Ahad, 27 Februari 2011

ISU ANTARABANGSA : Kanak-kanak terus ditindas

NEW YORK 26 Feb. - Agensi kanak-kanak dan pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam laporan tahunannya memberikan gambaran suram mengenai prospek golongan muda di seluruh dunia.

UNICEF antara lain menyebut tentang kadar pengangguran yang semakin meningkat di kalangan golongan muda, sejuta kanak-kanak yang meringkuk di dalam penjara dan anak-anak muda yang dipaksa menyertai tentera.

Remaja 'jarang-jarang diberi keutamaan' apabila kerajaan menetapkan sasaran sosial dan keadaan itu perlu berubah, menurut UNICEF dalam laporannya State Of The World's Children (Keadaan Kanak-Kanak di Dunia) yang disiarkan, semalam.

Laporan itu mengandungi statistik yang 'mencemaskan dan menggemparkan', kata Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Hilde Johnson pada sidang media, semalam.

Beratus-ratus ribu anak muda digunakan oleh kumpulan bersenjata sebagai 'askar, pengintip, utusan dan hamba seks', katanya.

Selain itu, 150 juta kanak-kanak berusia antara lima hingga 14 tahun bekerja sebagai buruh kanak-kanak.

Kira-kira 13 peratus daripada tenaga kerja global berusia di bawah 19 tahun kini menganggur dan pengangguran golongan muda menjadi isu yang membimbangkan di hampir semua negara, menurut laporan itu.

"Remaja menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan cukup baik yang dapat menjamin kehidupan di atas garis kemiskinan," lapor UNICEF.

Terlalu ramai anak muda juga menghadapi konflik dengan pihak berkuasa undang-undang.

UNICEF menganggarkan pada satu-satu masa, sejuta kanak-kanak ditahan oleh pihak berkuat kuasa undang-undang di seluruh dunia.

Agensi itu menekankan pentingnya pelaburan dalam sektor pendidikan ditingkatkan dengan banyak. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Komen