Jumaat, 20 Januari 2012

ISU SOSIAL : Gembleng tenaga pastikan politik, akhlak berjalan selari


Oleh Ustaz Zaman
bhnews@bharian.com.my


ANTARA definisi atau pengertian kalimah ‘politik’ ialah menunaikan kehendak dan keperluan orang lain serta menjaga kebajikan manusia. Menurut Syekh Hasan Musallam (bekas Mufti Mesir), politik ialah kebijaksanaan seseorang dalam berinteraksi dan berurusan dengan orang lain. Bagaimanapun tiada definisi tepat melainkan perkara berkaitan kenegaraan, kebijaksanaan, muslihat, parti dan kumpulan tertentu.

Ini bermakna ia tidak jauh daripada istilah Islam yang bermaksud: “Pengurusan kebajikan sesama insan, menjauhi kerosakan dan fasad dalam masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.” (Ibnul Qayyim-I’lam al-Muaqii’n).

Menunjukkan bahawa menjaga kebaikan semua adalah matlamat utama politik yang dianjurkan oleh Islam. Ia juga menafikan unsur pragmatis yang bermatlamatkan kebendaan semata-mata.

Politik dan akhlak ialah pelengkap antara satu sama lain kerana memenuhi tuntutan teori dan praktikal. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman kenapa kamu tidak kotakan apa yang kamu ucapkan kerana ia amat buruk di sisi Allah SWT apabila kamu hanya mampu berkata-kata saja”. (As-Saf ayat 2 & 3).

Jelaslah bahawa ciri-ciri mereka yang beriman adalah melaksanakan apa yang diucapkan melalui hati, pancaindera dan pelaksanaan dalam tindakan.

Politik tanpa akhlak umpama senjata tajam yang berada di tangan orang yang ganas dan berbahaya. Natijah yang akan terhasil ialah kerosakan yang amat parah. Maka perubahan yang bakal berlaku adalah perubahan yang palsu tanpa meninggalkan kesan yang baik dalam pembentukan masyarakat cemerlang.

Jika dirujuk kepada suasana hari ini, khususnya pergolakan dunia Arab dan Islam menunjukkan bahawa sudah berlaku proses menentang fitrah manusia yang bencikan penindasan dan kezaliman. Allah juga tidak sekali kali akan merestui segala penindasan yang dilakukan sesama manusia. Firman Allah SWT bermaksud: “Mereka yang dimatikan dalam keadaan menindas orang yang lemah akan ditempatkan ke neraka jahanam”. (An-Nisa’ ayat 97).

Sesungguhnya bencana yang menimpa dunia pada hari ini berpunca daripada penindasan sesama manusia kerana ia bercanggah dengan prinsip semua agama langit didatangkan untuk membasmi penindasan dan kezaliman.

Kebebasan yang menjadi perbualan setengah masyarakat terkadang hanyalah untuk kumpulan tertentu saja sehingga mengetepikan kehendak orang lain yang mana ada negara Barat melarang wanita Islam untuk bertudung menurut agama mereka. Malah ada dalam kalangan kaum Muslimin sendiri yang sentiasa berbicara mengenai Islam tetapi malangnya semua tindakan dilakukan tidak menjurus kepada agama Islam itu sendiri. Apa lebih menyedihkan lagi ialah sokongan setengah umat Islam terhadap musuh untuk menghancurkan bumi umat Islam seperti berlaku di negara Arab kini. (Dr Muhammad Imarah).

Agama Islam sudah meletakkan prinsip syura dalam menangani pelbagai masalah umat dengan menampilkan hujah dan pandangan yang baik untuk kebaikan umat. Firman Allah SWT: “Dan mereka dianjurkan bermusyawarah antara mereka dan menafkahkan rezeki kurniaan Allah SWT ”. (As-Syura ayat 38).

Allah SWT mengaitkan syura dengan rezeki kurniaan-Nya bagi menyatakan bahawa keberkatan dan rahmat akan wujud dengan berlakunya syura di kalangan kaum Muslimin.

Ulama serta cerdik pandai hendaklah menggembleng tenaga bagi memastikan politik dan etika akhlak berjalan selari bagi memastikan perubahan yang bakal berlaku mendapat keredaan Allah SWT. Kita sering diingatkan dengan kalimah suci selepas mendirikan solat melalui firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Allah yang mempunyai kekuasaan dengan memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki dan akan mencabut kekuasaan tersebut kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya”. (Al-Imran ayat 26).

Segala prinsip yang digariskan oleh Islam adalah bertujuan untuk memastikan manusia sentiasa berada di dalam keamanan dan ketenteraman seterusnya mendapat keampunan daripada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Nikmatilah kurniaan yang melimpah ruah daripada rezeki anugerah Tuhanmu. Itulah negeri yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT.” ( Saba’ ayat 15).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan