Jumaat, 12 November 2010

ISU ALAM SEKITAR :Teknologi hijau pemacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan lestari

Oleh Dr Zaini Ujang

WARNA hijau mempunyai konotasi politik tersendiri dalam konteks Malaysia. Itulah sebabnya ketika melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) pada 24 Julai tahun lalu, secara berseloroh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa dukungan terhadap 'dasar hijau' tidak disalah tafsirkan kepada dukungan warna parti politik.

Sebaliknya, Najib menegaskan betapa teknologi hijau akan dibangunkan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan lestari. Najib juga menjelaskan harapannya “... supaya suatu hari nanti kita boleh hidup dalam persekitaran bersih, sihat dan berkualiti tinggi, yang semua bandar, perbandaran dan komuniti dibina berasaskan konsep teknologi hijau”.

Mungkin itulah rasionalnya ketika majlis pelancaran Melaka maju bulan lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menegaskan sasaran menjadi ‘negeri hijau’ menjelang 2020. Putrajaya pula diasosiasikan sebagai ‘bandar lestari’. Pada peringkat antarabangsa, bandar raya Seoul mula dikenali kerana inisiatif hijau sebagai kosmopolitan yang maju dalam kehijauan taman.

Istilah ‘hijau’ adalah buzzword antara yang paling sensasi ketika ini khususnya dalam konteks pembangunan, teknologi dan inovasi. Ia ketara sekali dalam bidang teknologi.

Selain teknologi hijau, teknologi bersih, ekoteknologi atau teknologi lestari sering digunakan merujuk kepada konsep hampir sama, iaitu teknologi yang memberi kesan paling minimum kepada kemudaratan, pencemaran dan penurunan kualiti alam sekitar secara holistik bermula daripada konsep produk, bahan mentah, proses penghasilan, bahan buangan, penggunaan produk atau perkhidmatan sehinggalah pelupusan.

Dalam buku Budaya Inovasi (Penerbit UTM, 2010) saya menggariskan tiga komponen penting memastikan tahap ‘kehijauan’ sesuatu teknologi, iaitu (a) kesan kepada alam sekitar (b) manfaat kepada pengguna dan (c) pemangkin kehidupan lestari.

Kesan kepada alam sekitar boleh ditentukan menerusi kaedah analisis kitar hayat (LCA) atau pengiraan tapak ekologi. Manfaat kepada pengguna pula membabitkan bukan saja pengurangan kos modal dan operasi malah turut meningkatkan ciri keselamatan, kemudahan dari segi penggunaan dan praktikal. Misalnya ‘bangunan hijau’ seharusnya lebih murah, menjimatkan dari segi penyelenggaraan dan penggunaan tenaga.

Selain itu, reka bentuk bangunan itu mestilah lebih selamat, menarik dan memenuhi keperluan penghuninya.

Justeru, teknologi hijau yang juga pemangkin hidup lestari perlu direkabentuk untuk menyubur minda lestari, kehidupan mesra alam, mengurang pembaziran, menyemarak budaya, mementing agama dan memugar ekosistem. Sebagai contoh ‘kereta hijau’ bukan saja dihasil menerusi bahan mentah dan proses pembikinan mesra alam, malah perlu lebih selamat dan mengurangkan pelepasan bahan cemar seperti gas rumah kaca. Dalam konteks ketenteraman awam, kereta hijau tidak bising, kecil dari segi saiz dan mudah diselenggara.

Semua aspek ini mendefinisikan ‘teknologi hijau’ bukan saja dari segi kaedah dan alat pembikinan sesuatu produk atau perkhidmatan malah cara hidup lestari.

Teknologi hijau semakin diperlukan bagi menangani keperluan setempat seperti pengurangan tahap pencemaran dalam sektor perkhidmatan air dan penjanaan tenaga lestari. Malah teknologi hijau juga boleh dibangunkan sebagai industri strategik seperti dimulakan Jerman dan Jepun sejak 1990-an.

Ketika hampir semua sektor memerlukan komitmen pelestarian termasuklah industri kelapa sawit menerusi Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO). Disebabkan teknologi hijau ialah suatu konsep berkaitan ciri teknologi dan idealism lestari, maka penggunaannya semakin meluas dalam seluruh sektor.

Ketika ini, konsep ‘ICT hijau’, ‘bandar lestari’, ‘korporat hijau’ dan ‘kerajaan lestari’ semakin berkembang dari perkakasan, sistem perolehan, peraturan, tata cara sehingga kerangka dasar dan budaya kerja.

Dalam konteks pembinaan infrastruktur baru misalnya, tumpuan tidak hanya kepada penyediaan bangunan atau kelengkapan tetapi turut membabitkan konsep, kaedah dan barang binaan, penggunaan tenaga serta utiliti lain, dan pemantapan budaya lestari di kalangan penghuni bangunan berkenaan.

Hal ini saya sorot kerana dalam banyak keadaan, bukan saja di Malaysia bahkan di serata dunia, ‘hijau’ hanya sekadar slogan untuk tampak canggih dan kompetitif. Itulah sebabnya banyak inisiatif pelestarian hanya sekadar berakhir di peringkat sesuatu projek atau program.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan