagi mangsa, kita tidak dapat mengelak perkara pertama dan kedua, tetapi kita dapat mengelak daripada memberi peluang kepada penjenayah.

Setiap penjenayah mempunyai modus operandi yang mungkin berbeza. Ada bersifat binatang dan tidak berperikemanusiaan, sebahagian lagi sebaliknya. Kadangkala niat penjenayah mahu bunuh seorang saja, tetapi apabila mangsa datang bersama rakan, penjenayah terpaksa melakukan pembunuhan berganda bagi menutup perbuatannya.

Pelbagai alasan untuk melakukan jenayah – tamak, marah, dengki, balas dendam atau bangga diri apabila berjaya melakukan jenayah. Sebahagian penjenayah membuat perancangan sangat teliti untuk mengelak dikesan dan percaya cara itu memberi keuntungan dan kepuasan sehinggalah mereka ditangkap. Ada pula membunuh kerana takut rahsia terbongkar.

Apabila seseorang membunuh, mereka akan mencari jalan supaya tiada bukti diperoleh polis, lalu semua bukti yang ada dihapuskan.

Saya berpandangan dalam kes Sosilawati, penjenayah adalah seorang yang memiliki personaliti psikopatik atau sosiopatik yang menggunakan darjah kecerdasan, penampilan menarik, karisma serta pandai berkata-kata untuk menggunakan orang lain demi kepentingan sendiri, terutama dengan adanya kuasa dan kewangan.

Penjenayah ‘split personality’ juga kadangkala menggambarkan dirinya sebagai pemurah, suka membantu dan disenangi masyarakat, selain menjalani kehidupan berprofail rendah. Saya percaya penjenayah dalam kes terbaru ini belajar daripada kes pembunuhan lain sebelum ini. Bagi mereka, membakar mayat cara paling sesuai bagi menghilangkan bukti.

Namun, mereka membuat kesilapan dan rancangan menghapuskan bukti gagal kerana jumlah mereka terlalu ramai dan bukan pula penjenayah profesional. Semakin ramai terbabit dalam sesuatu kes, semakin besar kebarangkalian membuat kesilapan. Semakin banyak peraturan atau arahan diberikan dalang utama, semakin sukar ia dipatuhi sepenuhnya.

Penjenayah tidak profesional sentiasa membuat kesilapan. Perancangan menghapuskan bukti mungkin kurang teliti dan menyebabkan jenayah terbongkar.

Kini suspek kes bunuh Sosilawati dalam tahanan polis. Kita perlu percaya kepada polis negara kita, antara agensi penguat kuasa terbaik di dunia. Saya yakin teknologi terkini dan ilmu forensik dapat digunakan untuk menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik ini dan rakannya, walaupun sekadar menggunakan ‘circumstantial evidence’.

Jika perlu, ujian poligraf boleh digunakan untuk mengesan sama ada seseorang itu berbohong atau tidak. Poligraf banyak digunakan di Singapura dan Amerika Syarikat dengan ketepatan 98 peratus, tetapi ujian harus dikendalikan pakar yang memiliki sijil ‘Qualified and Certified Polygraph Examiner’.

Keputusan ujian poligraf akan menentukan hala tuju siasatan kes, sama ada hendak diteruskan atau tidak, mencari bukti lanjut dan sebagainya. Ujian poligraf memberi bayangan dan panduan ke arah mendapatkan bukti dan kemudian terserah kepada pihak berkuasa sama ada hendak mencari dan mengambil bukti berkenaan.

Penulis adalah pakar kriminologi serta Pengarah Institute of Crime & Criminology, HELP University.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan