KEMENTERIAN Pelajaran akan menggerakkan usaha secara besar-besaran bagi menghidupkan semula aktiviti sukan di sekolah-sekolah yang selama ini kurang diberi perhatian". Itulah antara intipati ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran ketika berucap pada satu majlis penyampaian hadiah dan derma sempena Kejohanan Tan Sri Muhyiddin (TSM) Patron's Cup di Mines Golf Resort dua tahun yang lalu.
Iltizam dan cita-cita beliau tersebut amat murni dan natijahnya pada hari ini kita melihat aktiviti sukan di sekolah-sekolah kembali subur dan kita lihat anak-anak kita begitu ceria dan gembira dengan pakaian sukan masing-masing.
Namun begitu, dalam kita ingin menjayakan aktiviti sukan ini ada perkara yang perlu kita renung agar matlamat sebenar aktiviti serta pendidikan sukan dapat dicapai.
Bagi mencapai matlamat dalam pendidikan sukan, para guru terutama guru-guru rumah sukan di setiap sekolah perlulah mempunyai jiwa yang besar. Sekiranya guru-guru terlibat masih mempunyai jiwa yang kerdil, maka mereka hanya melihat dari satu aspek sahaja iaitu menang, menang dan menang.
Mereka hanya akan melihat kepada jumlah pingat yang berjaya dipungut. Jika itulah matlamatnya maka matlamat asal sukan itu sendiri tidak akan berjaya dicapai.
Jika hanya jumlah pingat yang diburu maka kita akan melihat ada di kalangan murid yang mungkin menyertai hampir kesemua acara sukan yang dipertandingkan manakala mungkin ada di antara murid yang langsung tidak terpilih untuk mana-mana acara sekalipun kerana sifat fizikal tubuh badannya tidak memungkinkan mereka untuk memenangi apa-apa acara yang dipertandingkan.
Kita harus terima hakikat bahawa tidak semua kanak-kanak dilahirkan untuk menjadi atlet dan mempunyai susuk badan yang tegap. Kanak-kanak ini mungkin mempunyai susuk badan yang kecil, mungkin ada yang agak berisi atau ada yang terlampau kurus.
Namun begitu janganlah ketepikan mereka hanya kerana inginkan rumah sukan kita mencapai kemenangan. Falsafah pendidikan sukan tentulah lebih daripada itu. Ia adalah soal semangat setiakawan, semangat berpasukan, semangat ingin mencuba, semangat meraikan kemenangan rakan sepasukan, semangat bersedia untuk menerima kekalahan, memupuk perasaan yakin diri serta semangat juang yang tinggi selain untuk merangsang minda dan tubuh badan supaya sentiasa cerdas dan cergas.
Semua murid berhak untuk mendapat layanan yang adil dan perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi diri mereka dalam semua bidang termasuklah bidang sukan. Inilah cabaran dan amanah yang perlu dilaksanakan oleh para guru.
Sekiranya para guru hanya memilih pelajar yang mampu menang semata-mata, murid yang kurang berkemampuan dari segi fizikal akan terus menjadi penonton.
Sekalipun berpakaian sukan seperti murid-murid yang lain, mereka mungkin hanya mampu menjadi pemerhati di tepi-tepi padang atau di khemah rumah sukan masing-masing.
INSAN PRIHATIN
Terengganu
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan