Selasa, 12 Julai 2011

ISU KESIHATAN : Etika di meja makan bentuk kanak-kanak

Oleh Liow Tiong Lai

Ibu bapa, guru kena berkorban bimbing anak jauhi laluan ke arah obesiti

TIDAK lama selepas Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa kantin sekolah dikehendaki menjual pelbagai jenis makanan sihat, saya melihat tindakan seorang ibu yang menuruti desakan anaknya yang mahukan makanan segera.

Kanak-kanak lelaki itu mungkin berumur 10 tahun dan ternyata mempunyai berat badan berlebihan. Si ibu cuba memujuk anaknya supaya pulang ke rumah untuk makan tengah hari, tetapi budak itu terus mendesak mahu makan di restoran makanan segera.

Ibu berkenaan mungkin menyangka dia menyokong anaknya dengan menurut kemahuan budak itu, namun hakikat adalah sebaliknya, tindakannya itu lebih mendatangkan keburukan kepada anaknya. Semakin ramai kanak-kanak hari ini membesar seperti budak lelaki berkenaan, diberi makanan bergoreng, gula-gula (“mak, tak mahu sayur!”), selain dilayani permainan video dan komputer.

Amalan pemakanan sedemikian, yang dipupuk sejak kecil dan akhirnya menjadi sebati di kalangan kanak-kanak, akhirnya menjadi amalan sepanjang hayat. Jika amalan pemakanan yang tidak betul itu dididik oleh ibu bapa anda sejak zaman kanak-kanak, besar kemungkinan tabiat anda itu tidak berubah apabila dewasa kelak. Lebih teruk lagi, anda juga mungkin memberikan didikan yang salah itu kepada anak anda kelak.

Kita tidak perlu menunggu sehingga anak meningkat dewasa untuk melihat kesan amalan pemakanan tidak sihat ke atas mereka. Kajian tempatan mendapati lebih ramai kanak-kanak kini mempunyai berat badan berlebihan, gemuk dan obes.

Beberapa kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan peratusan kanak-kanak gemuk (berumur 6 hingga 12 tahun) meningkat daripada 11 peratus kepada 12.8 peratus pada 2008. Peratusan kanak-kanak obes juga meningkat daripada 9.7 peratus kepada 13.7 peratus pada tahun sama.

Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, lebih ramai remaja belasan tahun didiagnosis menghidap diabetes mellitus Jenis 2, penyakit yang biasanya dihidapi orang dewasa selepas meningkat umur 40 tahun.

Kini kanak-kanak semuda usia 10 tahun mempunyai penyakit kronik ini. Pada 2010, seramai 305 kanak-kanak di bawah 12 tahun yang menghidap diabetes mellitus dirawat di hospital kerajaan. Bagaimanakah kesannya terhadap masa depan mereka? Apakah mereka akan mati lebih awal akibat komplikasi diabetes seperti sakit buah pinggang atau jantung? Di manakah letaknya kesilapan kita?

Ramai ibu bapa membuat kesilapan membiarkan amalan buruk menular pada zaman awal kanak-kanak. Mereka sangka anak itu masih kecil dan boleh berubah kemudian. Tetapi zaman awal kanak-kanak adalah masanya apabila segala pengajaran diberikan itu menyerap dalam otak mereka.

Saya menjadi vegetarian bukan pada zaman kanak-kanak, tetapi oleh kerana ibu bapa saya makan banyak sayur-sayuran, saya belajar mengamalkannya sebagai sebahagian daripada diet harian. Oleh itu, tidak sukar bagi saya bertukar menjadi vegetarian selepas tamat pengajian di universiti.

Saya dan isteri tidak pernah melarang anak kami supaya jangan makan itu atau ini. Mereka boleh makan apa saja, baik coklat mahupun aiskrim, asalkan jangan berlebihan. Kami beritahu mereka baik buruk mengenai pelbagai jenis makanan, supaya mereka mengetahui nilai yang betul dan boleh membuat keputusan sendiri.

Satu lagi pengajaran buruk yang kanak-kanak pelajari di meja makan ialah makan segala-gala yang ada di atas pinggan. “Jangan membazirkan makanan kamu!” tegas ibu bapa mereka yang memarahi mereka sambil menyumbat butiran akhir nasi ke mulut mereka.

Ya, saya setuju makanan tidak harus dibazirkan memandangkan ramai kanak-kanak kecil di seluruh dunia mati kebuluran.

Kita tidak perlu memaksa anak melicinkan makanan di pinggan mereka, sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah mengurangkan bahagian makanan diberikan kepada mereka, waima di rumah atau apabila membuat pesanan makanan di restoran.

Jika kita terus menyediakan bahagian makanan berukuran ‘super-size’, ukuran badan kanak-kanak itu pastinya akan bertukar menjadi super-size juga!

Apabila saya kenang kembali zaman kanak-kanak dulu, saya teringat yang saya lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah. Jarang sekali duduk berkurung di rumah selepas waktu sekolah. Sebaliknya, ibu bapa saya menggalakkan supaya keluar dan menunggang basikal bersama kawan, pergi memancing atau menjelajah kawasan di sekitar.

Anak zaman sekarang, terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar akan mendapati gaya hidup sedemikian agak janggal. Pada kebiasaannya mereka terus dibawa pulang ke rumah selepas sekolah, kemudian ke pusat tuisyen. Di rumah, waktu santai dihabiskan di hadapan televisyen, bermain ‘playstation atau permainan yang ada pada telefon bimbit.

Saya faham cabaran dihadapi ibu bapa moden sekarang, terutama mencari kawasan selamat supaya anak mereka boleh bermain atau beriadah. Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga boleh membawa anak mereka ke pusat rekreasi atau taman permainan pada sebelah petang atau hujung minggu, di mana mereka boleh bebas ke sana sini. Mereka hendaklah berusaha melakukan semua ini.

Penulis ialah Menteri Kesihatan www.liowtionglai.com/blog atau Twitter (@liowtionglai)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan