Rabu, 11 Mei 2011

ISU KESIHATAN : PM kongsi tip kesihatan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan rahsia menjaga kesihatan ialah dengan meluangkan masa selama 30 minit untuk bersenam menggunakan mesin senaman sekurang-kurngnya dua kali seminggu.

Perdana Menteri berkata, biar sesibuk mana sekalipun, beliau akan cuba sedapat mungkin bagi mencari masa untuk bersenam.

"Ini bukan saja membantu saya untuk sentiasa cergas, tetapi juga memberi peluang kepada saya untuk melapangkan minda dan bersantai," katanya dalam laman blog beliau 1Malaysia.

Perdana Menteri berkata, ketika berinteraksi dengan rakyat, beliau sering ditanya bagaimana beliau mengimbangi antara tugas mentadbir negara dengan menjaga kesejahteraan diri.

Najib berkata, walaupun mempunyai jadual kerja yang ketat termasuk pada hujung minggu, beliau tetap mementingkan penjagaan kecergasan dan kesihatan diri supaya tugas beliau mentadbir negara tidak terganggu.

Perdana Menteri juga berkata, beliau mengawal pemakanan dengan makan mengikut masa, minum banyak air dan berhati-hati mengenai makanan yang diambil.

"Saya dapati langkah mudah ini memberi kesan positif terhadap tubuh dan minda saya. Di samping itu, saya sering menjalani pemeriksan tekanan darah.

"Malah, jika secara kebetulan menteri saya turut hadir ketika saya berjumpa doktor, saya akan minta mereka menjalani pemeriksaan darah juga," katanya.

Najib berkata, pertumbuhan pesat dan proses perbandaran mencetuskan isu baru berkaitan tubuh dan psikologi manusia apabila udara menjadi semakin tercemar, kualiti kehidupan merosot dan pergantungan kepada makanan yang diproses semakin meningkat.

Di samping itu, beliau berkata, satu lagi punca kemerosotan kesihatan ialah sikap "ambil mudah".

"Ramai daripada kita masih tidak memberi keutamaan terhadap pencegahan awal seperti menjaga kebersihan diri dan alam sekitar, bersenam atau makan secara selamat. Sekiranya kita tidak mengambil berat terhadap saranan serta usaha mengawal jangkitan penyakit, kita akan menderita," katanya.

Beliau berkata, matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju sepenuhnya sukar dicapai sekiranya rakyat tidak cukup sihat untuk berusaha ke arah itu.

"Tubuh yang tidak sihat menyukarkan pelajar mengikuti pelajaran dengan berkesan atau mengalang pekerja daripada menjadi produktif untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara atau tidak membolehkan kita berdepan dengan cabaran yang semakin meningkat untuk membangunkan negara pada abad ke-21 ini," katanya.

Beliau berkata, walaupun kos penjagaan kesihatan di Malaysia masih berada pada kadar munasabah dan berdaya saing berbanding kadar di negara maju, tetapi keaadan itu tidak semestinya kekal untuk selama-lamanya.

"Daripada menanggung bebanan fizikal dan kewangan akibat penyakit seperti penyakit jantung dan buah pinggang, kencing manis atau demam denggi, lebih baiklah dan lebih murah jika seseorang itu mengambil langkah penting dan mengurangkan risiko dihinggapi penyakit tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya melakukan transformasi terhadap gaya hidup masing-masing dengan mengambil langkah perlu bagi menjaga kesihatan dan menghindari diri daripada dihinggapi penyakit.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilancarkan untuk memastikan kemudahan penjagaan kesihatan dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata, sebagai contoh, hospital kerajaan dilengkapkan dengan mesin dialisis dan subsidi diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan pusat dialisis untuk pesakit buah pinggang.

Najib juga menyebut mengenai jaminan yang diberi kepada pekerja di seluruh negara melalui PERKESO bagi membantu meringankan beban yang terpaksa mereka pikul untuk membiayai kos perubatan dan penjagaan kesihatan, di samping penubuhan Klinik 1Malaysia mulai awal 2010 untuk memenuhi keperluan asas perubatan oleh keluarga berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar.

Terbaru, katanya, Kementerian Kesihatan melancarkan Perkhidmatan Perubatan Pos 1Malaysia untuk menghantar ubat-ubatan kepada mereka yang mengalami penyakit kronik serta layak menerima perkhidmatan itu dan langkah ini sekali gus mengurangkan bebanan yang dipikul oleh bahagian farmasi di hospital. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan