MATLAMAT utama Model Baru Ekonomi (MBE) diperkenalkan adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat pada tahap terbaik. Ia melibatkan keterangkuman (inklusif) semua rakyat tidak kira bangsa, mapan dan juga berpendapatan tinggi. Apabila disebut keterangkuman, kita tidak boleh lari membincangkan mengenai penduduk majoriti rakyat Malaysia iaitu bumiputera yang masih ketinggalan dalam aspek ekonomi.
Ini kerana, tanpa meningkatkan kualiti kehidupan kaum bumiputera, matlamat-matlamat yang diuar-uarkan dalam MBE tidak akan tercapai.
Secara umumnya, pencapaian kaum bumiputera masih di tahap yang rendah. Meskipun Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melahirkan ramai cerdik pandai daripada kalangan bumiputera, namun dari segi ekonomi, kaum bumiputera masih ketinggalan berbanding dengan kaum Cina dan India.
Pendapatan per kapita bumiputera masih tercorot berbanding dengan kedua-dua kaum utama tersebut. Itu belum termasuk, dari segi pemilikan harta benda dan kekayaan yang lain. Tiada gunanya negara mencapai taraf negara maju pada 2020, jika penduduk majoritinya masih ketinggalan jauh. Pemilikan harta dan kekayaan bagi segelintir pihak sahaja akan melahirkan ketidakseimbangan ekonomi negara. Perkara ini seharusnya ditangani kerana ia boleh memberi implikasi yang kurang selesa terhadap kemakmuran negara.
Justeru, pelbagai inisiatif baru seharusnya dirangka bagi memastikan keseimbangan ekonomi untuk semua rakyat Malaysia. Inilah prinsip keadilan yang sebenarnya. Apabila perkara ini dilaksanakan dengan cemerlang, tidak timbul lagi suasana yang boleh mengeruhkan keadaan di kalangan rakyat Malaysia.
Apabila Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dilancarkan pada minggu lalu, maka idea-idea baru seharusnya diketengahkan bagi menjayakan agenda ekonomi bumiputera. Teraju berperanan untuk menjayakan lima bidang.
Pertama, keusahawanan dan penciptaan kekayaan. Sebenarnya, kalau dilihat dari segi potensi, kaum bumiputera mempunyai kekuatan dari segi keusahawanan, melibatkan daya kreativiti dan inovasi.Lihatlah semakin ramai peniaga-peniaga bumiputera di sana sini, namun kebanyakan mereka sekadar berniaga untuk menjual produk kepada pengguna akhir. Kaum bumiputera tidak seharusnya sekadar menjadi peniaga barangan untuk pengguna akhir sahaja, tetapi juga sebagai pemborong dan pembekal. Dalam kebanyakan kes, pemborong dan pembekal yang mengaut keuntungan yang lebih besar berbanding peniaga kepada pengguna akhir.
Bahkan, tidak keterlaluan, peniaga yang dikenali sebagai 'orang tengah' berkuasa penuh menentukan bagaimana sesuatu sektor perniagaan tersebut dijalankan. Mereka mengawal peniagaan, seterusnya mencipta kekayaan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain.
Pengumuman lima lagi syarikat bumiputera di bawah Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) untuk disenaraikan di Bursa Malaysia adalah satu iltizam yang amat baik bagi memperkasakan ekonomi bumiputera. SJJB yang diperkenalkan pada tahun 2007 boleh menjadi satu lagi inisiatif untuk menggandakan ekonomi bumiputera. Perancangan terperinci seharusnya dibuat agar pegangan saham syarikat-syarikat ini kekal milik di bawah milik bumiputera dalam jangka masa panjang.
Kedua, dari sudut pembiayaan. Pembiayaan di sini merupakan tunjang kekuatan sesuatu perniagaan. Teraju boleh berperanan untuk memastikan pembiayaan diperoleh usahawan-usahawan bumiputera dengan mengurangkan permasalahan birokrasi. Teraju boleh mendapatkan maklum balas daripada usahawan-usahawan bumiputera mengenai perkara ini dengan pendekatan seperti turun ke bawah bertemu dengan mereka.
Ketiga, pendidikan dan penggajian. Usaha-usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti pendidikan kaum bumiputera seharusnya diteruskan. Pendidikan ini termasuklah melibatkan ilmu-ilmu yang berpotensi tinggi pada masa hadapan berlandaskan ekonomi negara. Apabila ini dapat direalisasikan, maka lebih banyak produk yang kreatif dan inovasi dapat dihasilkan, seterusnya dapat meningkatkan pendapatan kaum bumiputera.
Keempat, penilaian institusi dan instrumen polisi. Melihat bidang ini, ia serba sedikit memperlihatkan institusi-institusi yang menggerakkan ekonomi bumiputera. Teraju boleh berperanan meningkatkan kualiti institusi-institusi tersebut dengan menilai sejauh manakah kekuatan yang boleh diketengahkan. Pada masa yang sama, memperbaiki sebarang kelemahan dalam institusi-institusi bumiputera. Ini termasuklah, menilai instrumen polisi yang mungkin sudah lapuk untuk dilaksanakan dengan membuat penambahbaikan mahupun merombak semula polisi tersebut. Sebaliknya, polisi yang baik seharusnya dikekalkan.
Bidang yang terakhir ialah pengurusan stakeholder. Teraju perlu melibatkan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam ekonomi bumiputera. Antaranya yang tidak boleh diketepikan ialah dewan perniagaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Mereka inilah yang menjadi pendokong dalam menjayakan agenda ekonomi bumiputera. Penglibatan mereka akan mempercepatkan lagi usaha untuk memperkasakan ekonomi bumiputera.
Melihat kelima-lima bidang di bawah Teraju, ia merupakan tanggungjawab dan amanah yang berat untuk dipikul. Namun, ia akan menjadi mudah jika semua pihak tidak kira pengurusan tertinggi Teraju, dewan perniagaan, NGO, kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan bekerja bersama-sama memajukan ekonomi bumiputera. Dengan kata lain, semuanya bergantung pada eko-sistem bumiputera itu sendiri.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan