Selasa, 5 Julai 2011

ISU BAHASA : Ejaan DBP tidak seragam?

Oleh Norhidayah Che Din
bhsastera@nstp.com.my

KETIDAKSERAGAMAN ejaan di antara Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Dewan Dalam Talian yang menjadi pedoman pengguna bahasa Melayu untuk merujuk ejaan paling tepat bagi sesuatu perkataan didakwa menjadi punca berlakunya kekeliruan.

Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Datuk Adilah Shek Omar menegur perkara terbabit selepas mendapati ejaan sesetengah perkataan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Dewan Dalam Talian berbeza.
“Singkatan Yang Berbahagia dalam Kamus Dewan Edisi Keempat misalnya YBhg., manakala dalam laman sawang, YBhg dieja tanpa titik. Hal ini mengelirukan pengguna yang sememangnya sudah keliru. Perlu ada satu pendirian dalam menentukan sistem ejaan,” katanya pada Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu-Isu Bahasa Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Rusli Abd Ghani ketika diminta mengulas perkara terbabit berkata, ketidakseragaman dalam ejaan disebabkan oleh gaya penerbitan dan tidak memudaratkan penggunaan bahasa.

“Dalam hal ini, sebenarnya tidak ada pedoman dalam penggunaan titik. Apa yang penting ia selaras dalam satu wacana dan bergantung kepada penulis sama ada mahu menggunakannya atau tidak. Misalnya singkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) tidak ada titik adalah disebabkan oleh permintaan pihak istana,” jelasnya.

Pada wacana itu, Adilah turut menegur ketidakseragaman ejaan dalam media massa memberi kesan besar kepada golongan muda yang mudah terpengaruh dan ia diburukkan lagi oleh sikap sesetengah pihak yang memandang remeh pada kesilapan ejaan dan tatabahasa, selagi maksud difahami.

“Dalam akhbar harian arus perdana, kita akan temui perkataan komersial dieja komersil, dekad menjadi dekat dan atlet dieja atlit. Ejaan hak cipta dieja hakcipta dan kru (krew). Begitu juga kesalahan penggunaan kata sendi nama. Lebih mendukacitakan nama negara juga salah.

“Walaupun perkara ini dilihat kecil, namun secara tidak langsung ia mencacat dan membantutkan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Kemurnian bahasa Melayu baik ejaan, sebutan dan tatabahasa perlu diberi perhatian jika rakyat Malaysia benar-benar mahu memartabatkannya?” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan