Terlalu berkira untuk belajar
Oleh Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my
BAGAI tiada kesudahan, isu pencapaian mahasiswa di menara gading sering kali dijadikan modal pertelingkahan dan perdebatan yang akhirnya mengundang persepsi negatif masyarakat.
Apatah lagi momokan seperti tiada daya juang, gagal bersuara, tidak patriotik selain minda tepu dijadikan modal menghentam golongan terbabit menjadikan senario berkenaan tidak berpenghujung.
Lebih memburukkan keadaan apabila warga IPT menjadi antara penyumbang terbesar masalah gejala sosial kini menyebabkan masyarakat tertanya-tanya, apa jadi kepada golongan diiktiraf bijak serta terpelajar ini.
Jika mereka tiada penghayatan tulen terhadap proses pembudayaan ilmu bolehkah golongan ini memikul tanggungjawab berat mentadbir negara pada masa depan? Atau adakah masyarakat bersalah kerana terlalu cerewet dan enggan mengikut rentak dunia mahasiswa yang kian moden.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, Prof Dr Zakaria Kasa, berkata kurang kesedaran kepentingan ilmu menyebabkan mahasiswa mengambil mudah konsep pembudayaan ilmu serta pendidikan.
Malah, katanya sikap segelintir mereka yang terlalu culas dan berkira untuk belajar bagai membenarkan lagi tanggapan masyarakat mahasiswa memasuki IPT hanya untuk mendapatkan segulung ijazah biarpun tanpa kualiti.
"Inilah dilema IPT masa kini. Bagi mereka, apabila diterima masuk ke menara gading, bermakna ilmu itu sudah tersedia dengan sendirinya.
"Ilmu itu sangat luas dan perlu dicari, bukan hanya menunggu atau diberi pensyarah. Fungsi IPT untuk merancak, menyalur serta meninggikan martabat ilmu bagi melahirkan golongan terpelajar dan berkualiti dalam hidup.
"Diterima belajar di IPT, tidak bermakna seseorang itu sudah pandai kerana proses sebelum mencapai satu kedudukan diiktiraf masyarakat memerlukan pelbagai kesukaran, pengalaman dan kemantapan ilmu.
"Mahasiswa perlu sedar hakikat ini dengan meletak proses penjanaan ilmu itu sebagai budaya penting di menara gading. Malangnya mereka sering alpa dengan keseronokan dan kebebasan," katanya.
Isu pengangguran mahasiswa yang tiada kesudahan, pencapaian kurang memuaskan selain masalah sosial yang semakin merebak menjadikan golongan terbabit dipersalahkan masyarakat.
Dr Zakaria, berkata menyalahkan masyarakat tidak mendatangkan manfaat kerana mereka komuniti terbesar yang bebas menyuarakan pendapat atau pandangan.
Katanya, mahasiswa sendiri perlu bangkit membuktikan tanggapan itu salah.
"Dalam konteks ini, masyarakat adalah komuniti yang bebas melahirkan pandangan, emosi atau kritikan dan mahasiswa tidak boleh melenting sebaliknya perlu berfikiran terbuka dan menerima teguran.
"Masyarakat mahukan yang terbaik kerana golongan IPT ini menjadi sandaran. Mereka penerus kesinambungan negara yang bakal menentukan corak serta hala tuju masyarakat lain pada masa depan.
"Jika budaya ilmu semakin kurang menyerlah atau tidak dihargai, bolehkah masyarakat yakin pada mereka? Sebab itu golongan ini perlu bangkit, ubah sikap dan sukakan ilmu.
"Inilah cabaran sebenar iaitu bagaimana mahu 'menutup' mulut masyarakat daripada terus bersuara," katanya mengakui proses pembudayaan ilmu di kalangan mahasiswa perlu dilakukan secara berterusan, agresif selain disuntik dengan elemen nilai keperibadian unggul.
"Impak proses ini bukan boleh dilihat sekelip mata sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan.
"Konsep pembudayaan ilmu terhasil melalui pengalaman, pengukuhan pengetahuan dan perkongsian serta penyebaran maklumat," katanya.
Beliau menyarankan mahasiswa merebut peluang sepanjang tempoh pengajian untuk memantapkan penguasaan ilmu.
"Minda perlu terbuka, anjakan paradigma mesti dilakukan dan memahami konsep memperoleh ilmu tidak semestinya menerusi buku semata-mata.
"Perkongsian maklumat dengan pensyarah, penyelidikan, kerja lapangan, latihan industri serta komunikasi dengan masyarakat luar juga proses pembudayaan ilmu.
"Perlu akur dan menerima hakikat, masyarakat akan terus membuat penilaian tanpa henti sama ada suka atau tidak.
"Ini bukan memperlekehkan, tapi sebagai dorongan ke arah anjakan minda yang lebih baik, jadi terpulang sama ada untuk mengalah atau tidak," katanya.
INFO:
Penasihat Persatuan Mahasiswa Islam (Permai) Prof Madya Syed Omar Syed Agil, menggariskan kriteria mahasiswa bermoral sebagai:
> Harus berpegang teguh pada ajaran agama.
> Mentaati dan menghargai kedua ibu bapa
> Mampu mengawal nafsu
> Menghiasi diri dengan sikap, percakapan dan perbuatan yang baik.
> Tegas dengan prinsip dan tidak bersedia untuk menggadaikan prinsipnya
> Tidak menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan agama
Sumber : http : //www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan