Ahad, 27 Februari 2011

ISU BAHASA : Memertabatkan Bahasa Melayu


Oleh : Prof. Abdullah Hassan

Apabila isu memertabatkan bahasa Melayu timbul, hampir setiap kali fokus kita akan menghala kepada Perkara 152 dalam Perlembagaan, Pihak Berkuasa Tempatan yang tidak mempamerkan papan tanda berbahasa Melayu, pegawai kerajaan yang tidak berbangga menuturkan bahasa Melayu, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan besar-besaran, dan perkara seperti itu. Jarang kita terdengar pihak yang berfikir mengenai bagaimana memperbanyak pengisian informasi dan ilmu dalam bahasa Melayu.
Pada saya itulah martabat sebenarnya.

Dua kali saya mengunjungi Pesta Buku Frankfurt, kali pertama pada 1994, dan kali kedua sepuluh tahun kemudian pada tahun 2004, terasa benar bahawa gerai negara kita tidak mempunyai buku yang mahu dipamerkan. Di samping itu pula, hampir tidak pernah ada usaha membeli lesen buku-buku untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Pada tahun ini, ITNM dan MABOPA (Malaysian Book Publishers Association) diharap memainkan peranan mereka, dan kita mahu melihat hasilnya.

Pada masa ini, tujuan kita mahu memperkaya ilmu dan informasi dalam bahasa Melayu itu masih belum memadai. Kita mahu ilmu dan informasi diimport ke dalam bahasa Melayu. Sekecil-kecil negara seperti Finland, Denmark dan Belanda yang pernah saya kunjungi dalam masa sepuluh tahun ini, kedai bukunya mempamerkan bilangan buku ilmu dan informasi yang banyak dalam bahasa sendiri.

Usaha memperkaya bahasa dengan ilmu dan informasi ini dapat dinilai dalam empat langkah mudah mengikut ilmu perancangan bahasa. Aktiviti perancangan bahasa perlulah mara dari tahap ke tahap.

Tahap pertama, kita memberi status kepada bahasa Melayu itu. Ini sudah berlaku apabila Bahasa Melayu itu dijadikan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Cuma, ada langkah-langkah kerajaan yang tidak menghormati status Bahasa Kebangsaan itu. Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa pentadbiran dan pendidikan. Ini tidak boleh diubah oleh sesiapa pun. Dan, PPSMI itu melanggar peruntukan ini.Ini tidak mengatakan kita tidak boleh belajar bahasa Inggeris! Nokhtah.

Tahap kedua adalah membina sistem ejaan, sebutan, nahu dan peristilahan dalam sesuatu bahasa yang dibina. Ini juga sudah selesai. Sebaiknya tahap ini memakan masa sekitar sepuluh tahun, dan tidak berpanjangan hingga setengah abad seperti yang kita lakukan. Oleh sebab itu, dalam sebuah mesyuarat Jawatankuasa Bahasa DBP pada tahun ini, saya meminta supaya aktiviti ini tidak diteruskan, dan tumpuan diberi kepada usaha mengisi bahasa Melayu dengan ilmu dan informasi.

Tahap ketiga, adalah mengisi bahasa Melayu itu dengan ilmu dan informasi.Inilah matlamat merancangkan bahasa yang sebenar. Dalam tahun 1960-an membawa ke 1990-an, Dewan Bahasa dan Pustaka menjalankan fungsi ini dengan berkesan. Banyak buku ilmu diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui karya asli dan juga terjemahan. Universiti juga memainkan peranan yang aktif.

Apabila aktiviti menterjemah dan mengimport ilmu dan informasi ke dalam bahasa Melayu membebankan Dewan Bahasa dan Pustaka, maka Kementerian Pendidikan pada masa itu menerima usul Dewan Bahasa dan Pustakan dan Persatuan Penterjemah Malaysia supaya Biro Terjemahan negara ditubuhkan. Hasilnya, terbentuklah ITNM, bukan Biro. Pada ITNM itu terletak harapan aktiviti mengimport ilmu dan informasi ke dalam bahasa Melayu dapat digandakan. Persatuan Penterjemah Malaysia, sentiasa memberi sokongan dan dokongan ke arah itu dengan melatih penterjemah yang diperlukan.

Tahap keempat adalah menilai keberkesanan ketiga-tiga tahap tadi, dan membuat pembaikan seperlunya. Ada beberapa perkara yang diperhatikan dapat diperbaiki bagi mempertingkatkan lagi proses pembinaan ilmu, informasi dan teknologi dalam bahasa Melayu. Ejaan, istilah, nahu tidak semestinya kekal seperti yang dirancangkan dalam tahan kedua. Bahasa adalah unsur yang berubah. Bahasa tidak boleh statik. Ini akan dibicarakan pada kesempatan lain.

Inilah usaha yang perlu diteruskan, membina ilmu, informasi dan teknologi dalam bahasa Melayu. Itulah martabat bahasa kita, bahasa yang dapat memandaikan bangsa.

Tiada ulasan:

Catat Komen