Isnin, 14 Februari 2011

ISU AGAMA : Hukuman hina sunnah perlu penambahbaikan

Oleh Samrahayu A Aziz

Akhlak, kepemimpinan Nabi Muhammad perlu dicontohi


SELAMAT menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Hari kegembiraan kepada umat Islam yang mengetahui dan menghayati kedatangan utusan Allah SWT yang terakhir, utusan yang membawa umat manusia ke arah agama sempurna, akhlak mulia dan terpuji serta sistem kehidupan yang tersusun rapi,

Walaupun hari ini bukanlah satu-satunya hari kita mengingati Rasulullah SAW, ia adalah antara hari yang kita perlu tingkatkan ingatan kita kepada Baginda serta mengambil pengajaran berkaitan keperibadiannya.

Kita semestinya bernasib baik kerana berada di negara yang mengambil berat mengenai kepercayaan Islam dan mengagungkan kedudukan Rasulullah SAW. Mungkin ada antara kita yang terleka daripada mengingati tarikh 12 Rabiulawal ini kerana terbiasa dengan hitungan hari mengikut kalendar masihi, bukan kalendar hijrah. Namun kita beruntung untuk menyedari kehadiran hari kelahiran Rasulullah SAW kerana negara mengisytiharkan hari ini sebagai cuti umum.

Dari sudut kepercayaan dan keimanan Islam kedudukan Rasulullah SAW dan segala sunnah Baginda adalah wajib dihormati dan dipercayai. Sunnah Rasulullah dari sudut undang-undang adalah sumber kedua terpenting selepas al-Quran. Oleh itu, sudah tentu kedudukan sunnah ini hendaklah sentiasa dipelihara.

Undang-undang yang kita ada berkaitan kedudukan sunnah di Malaysia agak memadai setakat ini. Kita mempunyai undang-undang yang menghukum sebarang penghinaan terhadap sunnah Rasulullah. Semua negeri di Malaysia mempunyai undang-undang berkaitan. Peruntukan itu membawa hukuman maksimum RM5,000 atau hukuman penjara selama tiga tahun.

Walaupun begitu, kita perlu penambahbaikan mengenai hukuman dan pelaksanaan undang-undang terbabit. Sementara itu, undang-undang berkaitan penghinaan terhadap diri Rasulullah sendiri (selain daripada sunnah Baginda) perlu juga diambil perhatian.

Kita masih belum ada undang-undang yang terperinci mengenai perkara ini, kecuali kemungkinan menggunakan peruntukan dalam Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan undang-undang berkaitan ketenteraman awam.

Peruntukan Kanun Keseksaan boleh ditafsirkan sebagai menjaga kedudukan Rasulullah kerana ia menghukum sebarang penghinaan terhadap objek mulia di sisi sesuatu agama.

Mungkin kita pernah mendengar dan melihat cercaan atau penghinaan terhadap Rasulullah berlaku di negara lain. Ia sudah tentu membingitkan telinga kita kerana cinta kita kepada Rasulullah. Terbitan seperti The Satanic verses, karikatur Denmark dan kenyataan seorang ahli Parlimen Denmark mengenai Rasulullah SAW menjadi ilustrasi kepada penghinaan itu. Keadaan seumpama ini tidak harus berlaku di negara kita.

Antara perkara lain yang kita perlu ambil perhatian ketika mengingati Rasulullah di hari kelahirannya ialah akhlak Baginda. Rasulullah diutus Allah untuk menyempurnakan akhlak umat manusia, seperti mana sabdanya yang bermaksud, ‘sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’. Aisyah RA pernah menyatakan bahawa akhlak Rasulullah adalah al-Quran.

Ini harus menjadi cabaran untuk kita menilai sejauh manakah akhlak kita menepati ajaran al-Quran dan mengikuti peribadi Rasulullah SAW dengan meletakkan al-Quran dan sunnah Rasulullah sebagai kayu ukur, di manakah akhlak kita?

Adakah kita masih mahu memperjuangkan hak asasi atau hak peribadi yang secara terang dan nyata bertentangan dengan akhlak al-Quran yang diamalkan Rasulullah? Adakah seseorang atau sekumpulan yang mengajak ke arah kebaikan berdasarkan al-Quran dan sunnah adalah kumpulan yang menyekat hak kebebasan? Jawapannya sangat jelas. Perlakuan itu amat jauh sekali daripada akhlak Rasulullah.

Pengertian sabda Baginda berkaitan menyempurnakan akhlak yang mulia ini sangat luas untuk kita jadikan panduan. Ia bersifat menyeluruh dan merangkumi sifat peribadi dan personaliti seseorang sebagai individu biasa atau individu yang mempunyai tanggungjawab tertentu sama ada sebagai pemimpin besar atau pemimpin kecil.

Dalam aspek kepemimpinan dan kenegaraan, akhlak Rasulullah bersinar jelas. Sunnah dan akhlaknya sudah digariskan, antara lain melalui Sahifah Madinah atau dikenali sebagai Perlembagaan Madinah. Dokumen ini adalah perlembagaan bertulis pertama di dunia seperti mana ditegaskan penulis terkenal Muhammad Hamidullah dalam tulisannya The First Written Constitution dan The Prophet Establishing A State.

Sahifah Madinah yang diperkenalkan beberapa bulan (ada sesetengah penulis menyatakan beberapa minggu) selepas hijrah Baginda ke Madinah meletakkan akhlak dalam kepemimpinan Rasulullah.

Antara dua perkara penting di dalam dokumen berkenaan ialah tanggungjawab pemerintah dan juga tanggungjawab rakyatnya serta dasar hubungan antara puak yang mendiami dan mengunjungi Madinah.

Dasar ini, pada hakikatnya ialah untuk menyedarkan pemimpin mengenai amanah yang dipegang dan mengingatkan rakyat mengenai tanggungjawab mereka, bukan saja hak mereka. Secara umumnya Sahifah Madinah ini menyediakan landasan keperibadian dan akhlak Rasulullah serta penduduk Madinah.

Dasar ini juga adalah untuk menangani masalah yang timbul di dalam kepelbagaian kaum, budaya dan agama antara pelbagai puak di Madinah pada masa itu yang keadaannya agak tenat. Mereka berperang antara satu sama lain dan amat sukar untuk bersepakat.

Namun, akhlak atau keperibadian di bawah pimpinan Rasulullah berjaya menjadikan Madinah sebagai pusat berkembangnya keamanan dan kegemilangan Islam.

Keperibadian al-Quran yang ditonjolkan Rasulullah bukanlah teori semata-mata. Baginda mengamal dan membuktikan kejayaannya di Madinah. Walaupun keperibadian kita tidak seumpama Rasulullah, tetapi kemahuan kita untuk berusaha mengamalkan akhlak Baginda adalah sudah cukup baik dalam menzahirkan cinta dan kasih kita kepada Baginda.

Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIA.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan