Jumaat, 4 November 2011

ISU BAHASA : Pemansuhan PPSMI perkasa bahasa Melayu

PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) merakam ucapan tahniah dan syabas kepada Kementerian atas penyataan tegas berkaitan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) (seperti yang tersiar dalam akhbar) terbukti membawa banyak keburukan dan mudarat kepada pelajar seluruh negara dan bahasa Melayu khususnya berbanding kebaikan yang dihasratkan.

PLM tidak akan mengulang alasan yang sudah diberikan Kementerian, cuma sekadar mengingatkan banyak cara atau kaedah yang belum dan dapat dilakukan untuk memandaikan anak Malaysia dengan bahasa Inggeris dan jangan hendaknya dipilih cara yang dapat menjejaskan peranan dan upaya sedia ada akan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuk sains dan teknologi dan bahasa pembina tamadun di negara ini.

Tidak ada negara lain yang membuang bahasanya sendiri kecuali beberapa kerat negara yang berterusan mengekalkan penggunaan bahasa asing (penjajahnya) sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa penyebar ilmu di sekolah dan universiti.

Jelas terbukti bahasa Inggeris bukan bahasa mutlak untuk kemajuan. Semua bahasa berpotensi sebagai bahasa kemajuan dan di bahu bangsanya dan negaranya terpikul tanggungjawab itu. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sudah terbukti sejak lama dulu dan cuma perlu dipergiat lagi bagi bidang sains dan teknologi sesuai perkembangan masa kini.

Sejak tertubuhnya pada 1970, PLM berkeyakinan, tidak pernah dan tidak akan surut pendirian bahasa Melayu sememangnya berupaya memajukan bangsa dan negara ini seperti terbukti selama 30 tahun Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan di semua peringkat sekolah dan malah di universiti iaitu sejak tahun 1970 sehingga 2002 (sebelum pelaksanaan PPSMI).

PLM juga menyedari penguasaan satu bahasa saja tidak mencukupi malah satu tragedi malang. Anak Malaysia perlu menguasai bahasa asing dengan cara atau kaedah betul seperti Korea, Jepun, Mandarin, Arab, Perancis dan sebagainya serta tidak terhad kepada bahasa Inggeris saja.

PLM tidak jumud dalam hal ini malah sudah menerbitkan penyataan menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri agar bahasa Inggeris diwajibkan lulus pada peringkat SPM dengan syarat mengambil kira segala faktor perlu yang sudah dinyatakan PLM sebelum ini termasuk serentak dengan itu mewajibkan kelulusan tahap kepujian bagi mata pelajaran bahasa Melayu kerana statusnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden PLM

Sumber : http : //www.bharian.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan