Sabtu, 13 Ogos 2011

ISU ANTARABANGSA : Rusuhan yang memudaratkan

RUSUHAN tercetus di London baru-baru ini bukan kerana polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam di Tottenham pada 4 Ogos lalu. Tragedi itu tidak mungkin boleh membuatkan rakyat terutama kulit hitam mengganas hingga ke Liverpool, Manchester dan Birmingham. Terbunuhnya lelaki kulit hitam, Mark Duggan hanya percikan api pada minyak yang tumpah. Jadi, persoalannya kenapa minyak tumpah?

Pada hari berikutnya lebih kurang 200 orang keluarga dan sahabat handai mangsa berarak ke balai polis sebagai protes. Sepatutnya adegan drama pembunuhan ini habis di situ saja. Perarakan itu terlalu kecil untuk menggegarkan Britain. Maka tentu ada faktor lain yang menjadi pemangkin kepada keganasan yang menyebabkan kerugian dianggarkan lebih 200 juta pound.

Maknanya rusuhan itu bukan semata-mata kerana membalas dendam kepada polis. Dendam sahaja tidak cukup untuk mendorong keganasan yang melumpuhkan London. Sebaliknya banyak faktor utama yang menyumbang kepada kemarahan rakyat terutama yang bergelandangan kerana kemiskinan. Rusuhan ini bermula di Tottenham. Ini adalah antara kawasan termiskin dan pengedaran dadah dan pusat jenayah yang banyak dihuni oleh orang kulit hitam. Mengikut perangkaan, hampir 10,000 penganggur mendiami kawasan gelandangan ini. Di bawah bayang bangunan pencakar langit di London, hakikatnya wujud rakyat hidup bergelandangan akibat kemelesetan ekonomi.

Kebetulan yang banyak menganggur dan miskin adalah kulit hitam dan ini berjangkit menjadi isu kaum antara kulit putih dan kulit hitam. Tetapi penyebab utama yang jelas kelihatan adalah kemelesetan ekonomi yang melanda Eropah khususnya Britain. Meningkatnya kadar pengangguran, kecilnya peluang pekerjaan, luasnya jurang miskin kaya dan tindakan kerajaan yang banyak memotong belanjawan perkhidmatan awam adalah kuncinya. Jurang kaya miskin sangat luas, misalnya pada tahun 2010 harta yang dimiliki oleh 1,000 orang terkaya di Britain meningkat 30 peratus iaitu lebih 333.5 bilion pound.

Memang tidak dinafikan rusuhan ini memberi tekanan paling hebat kepada Perdana Menteri David Cameron. Inilah api dalam sekam yang sebelum ini dilindung dari pandangan. Kemiskinan boleh membuat manusia hilang waras. Golongan muda tercicir dan mereka memprotes kepada sistem yang tidak adil kepada rakyat bawahan.

Kurang bersedia

Cameron ternyata kurang bersedia mendepani kebangkitan rakyat. Dia gagal membendung sentimen ini merebak hingga di luar London dan mengambil masa berhari-hari lamanya untuk bertindak tegas. Walaupun media sosial seperti facebook dan Twitter termasuk telefon pintar BlackBerry dikatakan menyebarluas tentang rusuhan ini, faktor utamanya rakyat marah kerana kemelesetan ekonomi.

Cameron daripada parti Konservatif memegang tampuk kuasa selepas mendapat majoriti kecil pada pilihan raya 2010. Konservatif terpaksa bergabung dengan parti Liberal Demokrat yang lebih kecil untuk membentuk kerajaan. Cameron mengambil langkah drastik memotong belanjawan perkhidmatan awam untuk mengurangkan defisit. Langkah ini berjaya bagaimanapun ini mengorbankan banyak peluang pekerjaan dan menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

Ini adalah kali kedua rusuhan yang menggegarkan Britain. Tahun lalu ketika Cameron baru memegang tampuk kuasa, rusuhan pelajar tercetus kerana langkah Cameron memotong banyak peruntukan bagi pengajian lanjutan dan menaikkan yuran tuisyen. Rakyat membantah langkah Cameron menangani masalah kewangan dengan mengorbankan keperluan pendidikan. Rusuhan yang disertai oleh lebih 50,000 orang itu digerakkan oleh Kesatuan Pelajar Kebangsaan (NUS) dan Kesatuan Kolej dan Universiti (UCU). Lebih memalukan perusuh juga menyerang kereta yang membawa Putera Charles dan Carmila semasa melintasi Regent Street di London.

Bagaimanapun Cameron menolak rusuhan kali ini kerana pemotongan yang dilakukan oleh kerajaan. Alasannya sebahagiannya belum dilaksanakan lagi. Sebaliknya Cameron secara mudah menyalahkan penjenayah yang mengambil kesempatan daripada tragedi polis menembak lelaki kulit hitam itu.

Parti Buruh memegang tampuk kuasa selama 13 tahun hingga tahun lalu bawah kepimpinan Tony Blair dan akhir sekali Gordon Brown menganggap langkah kerajaan mengurangkan belanjawan perkhidmatan awam agak melampau. Berikutan rusuhan ini parti Buruh meletakkan tanggungjawab kepada Cameron.

Tidak dapat menolak bahawa pengaruh kejayaan beberapa rusuhan di Mesir, Tunisia, Libya dan Greece baru-baru ini menjadi pendorong rakyat memintas jalan singkat dengan tindakan tersebut. Tetapi yang berlaku negara-negara itu kecuali di Greece adalah untuk menurunkan diktator yang banyak merompak wang rakyat. Rusuhan di Britain bukan kerana politik tetapi ketidakupayaan kerajaan mengurangkan kadar pengangguran.

Akibatnya wibawa Cameron banyak terjejas. Sebelum ini dia dikaitkan dengan skandal penggodaman telefon mangsa serangan 11 September 2001 oleh akhbar News of the World milik Rupert Murdoch. Walaupun akhirnya akhbar yang berusia 165 tahun itu ditutup tetapi kontroversi skandal itu memberi peluang kepada pembangkang menyerang Cameron. Ini kerana Murdoch memang terkenal sebagai penentu kuasa politik dan orang yang paling berkuasa di dunia kerana menguasai media utama. Malah skandal itu juga membongkarkan pakatan untuk menjual syarikat penyiaran terbesar British Sky Broadcasting (BSkyB) kepada News Corps milik Murdoch.

Walaupun rusuhan berjaya mencalarkan kerjaya politik Cameron tetapi tidak memberikan apa-apa hasil kepada rakyat, kecuali mereka boleh mencuri barang berharga di gedung-gedung mewah di London. Rusuhan tidak pernah berhasil kerana ia bertentangan dengan undang-undang. Buktinya di Mesir yang membawa kepada kejatuhan diktator Hosni Mubarak. Tetapi hingga sekarang belum wujud kestabilan politik dan keamanan selepas diktator ditumbangkan. Biarlah ada pihak yang menamakan rusuhan itu sebagai demonstrasi secara aman dan sebagainya, semua itu tidak memberikan hasil yang baik melainkan kemusnahan yang menyusahkan rakyat.

Lihatlah di London, sebanyak 16,000 pegawai polis terpaksa dikerahkan untuk mengekang rusuhan berbanding 2,500 orang pada suasana biasa. Ini juga satu pembaziran yang nilainya terpaksa ditanggung oleh rakyat. Dalam satu undian yang disiarkan oleh akhbar The Sun baru-baru ini mendapati satu daripada tiga orang mahu polis menggunakan peluru hidup terhadap perusuh.

Walau apa sekalipun, London yang sebelum ini dianggap tempat yang aman telah tercemar dengan rusuhan ini. Buktinya seorang pelajar Malaysia cedera parah dipukul oleh perusuh yang merompaknya.

Mungkin ini dilakukan oleh penjenayah tetapi orang hanya ingat tragedi ini berlaku ketika rusuhan golongan gelandangan yang mencari nafas untuk menyambung hidup. Mereka merusuh untuk mengubah hidup.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan