Ahad, 14 Ogos 2011

ISU BAHASA : 'Saya boleh cakap Melayu'

Sesi pembentangan di Bilik Wacana ATMA, oleh pelajar Korea dan Jepun.


Oleh Latifah Arifin
latifah@bharian.com.my


Pelajar Korea, Jepun mantapkan penguasaan demi nilai komersial dan ilmu

MELIHAT kesungguhan pelajar asing cuba berinteraksi menggunakan bahasa Melayu pada sesi pembentangan kertas kerja akhir sebelum menamatkan pengajian dalam Kursus Intensif Ketrampilan Bahasa Melayu (KIKBM), sememangnya mengagumkan.

Ternyata usaha Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memperkenalkan KIKBM bukan saja dapat membantu pelajar asing memenuhi tuntutan syarat wajib lulus dalam pengajian, tetapi juga membawa khazanah Melayu di mata dunia.

Penyelaras KIKBM, Prof Dr Ding Choo Ming berkata, sejak kursus itu diperkenalkan pada 1993, hampir 300 pelajar asing dari pelbagai negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Korea dan Jepun, menjalani program pembelajaran bahasa Melayu di ATMA.

“Di ATMA, kami bukan sekadar mengajar teori, tetapi pelajar turut dibawa mengenal nilai budaya dan sosial di Malaysia dengan kegiatan yang antaranya lawatan ke inap desa, menyediakan rakan sebagai mentor kepada mereka untuk mempelajari bahasa Melayu, selain program dalam kampus.

“Kebanyakan pelajar yang mengikuti kursus ini tidak tahu langsung berbahasa Melayu. Menerusi kursus ini tenaga pengajar memastikan sekurang-kurangnya 3,000 perkataan dalam bahasa Melayu dapat dipelajari bagi memudahkan mereka mendengar radio, membaca akhbar atau novel,” katanya yang ditemui selepas sesi pembentangan di Bilik Wacana ATMA, Bangi, baru-baru ini.

KIKBM merangkumkan lima aspek penting dalam pengajian Bahasa Melayu iaitu kemahiran komunikasi dan interaksi, tatabahasa, bacaan dan kefahaman, pendengaran serta penulisan, selain pelajar diberikan pilihan menjalani kursus intensif secara individu atau berkumpulan.

Menyaksikan pembentangan kertas kerja pelajar dari Korea, Ha Sang Seok dan Kazuki Kirimoto dari Jepun, membuktikan kursus setahun KIKBM sangat berkesan sehingga membolehkan mereka menulis dan membuat pembentangan dalam Bahasa Melayu dengan baik.

Sang Seok yang berusia 45 tahun, menyediakan kertas kerja, Korea dan Pelancongan membawa khalayak menelusuri keindahan negaranya daripada aspek kebudayaan, makanan dan tempat menarik untuk dilawati, dengan bersungguh-sungguh menggunakan bahasa Melayu, meskipun sekali-sekala tersekat.

Berada di Malaysia sejak September tahun lalu dengan tajaan daripada Perbadanan Pelancongan Korea, Sang Seok menyifatkan masa seakan pantas berlalu kerana beliau bakal pulang ke tanah airnya bulan ini.

“Bagi menarik minat orang Malaysia datang melancong ke Korea, kami perlu mahir berbahasa Melayu. Sebelum ini, seorang rakan sekerja saya juga pernah dihantar berkursus di ATMA untuk tujuan sama,” katanya yang lancar berbicara.

Beliau yang pada mulanya menyangka bahasa Melayu sama dengan bahasa Indonesia, sama seperti sebahagian besar rakyat Korea yang lain, kini dapat melihat perbezaan ketara di antara kedua-dua bahasa terbabit.

“Setelah mempelajari bahasa Melayu, saya dapat melihat perbezaan di antara kedua-duanya. Jika dibandingkan bahasa Indonesia lebih jelas sebutannya, terutama membabitkan huruf vokal berbanding bahasa Melayu,” katanya.

Pembelajaran di KIKBM disifatkannya sangat menarik terutama pada sesi berkumpulan dengan setiap pelajar perlu membaca sebuah buku cerita dan kemudian intipati ceritanya dikongsi bersama-sama pelajar lain.

Kirimoto, 21, memilih Sejarah Jepun pada sesi pembentangan mempunyai keyakinan tinggi berinteraksi dalam bahasa Melayu, meskipun agak teragak-agak pada sesi soal jawab ketika mahu menyampaikan maklumat diperlukan.

“Saya tertarik dengan kehidupan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Bangsa Melayu, Cina dan India hidup dalam keadaan rukun. Kami di Jepun tidak melalui pengalaman ini. Banyak peluang pekerjaan yang dapat saya terokai dengan mempelajari Bahasa Melayu,” katanya yang bakal meneruskan semula pengajian di Universiti Setsunan tidak lama lagi.

Pada majlis sama, Timbalan Pengarah ATMA yang juga panel penilai sesi pembentangan itu, Prof Dr Teo Kok Seong, menyuarakan rungutan pelajar berhubung sikap rakyat Malaysia yang kurang berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan rakyat asing.

“Saya banyak menerima rungutan daripada pelajar yang menghadapi masalah mempraktikkan bahasa Melayu di Malaysia kerana rakyat di sini lebih gemar berbahasa Inggeris. Rakyat Malaysia kurang sabar dan berasa leceh untuk berbual dalam bahasa Melayu dengan orang asing,” katanya yang berharap rakyat Malaysia menghakis sikap buruk itu kerana ia akan menjejaskan usaha mengembangkan bahasa Melayu ke persada dunia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan