Isnin, 23 Mei 2011

ISU SOSIAL : Pesanan untuk anak-anak muda

oleh RAHMAN SHAARI

Anak-anak muda ialah ‘rebung’ yang arahnya masih dapat ditentukan. Oleh itu, perhatikanlah pembawaan baik untuk dijadikan contoh.

Pertama, perlu dicatatkan, pada masa ini akibat ketidaktenteraman masyarakat, anak-anak muda berada dalam suasana tidak tentu arah berkaitan hal agama dan budaya. Keadaan ini tidak disedari anak-anak muda, kerana segala-gala di sekeliling mereka seolah-olah merestui keadaan kacau ini. Mereka yang menconteng tembok, melontar batu ke kereta api, menyimbah asid ke arah perempuan, dan pelaku-pelaku kekejaman yang pelbagai, adalah hasil ketidaktenteraman yang demikian. Jika mereka sedar, mereka pasti akan berhenti berbuat demikian.

Kedua, anak-anak muda yang masih belajar hendaklah tahu, bahawa zaman belajar secara rasmi adalah terhad. Masa untuk belajar di sekolah, maktab, universiti dan lain-lain tidak boleh disia-siakan. Jika anak-anak muda (pelajar) membuang masa untuk berbual-bual kosong, berjalan-jalan (dan melepak) tanpa maksud tertentu, dan melayani khayalan tidak berhujung, maka akhirnya anda tidak akan menemukan kejayaan di tahap tinggi. Anak-anak muda yang belajar dengan rajin dan penuh perhatian akan berjaya dengan cemerlang dalam kehidupan.

Ketiga, bagi anak muda bekerja, ada perkara amat perlu difahami. Selalunya pekerja muda mengingini keselesaan. Jika mereka bekerja dengan kerajaan, selalunya beban kerja dapat diramalkan sejak awal. Tidak pernah kita dengar pegawai di pejabat tanah, guru, kerani dan lain-lain, merasakan pekerjaan mereka terlalu dihimpit kesibukan yang tidak terbayangkan sebelumnya. Tidak dinafikan, memang ada kerja bertimbun, tetapi itu selalunya dialami oleh penjawat yang telah lama bekerja dengan kerajaan.

Anak muda bekerja dengan syarikat (swasta) amat berkemungkinan berhadapan masalah longgokan tugas sejak awal-awal lagi. Tumpuan syarikat, termasuk sekolah atau universiti swasta juga, adalah perjalanan perniagaan. Jadi, anak-anak muda yang bekerja di situ hendaklah faham, bahawa ketaatan mereka pada tugas diberikan ialah sumber rasa sayang oleh majikan kepada mereka. Pekerja curi tulang, lembab dan suka merungut tidak akan dikasihi majikan.

Keempat, bagi anak muda ingin maju dalam bidang maklumat, satu pesanan saya - rajin-rajinlah membaca akhbar, mendengar berita radio, menonton berita televisyen atau mendapatkan berita daripada sumber lain. Kekayaan maklumat akan menentukan kemajuan dalam satu sudut kehidupan. Sekurang-kurangnya anak muda tidak tersenyum kosong (atau tersenyum bodoh) apabila orang bercakap tentang peristiwa penting dalam negara dan dunia. Kelima, sambungan pada pencinta maklumat ialah pencinta ilmu. Perbezaan antara maklumat dengan ilmu, ialah bahawa ilmu sentiasa berteraskan teori. Anak muda yang ingin memperdalam ilmu hendaklah membaca buku-buku penulis berwibawa.

Keenam, jika anak muda memutuskan akan berniaga, baik apa saja jenis perniagaan, yang utama ialah persediaan cukup. Berniaga sendiri dengan makan gaji amat berbeza. Peniaga hendaklah ada modal dan kesungguhan dengan disiplin diri menggunakan wang, tabah dalam menghadapi konflik yang tidak diduga, dan ada banyak lagi yang tidak terbayangkan semasa memulakan perniagaan.

Selain itu, terdapat anak muda yang meminati seni, sukan dan aneka aktiviti bersifat membina.

Semua itu eloklah diikuti dengan sederhana, berpadanan dengan masa lapang yang ada. Jika mempunyai bakat besar, baik dalam bidang maklumat, ilmu dan aktiviti, berkemungkinan bidang sedemikian itu pula akan menjadi lapangan mendatangkan pendapatan lumayan.

Ertinya, anak muda berbakat dalam penulisan novel, misalnya, akan menjadikan ia punca utama rezeki.

Apa-apa pun yang hendak dilakukan anak muda untuk kemajuan, yang penting ialah pemupukan minat dan bakat. Tanda minat ialah isi percakapan. Orang yang berminat bekerja di syarikat akan bercakap tentang cara-cara memajukan syarikat. Orang berminat berniaga akan banyak bercakap tentang perniagaan. Orang berminat mempertingkat ilmu, akan bercakap tentang buku yang baru dibacanya. Demikianlah seterusnya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan