Ahad, 13 Februari 2011

ISU PENGEKALAN TEKS KOMSAS SPM : Interlok tepati teks sastera

PENGEKALAN Interlok sebagai teks wajib untuk komponen sastera Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) Tingkatan Lima mulai tahun ini, sepatutnya dalam keadaan sedia ada, tanpa pindaan dan penyesuaian.

Interlok tidak lebih daripada karya fiksyen biarpun dapat dianggap sebagai semi sejarah cetusan daya kreativiti dan imaginasi Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, kebetulan mendapat ilham daripada seorang pensyarah di Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya yang menceritakan kisah orang India.

Sebenarnya Interlok lahir melalui sayembara besar lagi bermakna atas inisiatif Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri sempena 10 tahun kemerdekaan negara.

Biarpun memenangi hadiah sagu hati beriringan dengan Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin), Badan Bertuah (Ismail Alfalah), Meniti Buih (Alias Harun), dan Merpati Putih Terbang Lagi (Khadijah Hashim), namun pengumuman kemenangannya dibuat sendiri Tun Razak sekali gus Pengarah Majlis Gerakan Negara pada sidang media 5 September 1970 itu menunjukkan komited tinggi kerajaan terhadapnya.

Justeru, keenam-enam manuskrip yang berjaya dapat dikatakan autentik baik segi tema mahupun gaya bahasa daripada 52 manuskrip kesemuanya. Novel-novel berkenaan diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1971.

Temanya cukup besar lagi luas bertitik tolak daripada perjuangan kemerdekaan sehingga tumbangnya Malayan Union, terbentuk Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan PTM 1957 sebelum lahirnya Malaysia 16 September 1963.

Ertinya Abdullah menulis Interlok kira-kira tahun 1967-1968 tetapi pengumuman keputusannya agak lewat sedikit kerana tragedi 13 Mei 1969 dan beberapa orang panel hakim menarik diri. Justeru urutan peristiwa plot novel ini tidak ada kaitan langsung dengan tragedi 13 Mei. Yang pasti skop latar sejarah dan waktunya ialah sejak Inggeris membawa buruh Cina dan India masuk bekerja di lombong bijih dan ladang getah di bawah dasar pecah dan perintah.

Keputusan panel pemilihan Interlok sebagai teks sastera Tingkatan Lima itu, bagi kawasan Lembah Kelang, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan memang tepat kerana pengalaman lepas sejak kertas Kesusasteraan Melayu tegak sebagai subjek tunggal lagi, novel ulung itu memenuhi ciri-ciri tetapan Kementerian Pelajaran.

Misalnya pengorbanan anak watan diwakili keluarga Seman, Ching Huat, dan Maniam menentang serangan Jepun yang masuk ke tanah air (Jitra) melalui Thailand, Kedah, serta kemudian ancaman komunis di hutan selama 12 tahun sejak 1948, patut diketahui dan dihayati pelajar generasi sekarang demi pemupukan semangat kekitaan, kepunyaan, kebangsaan, dan patriotisme.

Pemupukan jiwa murni dengan kesediaan bekerjasama serta tolong menolong, bantu-membantu, saling hormat menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan berlainan bahasa dan agama, benar-benar tersuntik ranum dalam hati sanubari dan jiwa raga ketiga-tiga watak yang dianggap sebagai wira-wira novel ini.

Betapa intim dan hebatnya kerjasama mereka apabila Seman mula-mulanya berniat buruk dan jahat terhadap Cina Panjang kerana tanah ayahnya tergadai, tidak jadi memarangi Poh Eng sebaliknya melindunginya di pondok emaknya, dan akhirnya mereka diselamatkan Maniam.

Sentuhi pula betapa terharunya hati seorang ayah seperti Maniam, kini tandil di ladang getah asalnya milik Inggeris tetapi kini hak Jepun, dapat bertemu dengan anaknya, Ramakrishnan, yang tidak pernah ditemui ketika ditahan Jepun di balai polis. Si anak itu kini berpangkat inspektor polis.

Poh Eng dibawa abangnya ke hutan menyertai gerombolan menentang Jepun. Pengarang mempertaut Chin Huat kembali dengan anak gadis itu apabila tentera matahari terbit itu menyerah kalah kepada tentera bersekutu pimpinan Inggeris.

Begitulah Interlok terungkap daripada manifestasi dasar pecah dan perintah Inggeris mengkelompok masyarakat Melayu di kampung dan pedalaman, Cina peniaga, pedagang, dan pelombong sementara India di ladang getah milik Inggeris.

Urutan plot bergerak daripada keluarga Seman, beranjak kepada keluarga Ching Huat, dibawa bapanya ke negara ini kerana kesengsaraan hidup di negara leluhurnya, dan keluarga Maniam, berhijrah atas alasan sama, bermula hidup sebagai kuli dan akhirnya menjadi tandil.

Begitulah juga halus, santun, dan kemasnya anyaman kesatuan, kesantunan, dan kepaduan jalinan Abdullah pada Buku Keempat novelnya ini, membenarkan proses asimilasi sedang berjalan rancak di luar sedar ketika menjelangnya kemerdekaan dulu.

Kemelut baru-baru ini meruntun perasaan dan daya sensitiviti khalayak untuk membaca atau membaca semula karya berkenaan dengan lebih teliti sekali gus penuh penghayatan. Jika tidak, masakan ratusan ribu cetakan untuk edisi murid sudah habis terjual dan kini diberitakan giat diulang cetak.

Interlok novel sejarah oleh H.L. Yelland, S.C. Jones, dan K.S.W. Easton dalam buku mereka A Handbook of Literary Terms dianggap karya berlatarbelakangkan sejarah termasuk tokoh sejarah melalui jalinan peristiwa sejarah penuh daya imaginasi dan kreatif, berdasarkan hukum sebab dan akibat.

Presiden penaja Persatuan Dinamik India 1Malaysia, S. Kumaravel menyifatkan yang sengaja mempertikaikan amalan kasta dianggap buta sejarah. Amalan hidup berkasta bagi masyarakat mana sekalipun di dunia hatta komuniti maju dan bertamadun tinggi sekalipun, tidak dapat dikuis daripada catatan sejarah.

Kesesuaian Interlok sebagai khazanah sastera negara bukan sahaja perlu dilihat pada rentetan peristiwa berdasarkan fakta sejarah lampau, tetapi juga daripada segi penyampaian dan persembahannya melalui diksi dengan kadar keterbacaannya yang rendah.

Sebab itulah karya agung ini perlu dibaca, diteliti, dan dihayat secara bersepadu, tidak terpisah-pisah, tebuk sana sini, selak sana selak sini lalu terus menyimpul rumusan kononnya novel rasis. Kewarasan dan keintelektualan mata fikir khalayak saja yang dapat memartabat Interlok sebagai karya melengkapi kajian sejarah-kesejarahan negara-bangsa.

Keberhasilan Abdullah terserlah dalam bahagian akhir apabila ketiga-tiga keturunan tadi amat perlu bantu-membantu dan saling bekerjasama ketika menghadapi ancaman komunis zaman darurat (1948-1960) sehingga tercapainya kemerdekaan melalui proses asimilasi mewujudkan rupa bangsa Malaysia yang bersatu demi perpaduan nasional.

Agaknya mesej inilah yang tersemat dalam sanubari Tun Razak ketika melancar sayembara besar ini, perutusan sewajarnya dibaca, diuliti, difahami, dihayati, dan dipraktik melalui Interlok khusus oleh generasi terkini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

1 ulasan:

  1. Salam cikgu,

    Interlok tak sepatutnya dijadikan isu politik. Ia melambangkan pemikiran pariah yang dimiliki oleh menentangnya... Tak sepatutnya ia dilihat rasis atau menghina sesuatu kaum.. Yang jadi masalahnya kumpulan penentang tidak berminat membacanya, mahupun mengetahui intipati kisah Maniam.. Ia lebih kepada melatah beruk..

    BalasPadam