Selasa, 5 Julai 2011

PERISTIWA BAHASA : Malam Bahasa Jiwa Bangsa

Oleh Saadiah Ismail

Khalayak dikejutkan dengan laungan

KETIKA khalayak sedang asyik menunggu siapa yang akan membuka tirai Malam Bahasa Jiwa Bangsa di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini, tiba-tiba suasana bertukar kecoh apabila dikejutkan dengan laungan sekumpulan lelaki yang menjunjung keranda yang tertera tulisan Perlembagaan 152.

Laungan, “Ayuh kita berarak ke Parlimen. Kita bakar Perlembagaan 152. Ayuh!”, kedengaran beberapa kali ketika kelompok terbabit berlari menuju ke atas pentas dan lakonan sekumpulan lelaki berkenaan benar-benar mengejutkan khalayak, tetapi serentak itu kesedaran mereka bangkit.

Program anjuran DBP bersempena sambutan ulang tahun DBP ke-55 sebahagian daripada usaha untuk menunjukkan DBP masih relevan dan tema memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sengaja diangkat bagi membuktikan bahasa jiwa bangsa akan terus dipertahankan.

Suasana kembali tenang apabila murid Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rampai, Kuala Lumpur, tampil beramai-ramai mendendangkan lagu rakyat kanak-kanak, Bangau Oh Bangau, selain khalayak terpegun dengan persembahan mereka ekoran busana unik dan comel yang mereka gayakan dalam pelbagai pergerakan.

Tidak ketinggalan, khalayak Malam Bahasa Jiwa Bangsa turut terpegun dengan persembahan deklamasi puisi, Ng Chin Tze yang juga pemenang Pertandingan Pidato Festival Bahasa dan Sastera 2009 dan 2011 kerana nyata pelajar itu begitu fasih berbahasa Melayu.

Persembahan puisi berirama oleh lapan juruhebah Klasik Nasional, AIFM, AsyikFM dan MINNALFM, tidak kurang menarik dan bertambah segar ketika mereka menyanyikan lagu Bahasa Jiwa Bangsa dengan penuh bersemangat sehingga mempesonakan khalayak.

Gabungan juruhebah pelbagai kaum, Melayu, Cina, India dan Orang Asli, melahirkan kesepakatan melalui puisi yang disampaikan dalam gabungan bahasa mewakili kaum masing-masing dengan penekanan bahasa kebangsaan perlu dikekalkan, turut mencuri perhatian.

Malam puisi itu turut diserikan dengan persembahan Pembaca Berita RTM merangkap Pensyarah Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Jessica Ong dengan puisi, Cintaku Kepadamu, Bahasa Melayuku yang disifatkan penuh dengan keindahan.

Bahasaku itu indah rupanya
namun, kadangkala tajamnya ibarat pedang
menghiris dan membunuh perasaan
jika ujaran di luar kehalusan budi bahasa
jika tindakan di luar adab santun Melayu
pasti bahasa membunuh jati diri bangsa.

Justeru, saat indah bahasaku kian luntur
cintaku kepadamu Bahasa Melayuku
tak akan terhakis oleh rempuhan globalisasi
kerana aku adalah wasilahmu
lambang kekuatan warisan zaman.


Kesetiaan kepada bahasa Melayu oleh Dr Jessica disambut tokoh Persatuan Siam Malaysia, Suwanlerd Pro Pau yang beraksi dengan Rimbun Bahasa, tetapi beliau membuka bicara dengan perkataan sawadikap yang bermaksud selamat bertujuan menyatakan keturunannya.

Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, Raja Rajeswari Seetha Raman, mendendangkan puisinya, Rahsia Bahasa Pertiwi yang membuktikan betapa bahasa Melayu mampu berfungsi dalam pelbagai bidang.

Aku membeli kebijaksanaan ilmu
menikmati lazat pemikiran
dalam bahasa falsafah ini.

Aku menjual kesantunan budi
memperaga anggun warisan
dalam bahasa sopan ini.

Aku membaca luka sukma
merawat sengsara perasaan
dalam bahasa kemanusiaan ini.

Aku menarik berbilang dagang
meninggi ekonomi pertiwi
dalam bahasa komersial.

Aku menghirup damai abadi
menikmati tenang emosi
dalam bahasa toleransi.

Dakaplah bahasa pertiwi dengan berahi
berbantalkan keyakinan
atas ranjang pemodenan.


Tidak ketinggalan, Malam Jiwa Bangsa turut dihidang dengan persembahan bertenaga Pemenang Anugerah Artis Antarabangsa Terbaik Kodak Theatre, Hollywood, Ikhwal Hafiz Ismail yang mendendangkan Seroja dan Umpan Jenak di Air Tenang dengan penuh bersemangat.

Persembahan Johan Bintang Asli Kebangsaan 2000 dan 2006, Asmidar Ahmad yang menyampaikan lagu Songkok Mereng dan Sekuntum Bunga di Tepi Danau, mendapat tepukan gemuruh dengan hampir semua penonton turut sama menyanyikan lagu berkenaan.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz turut mempamerkan bakatnya dengan mendeklamasikan Balada Orang Kehilangan Jiwa, manakala Naib Pengerusi Ahli Lembaga DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, pula beraksi dengan Good Morning Putrajaya.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail, mengajak khalayak berkongsi kehebatan orang dulu kala ketika beraksi di pentas sehingga khalayak yang pandai menilai maksud tersirat di sebalik puisinya akan berasa betapa kerdilnya insan hari ini.

Nenek moyangku yang tidak pernah meminta
selain kain buruk berikan kami
buat menyapu si air mata
tidak memandang intan permata
mengejar gunung yang tidak berlari
menanti bulan jatuh ke riba.

Siapakah pencipta Seri Mersing?
bertambah pilu hati yang runsing
penyusun madah Jalak Lenteng
sedikit tidak beruntung lagi
patah hati terus merajuk
membawa diri ke hutan belukar
Siti Payung bertambah malang
ke mana pergi dihina orang.

Mengapakah kau menyembunyikan nama
adakah ia tidak penting bagimu
dan siapa pula yang mengajar bangsaku
untuk membiarkan namanya
kata dan maksud Melayu
dihilangkan satu persatu.


Johan Sayembara Mencipta Lagu Puisi 2007 dan 2008, Badrulhisham Abdul Hamid, mencuri perhatian khalayak dengan suara jantannya ketika melagukan puisi sehingga khalayak berasa seolah-olah sedang menghadiri persembahan sebuah konsert.

Tiga tokoh tersohor tanah air, Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2010, Zaen Kasturi; Sasterawan Negara (SN) Ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan SN Ke-11, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah, turut beraksi di pentas puisi dengan Zaen memilih Samudera Kata.

Dengan bahtera itulah, ya dengan bahtera itulah
kita terkadang leka mencipta rumus demi rumus
duga demi duga, tanya demi tanya
tentang pelayaran jauh hingga terkadang -kadang
pulau impian itu tenggelam timbul disihir samudera.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan