Isnin, 26 Disember 2011

ISU PENDIDIKAN : Kecemerlangan bukan sekadar akademik


Tan Sri Allimuddin Mohd Dom

TAHNIAH kepada 34,271 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu A dalam semua mata pelajaran. Demikian juga kepada pelajar lain yang mendapat sekurang- kurangnya beberapa A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini.

Kepada mereka yang tidak cemerlang atau tidak mendapat satu A pun janganlah kecewa dan berputus asa kerana dunia masih belum lagi berakhir.

Ada banyak lagi perkara yang perlu anda fikirkan dalam hidup ini dan kejayaan masa depan bukan semata-mata bergantung kepada kecemerlangan akademik tetapi melibatkan beberapa kriteria lain.

Kepada ibu bapa janganlah menunjukkan sikap marah atau mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati anak sekiranya mereka tidak mendapat keputusan cemerlang. Elakkan suka berleter atau menyindir kerana ia boleh mengecilkan hati anak.

Ada juga ibu bapa yang sengaja membandingkan dengan anak jiran atau sanak saudara lain yang mendapat keputusan lebih baik.

Pada ketika ini apa yang perlu dilakukan ialah memberi mereka kekuatan semangat atau kata-kata galakkan supaya membuat penilaian atau muhasabah diri dan berusaha lebih keras agar mendapat keputusan lebih baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan ditempuhi dua tahun lagi.

Tidak dapat dinafikan fenomena dalam setiap kali peperiksaan sama ada di peringkat rendah atau menengah ibu bapalah yang paling sibuk jika dibandingkan dengan anak yang mengambil peperiksaan.Sebelum tarikh peperiksaan bermula pergerakan anak sentiasa dikawal.

Ada di antara ibu bapa yang tidak membenarkan anak mengikuti aktiviti kokurikulum dan permainan di sekolah kerana dikatakan akan mengganggu rentak mereka membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan.

Kelas-kelas tuisyen sudah menjadi kemestian, tidak cukup di sebelah petang maka waktu malampun terpaksa menghadiri kelas tersebut.

Bagi yang lebih prihatin akan mengambil cuti khas untuk membolehkan mereka menghantar dan mengambil anak ke sekolah sepanjang masa peperiksaan.

Debaran ibu bapa kian memuncak apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Di sesetengah sekolah bilangan ibu bapa yang hadir melebihi bilangan calon yang mengambil peperiksaan.

Bila keputusan diumumkan ibu bapa akan tersenyum lebar sekiranya anak mendapat keputusan cemerlang tetapi akan masam mencuka jika keputusan sebaliknya.

Ada juga yang tidak berpuas hati dengan keputusan lantas berjumpa pengetua untuk mengisi borang bagi menyemak semula keputusan peperiksaan yang baru diumumkan itu.

Turut terdapat kes yang keterlaluan iaitu dengan marah-marah dan menyalahkan guru atau pihak sekolah yang menyebabkan anaknya tidak mendapat keputusan baik.

Suasana meriah apabila keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau STPM diumumkan turut dimainkan oleh media massa. Wartawan akhbar atau televisyen bukan sahaja membuat liputan semasa pengumuman keputusan peperiksaan di Kementerian Pelajaran tetapi turut menghantar wartawan ke sekolah-sekolah tertentu.

Suasana hiruk-piruk semasa penyerahan slip peperiksaan atau ketika pelajar bersorak riang diberikan fokus utama. Gambar pelajar dijulang atau sedang menangis kegembiraan turut diberi liputan. Menjadi kebiasaan temu bual dibuat dengan pelajar cemerlang dan ibu bapa. Ironinya jarang yang memberi pujian kepada jasa dan sumbangan guru atau pengetua.

Akibat terlalu banyak liputan dan publisiti oleh media massa terhadap pencapaian pelajar dalam peperiksaan maka ada yang bertanya adakah matlamat pendidikan seolah- olah terletak kepada keputusan peperiksaan?

Sekolah-sekolah yang cemerlang hanya dinilai terhadap berapa peratus keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran atau berapa ramai pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan tersebut.

Terlalu menekankan pencapaian dalam peperiksaan atau komponen intelek sahaja maka bidang jasmani, rohani dan emosi seolah-olah telah diabaikan. Sedangkan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan menghendaki perkembangan seimbang dalam keempat komponen tersebut supaya dapat dilahirkan modal insan atau individu yang bersifat holistik dan berketerampilan sesuai dengan keperluan cabaran global dan tuntutan masa.

Jika ditanya kepada pengetua atau guru- guru mengapa mereka turut memberi penekanan kepada bidang akademik. Jawapannya telah dijangka bahawa inilah yang dikehendaki oleh ibu bapa iaitu ingin melihat anak- anak mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

Tidak dapat dinafikan pencapaian itu pula ada kaitan dengan peluang untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan bagi mendapat biasiswa atau bantuan pelajaran.

Ternyata bahawa peluang memasuki institusi pengajian tinggi awam yang ternama dan memilih bidang kajian yang diminati adalah banyak dipengaruhi kecemerlangan keputusan peperiksaan.

Sesungguhnya keadaan ini adalah di luar kawalan pihak sekolah dan norma itu telah lama wujud dalam masyarakat kita.

Apakah ukuran sebenar untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya di masa hadapan? Tidak dapat dinafikan bahawa pencapaian cemerlang dalam peperiksaan adalah salah satu kriterianya.

Walau bagaimanapun ciri-ciri lain perlu ada iaitu mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif, kemahiran berkomunikasi, kebolehan membuat keputusan, sikap berani mencuba, tidak takut gagal, rajin, ada kesungguhan, proaktif dan mempunyai tubuh badan yang sihat.

Individu yang mempunyai ciri-ciri tersebut dikatakan mempunyai kelebihan, peluang dan kekuatan selepas meninggalkan bangku sekolah.

Mereka mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan berkeupayaan bersaing dalam dunia yang kian mencabar.

Oleh itu kepada pelajar yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang lepas jangan merasa kecewa atau berputus asa. Cuba bermuhasabah diri dan renungkan kembali apakah sebab atau punca yang yang menyebabkan keputusan tidak menyerlah.

Ambil langkah susulan dan tindakan segera bagi memperbetulkan keadaan tersebut. Walaupun peperiksaan SPM akan menjelang dua tahun lagi tetapi buatlah persediaan awal supaya pencapaian yang akan datang lebih cemerlang.

Kepada ibu bapa pula berikan dorongan dan bimbingan agar anak sentiasa merasa lebih dihargai dan yakin dengan kebolehan diri mereka sendiri.

Selamat berusaha.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia
Berhad


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan