Isnin, 28 Mac 2011

ISU PENGEKALAN NOVEL SPM : DBP tidak cetak semula Interlok

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

Teknik tampalan dapat jimat kos

BATU KAWAN: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak akan mencetak semula novel Interlok untuk menggantikan buku digunakan pelajar di beberapa negeri walaupun kerajaan mengumumkan ada beberapa frasa sensitif bagi kaum India perlu dipinda dan disunting.

Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak akan mencetak novel digunakan sebagai teks komponen sastera (KOMSAS ) Bahasa Malaysia Tingkatan 5 bagi meminda beberapa frasa sensitif dalam buku itu, sebaliknya akan memperbetulkan dengan menggunakan teknik tampalan.

"Kami mengambil pendekatan ini bagi mengelakkan kerugian kerana frasa yang perlu dipinda dalam Interlok seperti diumumkan kerajaan tidak terlalu banyak sehingga menyebabkannya perlu dicetak semula.

“DBP akan menggunakan teknik tampalan iaitu menampal muka surat baru di muka surat asal yang mempunyai frasa perlu diganti. Kaedah ini lebih mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi,” katanya kepada Berita Harian selepas majlis pelancaran album kumpulan nasyid, Rayyan di Karnival Jom Heboh di sini, semalam.

Majlis pelancaran album bertajuk Tasbih Cinta itu disempurnakan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Johan Jaafar.

Termuzi berkata, pihaknya akan memulakan proses meminda frasa sensitif dalam novel digunakan pelajar di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan selepas mendapat arahan dan Kementerian Pelajaran.

Katanya, pindaan beberapa frasa secara cetakan semula hanya akan dilakukan ketika pihaknya mencetak keluaran novel Interlok seterusnya.

“Untuk keluaran terdahulu, kami akan gunakan teknik tampalan terlebih kerana ia mudah dan tidak membazir,” katanya.

Kontroversi mengenai novel Interlok berakhir apabila frasa sensitif bagi kaum India diganti dengan frasa 'golongan yang sama', yang diputuskan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok dan cadangan menyunting frasa berkenaan dari novel itu dipersetujui penulisnya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, selaku pemegang hak cipta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik sebagai berkata keputusan itu menyelesaikan isu pokok berhubung penggunaan perkataan yang merujuk kasta kaum India yang didakwa bersifat rasis dan menyinggung perasaan sehingga menimbulkan bantahan beberapa kumpulan sejak isu itu dibangkitkan pada Disember tahun lalu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan