Isnin, 26 Disember 2011

ISU SOSIAL : Kebebasan perlu didisiplin


Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my

Hidup tanpa sekatan penyumbang kecelaruan sosial

KEBEBASAN bersuara dalam pelbagai aspek, termasuk kebebasan media, kebebasan berhimpun, kebebasan akademik, kebebasan menyertai parti politik (bagi pelajar universiti) dan seumpamanya sedang dan akan terus hangat diperkata. Begitu juga dengan kebebasan diri dan kebebasan peribadi seperti kebebasan seksual identiti dan seksual orientasi. Pembaca juga maklum, perkembangan semasa berkaitan kebebasan ini bukan perkara kecil. Ia sudah menular sehingga terdapat perselisihan besar antara beberapa kelompok orang kita.

Ramai yang menganggap dua jenis kebebasan ini, iaitu kebebasan bersuara dan kebebasan diri adalah satu-satunya cara yang dapat menilai atau menentukan tahap intelektual dan keupayaan identiti individu.

Sejak dari dulu kala, manusia mengutamakan kebebasan dalam pelbagai hal. Ramai ahli falsafah telah memberi pandangan mereka mengenai kebebasan ini. Benar, dalam apa juga hal, kebebasan adalah perkara pokok. Kebebasan akan menyumbang kepada pembangunan diri dan intelektual manusia. Tanpa kebebasan manusia akan menjadi alat mainan mekanikal kanak-kanak, robot atau boneka yang dikawal dengan tali. Dalam keadaan ini kita mengiktiraf kebebasan manusia.

Namun begitu kita perlu ingat bahawa kebebasan bukan hanya relevan kerana demokrasi. Demokrasi juga bukan semata-mata kebebasan. Berkaitan, kebebasan juga bukan politik dan politik bukan semata-mata kebebasan. Saya menyebut ini kerana saya membaca daripada pelbagai sumber bahawa, kebebasan dituntut kerana demokrasi dan politik.

Asalnya, kebebasan diperlukan kerana sifat manusia. Ia secara umumnya dikawal oleh biologi atau emosi dan diri manusia itu sendiri. Dari asal kejadian manusia mempunyai naluri untuk bebas. Makna atau maksud ‘bebas’ dalam naluri manusia itu berbeza-beza. Perbezaan berkenaan wujud mengikut kepercayaan agama, keadaan sosial (termasuk emosi) dan juga undang-undang.

Bagaimanapun, kita harus sentiasa ingat bahawa kebebasan bukanlah segalanya. Sekiranya kita menganggap kebebasan adalah segalanya, kita akan menjadikan kebebasan itu ‘tuhan’. Dalam kata lain, kita akan menganggap kebebasan itulah yang menentukan baik buruk atau sebagainya. Ini adalah salah. Kebebasan cuma satu wadah, tetapi ia bukan penentu kepada semuanya.

Selain daripada itu, dalam kebebasan satu individu, terdapat kebebasan individu yang lain. Di sana juga terdapat kebebasan sesebuah masyarakat. Lantas, kebe-basan individu terikat dengan kebebasan individu lain dan juga kebebasan masyarakat.

Seiringan dengan itu, kita sedia maklum, sejak dari kejadian manusia itu juga setiap individu yang dinamakan manusia itu, setiap satunya mempunyai diri dan naluri yang tersendiri. Ada ketika tertentu naluri antara setiap satu itu akan bertembung dan bercanggah. Di sinilah justifikasi sekatan kepada kebebasan.

Oleh itu, kebebasan dan sekatannya tidak bertentangan antara satu sama lain. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain. Kedua-duanya hendaklah sentiasa ada bersama dan beriringan. Kebersamaan itulah yang akan membantu manusia mencapai tujuan utama kehidupan sebenar secara bersendirian, atau juga secara berkelompok dalam masyarakat.

Selain daripada itu, kebebasan tanpa sekatan menjadi penyumbang besar kepada kecelaruan sosial. Apa tidaknya, dari satu sisi, kebebasan peribadi dan kebebasan diri diperjuang, manakala dari satu segi yang lain pula kita saksikan rungutan kepada keruntuhan moral dan masalah sosial. Kebebasan peribadi dilaung, bila timbul masalah sosial kita bising dan menuding jari kepada kerajaan. Ini telah jelas berlaku di negara kita. Oleh itu kebebasan perlu didisiplinkan.

Pada falsafahnya kebebasan itu adalah satu ikatan. Kebebasan bukan lesen untuk bebas lepas tanpa ikatan atau tanpa sempadan. Kebebasan juga mempunyai pengisian kerohanian. Ia tidak memisahkan langit dan bumi – kebebasan tidak memisahkan manusia daripada tuhannya. Kebebasan bukan lambang keegoan. Kebebasan adalah lambang kesederhanaan. Kebebasan menyatakan yang benar walaupun sukar dan pahit. Kebebasan hendaklah sentiasa berada di atas landasan kejujuran. Ia menyebarkan yang benar dengan kejujuran.

Kebebasan bukan propaganda. Kebebasan tidak harus diniat dan diamal untuk menarik seseorang atau satu pihak ke sisinya. Kebebasan harus menyampaikan ilmu dan juga menjadi sumber asas pengetahuan. Kebebasan adalah proses atau mekanisme mengajak orang lain berfikir. Kebebasan adalah ejen pembuka minda, bukan penghalang kepada kebebasan minda. Kebebasan juga bertujuan untuk membaik pulih sesuatu yang tersalah. Kebebasan harus menyatupadukan, bukan memecah belah. Natijahnya, kebebasan hendaklah menjadi asas kepada penyatuan dan persefahaman.

Selepas menghayati falsafah kebebasan itu, kita perlu sentiasa teliti dalam menentukan sama ada kita perlukan kebebasan ataupun kita perlu pinggirkannya. Kita harus meneliti sama ada (antaranya); pertama, adakah kebebasan yang dituntut oleh sebahagian daripada kita di negara ini sebenarnya membawa kepada kebenaran; kedua, adakah kebebasan tersebut disertai dengan kejujuran; ketiga, adakah kebebasan yang dituntut itu adalah untuk membuka minda dan intelektual; dan keempat, adakah kebebasan itu semata-mata propaganda, sama ada bertujuan politik atau sebagainya, yang tidak akan membawa kita ke mana-mana kecuali kepada keruntuhan peribadi dan rohani, perpecahan dan kegawatan antara kita. Semoga kita tidak gelap mata dalam memilih dan memperjuangkan kebebasan.

Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan