Isnin, 7 November 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : BUKAN SEMATA-MATA IJAZAH


Siswazah berkemahiran jadi pilihan

Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

INSTITUSI pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS) bagaikan menerima tamparan hebat apabila segelintir pihak industri menganggap siswazah peringkat tinggi yang dilahirkan hanya akan menyumbang kepada pembaziran dan pengangguran.

Biarpun kebiasaannya, graduan dianggap sebagai aset, bagi pelabur mereka hanya bernilai apabila mampu menyumbang sesuatu untuk negara atau mendatangkan impak kepada masyarakat terutama soal ekonomi.

Tanggapan itu tidak boleh dianggap sebagai ‘lawak jenaka’ kerana dikeluarkan berdasarkan senario peningkatan pengangguran dalam kalangan graduan sekali gus mencetuskan polemik sistem pendidikan tinggi di negara itu boleh dipertikaikan.

Meskipun ada universiti ternama dan dikenali dalam kalangan masyarakat dunia, bukan semua mampu mengekalkan standard tinggi seperti disasarkan malah sebahagian besarnya hanya berpaksikan kepada keupayaan universiti ‘biasa’ sama di tempat lain.

Pelabur yang juga penaung kepada Yayasan Thiel dan Stevans, Peter Thiel, berkata kebanjiran siswazah peringkat tinggi yang hanya mempunyai pencapaian sederhana bukan saja menyebabkan kebanjiran pencari kerja di pasaran kerjaya malah menjadikan mereka bukan pilihan majikan.

Menurutnya, meskipun ada pihak menganggap mereka berkelayakan, hakikatnya, majikan mahu mencari graduan yang ‘berbeza’ serta mempunyai kemahiran luar biasa.

“Status yang disandang sebagai warga universiti menjadikan masyarakat ‘buta’ dalam memberi penilaian sedangkan sebahagian besar mereka tidak mempunyai standard dikehendaki industri. Namun, kerana salah penafsiran, mereka dianggap warga istimewa dan golongan terpilih.

“Hakikatnya, apa dikehendaki masyarakat sebenarnya sangat berbeza seperti dikehendaki pelabur dan industri. Kami bukan mahu mencari siswazah semata-mata, namun mereka yang mampu menyumbang ke arah pembangunan ekonomi.

“Ketidakfahaman mengenai fungsi mahupun aspek sasaran akhirnya mencetuskan konflik antara satu sama lain. Kami pelabur menyasarkan keuntungan tapi pada masa sama tidak juga menafikan hak siswazah.

“Cuma bagi mendapat perhatian, mereka perlu mengikut rentak dan kehendak kami selaras apa yang sudah ditetapkan. Siswazah perlu melihat pelbagai kemungkinan dari kaca mata pelabur, barulah mereka memahaminya,” katanya.

Kenyataan Thiel itu umpama amaran kepada universiti juga siswazah supaya mereka bersedia memperlengkapkan diri dengan segala kemahiran juga aspek yang dirasakan relevan bagi membantu mereka mendapatkan tempat di hati industri.

Biarpun mungkin mempunyai senarai pencapaian akademik yang baik, itu bukan jaminan mereka berjaya kerana industri sudah tentu mempunyai banyak pilihan mahupun sudut pandangan berbeza mengenai kemampuan graduan.

Sejarah turut membuktikan mereka yang tercicir dalam pengajian peringkat tinggi mampu mencipta nama besar dan menjadi ikon dalam industri global.

Membuktikan kebenarannya, syarikat Thiel hanya menawarkan biasiswa kepada 24 siswzah yang benar- benar diperakui berpotensi dalam tempoh 15 tahun sekali gus menunjukkan dia benar- benar selektif dan cerewet.

“Ini menunjukkan kami sebagai pelabur benar-benar mahukan calon yang terbaik yang mampu memberikan komitmen melebihi seratus peratus dalam semua aspek. Jika siswazah tidak melihatnya sebagai satu masalah kronik, mereka pasti selamanya berada di takuk lama.

“Kami tidak kisah kerana masih banyak pilihan yang ada dan bebas memilih sesiapa dikehendaki. Perlu diingat, jika semua yang terbaik sudah menjadi pilihan dan mempunyai jaminan, nasib mereka yang tertinggal pasti buruk,” katanya.

Bagaimanapun kenyataan Thiel meskipun ada kebenarannya menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan pentadbir mahupun ahli akademik yang membidasnya sebagai berat sebelah.

Presiden Northeastern University di Boston, AS, Joseph E Aoun menyatakan bukan senang untuk memastikan mahasiswa peringkat tinggi mempunyai nilai kualiti tanpa cacat cela kerana ia bersifat subjektif.

Malah katanya, tidak ada alasan munasabah untuk menyimpulkan tanggapan Thiel bahawa siswazah itu gagal memberikan sumbangan atau inovasi kepada industri jika dibandingkan dengan siswazah peringkat sederhana atau kolej.

“Menilai potensi manusia adalah sesuatu yang mustahil untuk diterjemahkan melalui pemerhatian. Ia bukanlah bahagian yang boleh diperbetulkan sekelip mata atau berubah mengikut kehendak sesuatu.

“Setiap potensi, bakat atau apa jua sekalipun bersifat subjektif dan tidak boleh dipertikaikan sewenang-wenangnya kerana menyalahi konsep kemanusiaan. Kita perlu mengakui dunia hari ini sedang bergelut dengan pelbagai krisis.

“Namun, menyalahkan siswazah ini sebagai antara penyumbang merudumnya ekonomi atau pembawa masalah, cukup tidak adil kerana ia bertentangan dengan kehendak kehidupan sejagat.

“Tiada sesiapapun berhak untuk mengkritik atau melabelkan seseorang itu dengan hanya berpandukan pencapaian pada sehelai kertas mahupun fizikal. Setiap manusia ada kuasa dan peluang,” katanya.

Dia juga berkeyakinan siswazah peringkat tinggi masih mempunyai nilai tersendiri dan mereka boleh menyumbang secara intelek dan menjadikan golongan terbabit lebih ke depan biarpun pada masa sama mengakui, negara berkenaan sedang berdepan isu yang sangat kompleks mengenai institusi pengajian tingginya

“Masalah ini serius, namun pendidikan tinggi masih berkepentingan untuk melahirkan masyarakat berilmu, bertamadun dan berpengetahuan. Sudah tentu masih ada cara untuk mengatasinya sekali gus menjadikannya pelaburan sepanjang hayat.

“Bukan mahu bersikap biadab, namun graduan peringkat tinggi seringkali ditakrifkan dengan kemampuan berfikiran matang dan wajar menjadi pilihan majikan.

“Ini realiti yang perlu diterima semua pihak kerana antara pengajian peringkat sederhana dan tinggi, masing - masing ada kelebihan mahupun kekurangannya.

“Ia bukan alasan untuk menafikan hak malah sesiapa juga yang mempunyai kemampuan boleh menjadi penyumbang ekonomi yang baik biarpun tidak mempunyai latar belakang akademik baik,” katanya mengakui kombinasi kedua kelompok terbabit boleh membantu memajukan ekonomi semasa.

“Negara bergantung secara kolektif bukan individu untuk meningkatkan pencapaian ekonomi dan mempromosikan kemampuan sosial. Itu makna perjuangan sebenar dan seharusnya menjadi paksi yang dipegang untuk membantu antara satu sama lain.

“Bukankah lebih baik andai kata dua kelompok ini diberi peluang menjadi antara penyumbang dan penerus kesinambu–ngan golongan pendidikan tinggi berbanding terus dilagakan antara satu sama lain.

“Dunia sedang berubah dan menafikan hak universiti melahirkan golongan berpendidikan tinggi sangat kejam serta di luar dugaan. Seperti tidak percaya ada golongan yang berfikiran skeptikal lebih-lebih lagi di kalangan industri.

“Biarpun perspektif berbeza, alasan menidakkan tanggungjawab pihak lain sangat tidak berasas. Masing- masing perlu melaksanakan tanggungjawab,” tegasnya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan