Jumaat, 12 November 2010

ISU BAHASA : Tidak perlu yang kedua

OLEH : RAMLAN HUSAIN

Bahasa Melayu ialah bahasa teras dan menjadi tanggungjawab kepada setiap rakyat Malaysia untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu. Ia merupakan bahasa rasmi tunggal negara ini yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama. Tidak ada lagi bahasa rasmi kedua, ketiga dan seterusnya. Justeru, cadangan Jagdeep Singh Deo, ahli DUN dari DAP Datuk Keramat, Pulau Pinang baru-baru ini yang mencadangkan agar kerajaan Pulau Pinang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua Pulau Pinang adalah tidak munasabah dan wajar ditentang dengan sekerasnya.

Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pihak tertentu yang sengaja melakukan provokasi berhubung perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam perlembagaan negara ini. Jika dibiarkan, tidak mustahil nanti, terdapat tuntutan yang mahu Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil dijadikan bahasa rasmi kedua, ketiga dan seterusnya. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara ini sangat besar peranannya. Ia bukan sekadar untuk dihormati sebagai bahasa pertuturan rasmi dan teras rakyat negara ini, malah ia berperanan sebagai penyatu pelbagai kaum di negara ini.

Bahasa Melayu sebenarnya mesti dimartabatkan sebagaimana berlaku di Peranchis, Jepun, China, Indonesia dan banyak negara lain yang mengangkat bahasa ibunda masing-masing. Rasa kebanggaan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti tersemat dalam hati setiap rakyat Malaysia. Salah satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan cara menyokong usaha ke arah itu tidak kira sama ada dalam bidang perundangan, ekonomi, kesihatan, sejarah atau apa sahaja dalam urusan harian mereka.

Kalau rakyat negara ini enggan memartabatkan bahasa kebangsaan yang menjadi penyatu perpaduan pelbagai kaum selama ini, siapa lagi yang akan memartabatkannya? Justeru, janganlah perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam perlembagaan negara ini diperlekeh demi kepentingan politik mereka. Adalah disarankan agar setiap rakyat Malaysia memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan terus dipertahankan sebagai bahasa rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bahasa ialah jiwa bangsa yang dapat mencapai perpaduan dan kesepakatan yang kekal demi keharmonian negara berbilang kaum ini. Maka sematkan dalam sanubari diri mereka bahawa sebenarnya tidak ada lagi bahasa rasmi kedua, ketiga dan seterusnya. Kita juga tidak meminggirkan bahasa-bahasa lain untuk terus digunakan dan dipertuturkan yang akan membawa kepada perpaduan kebangsaan yang dicita-citakan oleh gagasan 1 Malaysia.

Penulis ialah Setiausaha Kehormat Gabungan Ikhtisas Dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan