Jumaat, 30 Disember 2011

ISU BAHASA : Budi bahasa makin hilang?


APABILA bercakap tentang budi bahasa ramai akan berkata bahawa rakyat Malaysia terutama orang Melayu cukup kaya dengan nilai-nilai tersebut.

Lebih ekstrem lagi ada yang akan menjawab budi bahasa dan sopan-santun tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat timur terutama rakyat negara ini.

Tetapi adakah realitinya sama seperti yang diperkatakan itu. Adakah masyarakat kita mengotakan apa yang mereka kata apabila membabitkan budi bahasa?

Jika masyarakat kita mendakwa mereka menjadikan budi bahasa sebagai amalan apakah ukurannya?

Budi merupakan perbuatan atau akhlak yang baik terutama sesama manusia. Ia termasuk membabitkan tingkah laku, pertuturan dan perangai.

Termasuk juga dalam kategori budi itu ialah mereka yang jujur, ikhlas, pemurah, suka tolong orang, ada belah ihsan dan saling bantu membantu.

Tetapi apabila seseorang itu dikatakan berbudi bahasa maka ia bermaksud perbuatan, tingkah laku dan perangai yang baik termasuk pertuturannya sekali. Sebabnya, bahasa juga melambangkan sama ada seseorang itu berbudi atau tidak.

Apabila bercakap soal budi bahasa ia mencakupi aspek yang sangat luas. Ia membabitkan nilai dan norma hidup masyarakat kita.

Masyarakat yang berbudi bahasa adalah masyarakat yang terdiri daripada individu yang jujur, ikhlas, sopan, pemurah, saling tolong menolong, berakhlak mulia, menggunakan bahasa yang baik, hormat, menghargai orang lain, berterima kasih dan faham akan kedudukan orang lain.

Berbudi bahasa akan memberikan kesan yang baik kepada masyarakat. Ia merapatkan silaturahim, saling percaya-mempercayai dalam dalam konteks Malaysia dapat meningkatkan perpaduan antara kaum.

Budi bahasa sepatutnya dijadikan asas dalam proses membina masyarakat yang beradab dan bertamadun. Bagi orang Islam pula ia selari dengan ajaran agama.

Bukankah orang Islam apabila bertemu perlu mengucapkan salam? Tetapi adakah ia menjadi amalan dalam kehidupan seharian?

Adab mengenai salam juga sudah disusun dengan cantik. Yang baru sampai memberi salam kepada yang sudah lama sampai. Tetamu memberi salam kepada tuan rumah dan yang muda memberi salam kepada yang tua.

Semua itu merupakan perbuatan yang mempunyai kaitan dengan budi bahasa.

Berbudi bahasa pula bukan sekadar melayan orang yang bertanding ke rumah atau orang yang kita kenali dengan baik.

Tetapi untuk sesuatu masyarakat itu dianggap berbudi bahasa ia melibatkan pelbagai aspek.

Satu ketika rakyat negara ini melenting apabila satu laporan media barat mengatakan penduduk negara ini tidak atau kurang berbudi bahasa.

Kenapa kita perlu melenting sekiranya dalam kehidupan seharian budi bahasa memang tidak menjadi amalan kita terutama apabila berada di tempat awam.

Pernah kita meminta maaf apabila terlanggar bahu orang lain ketika di pasar raya atau di tempat yang agak sesak? Pernahkah kita mengucapkan terima kasih kepad pelayan yang menghantar air kepada kita? Atau hanya memandangnya dengan pandangan sinis kerana menganggap itu memang tugasnya.

Itu belum mengambil kira perbuatan membantu orang kurang upaya, orang tua, wanita mengandung mereka yang dalam kesusahan dan sebagainya.

Malah budi bahasa juga dinilai melalui kata-kata. Jika di lihat kepada bahasa yang digunakan oleh generasi muda hari ini, nilai-nilai budi bahasa itu semakin terhakis.

Orang yang berbudi bahasa akan melafazkan kata-kata yang mengandungi maksud yang baik dengan nada yang elok dan tidak menyakitkan perasaan orang lain.

Bahasa-bahas kasar yang kian berleluasa dan dilafazkan secara terpekik-pekik serta ditambah pula dengan kata-kata lucah tidak mencerminkan masyarakat yang berbudi bahasa.

Tetapi jangan pula apabila dengan berbudi bahasa itu kita akan menjadi menjadi masyarakat yang lemah. Sebaliknya ia akan menjadikan sesuatu bangsa itu lebih disegani dan dihormati.

Sebagai masyarakat timur terutamanya penduduk Melayu yang beragama Islam, mereka sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Budi bahasa juga akan membawa kepada masyarakat yang saling hormat menghormati tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.

Tetapi jika dilihat kepada senario hari ini ia seolah-olah menggambarkan nilai-nilai murni dan budi bahasa semakin terhakis di kalangan masyarakat kita terutama generasi muda.

Perbuatan merosakkan harta benda awam, menconteng, tidak mematuhi peraturan, melawan guru dan sebagainya adalah contoh keadaan masyarakat kita yang semakin terpesong daripada landasan budi bahasa.

Malah kemalangan maut yang meragut ribuan nyawa setiap tahun juga sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan amalan budi bahasa.

Jika kita berbudi bahasa di jalan raya kamalangan tentunya dapat dielakkan.

Di mana silapnya? Adakah ibu bapa yang gagal berperanan atau guru-guru gagal memberikan didikan?

Jika dilihat kepada sistem kekeluargaan hari ini yang lebih bersifat materialistik ia sedikit sebanyak menyumbang kepada penghakisan budi bahasa di kalangan masyarakat.

Kerana sibuk anak-anak dan ibu bapa semakin jarang bertegur sapa. Kerana terlalu biasa duduk bersendirian tanpa pemantauan anak-anak menjadi tidak endah. Sikap itu tentunya akan dibawa pula ke sekolah. Pantang ditegur guru-guru pula menjadi mangsa.

Perkara ini jika tidak dibendung akan melahirkan masyarakat yang berjaya tetapi tidak ada jiwa.

Sebab itu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengambil inisiatif melancarkan Adab Sopan dan Nilai-nilai Murni bagi membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu, bertoleransi, saling memahami dan bekerjasama serta cintakan negara.

Tidak ada maknanya jika Malaysia mencapai status negara maju tetapi rakyatnya langsung tidak berbudi bahasa.

Rakyat berkemahiran tinggi memang penting untuk negara. Tetapi pada masa sama ia juga memerlukan rakyat yang berbudi bahasa.

Sejarah telah membuktikan bahawa banyak empayar atau negara yang maju telah runtuh lantaran generasi yang mewarisinya gagal menjaga ketamadunan yang dicapai kerana mereka mempunyai moral yang rendah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan