Khamis, 19 Januari 2012

ISU SOSIAL : Tangani rasuah perlukan kesungguhan


TRANSPARENCY International (IT) Malaysia mengeluarkan laporan mengenai Indeks Persepsi Rasuah (IPR) bagi 2011 baru-baru ini. IT-M adalah sebuah badan bebas bukan kerajaan, yang komited menentang rasuah sama ada dalam sektor perkhidmatan awam, sektor swasta, dan juga institusi sivil melalui advokasi, kajian serta pendidikan.

Badan ini berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan sudah mencapai standard antarabangsa. Laporan menunjukkan skor IPR bagi negara ini jatuh daripada 4.4 kepada 4.3 pada 2011 yang meletakkan Malaysia di tangga ke-60 daripada 178 negara yang dipantau berbanding tangga ke-56 dua tahun berturut-turut sebelumnya.

Laporan itu juga menunjukkan kepada kita bahawa gejala rasuah di negara ini tidak menunjukkan sebarang penurunan walau pelbagai usaha pencegahan dan membendung rasuah sudah dilakukan, malah, dapatan ini mencerminkan kelemahan tadbir urus yang sedang membarah dalam pentadbiran negara.

Cabaran besar ke arah mencapai tadbir urus yang baik ialah membanteras rasuah daripada menjadi lingkaran ‘kejam’ yang tidak berkesudahan.

Untuk mencapai tadbir urus yang baik, antara perkara pertama yang perlu diselesaikan ialah soal ketelusan dalam pentadbiran seperti ditulis Saladin al-Jurf (1999) dalam makalahnya Good Governance and Transparency: Their Impact on Development.

Menurutnya, mana-mana kerajaan tidak boleh terbabit dalam tadbir urus yang baik seperti pengurusan negara yang bagus tanpa menggalak dan mempromosikan ketelusan. Justeru, kepemimpinan politik negara terutama Tun Hussien Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi begitu giat membanteras rasuah sebagai matlamat perjuangan dalam memimpin dan mentadbir Negara. Tidak ketinggalan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga menyuntik semangat Wawasan 2020 dalam Pelan Transformasi Kerajaan yang bertujuan memperkasa tadbir urus yang baik.

Ironinya, persepsi umum kian merosot kerana statistik rasuah negara saban tahun meningkat. Rakyat mula mempertikai keberkesanan program untuk membasmi gejala tidak sihat ini daripada terus membarah. Usaha untuk membentuk dan menghidupsuburkan tadbir urus yang baik akan terencat jikalau gejala rasuah ini tidak ditangani bersungguh-sungguh oleh semua pihak sama ada kerajaan ataupun swasta, pemimpin mahupun rakyat jelata.

Gejala rasuah meninggalkan impak yang besar sehinggakan sesebuah tamadun, empayar dan bangsa boleh runtuh dalam sekelip mata. Sebagai memetik sebahagian ucapan Najib pada Seminar Muafakat Memerangi Rasuah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1997, beliau mengatakan: “ Empayar Rom, Empayar Uthmaniah, Dinasti Ming, yang tidak terurus pentadbirannya menyebabkan tentera dan kakitangan awamnya terpaksa mengamalkan rasuah sehingga akhirnya hancur.

Demikian juga dengan kisah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka akibat berlakunya amalan rasuah di kalangan raja dan pembesarnya. Pemimpin nasionalis China Kai Shek di China, Richard Nixon di Amerika, Marcos di Filipina dan akhirnya Presiden Mobuto di Zaire tumbang kerana gejala yang sama.” Sejak itu, Najib menggalas amanah yang amat berat bagi memastikan keberlangsungan negara bebas rasuah. Ia memerlukan sepenuh kesungguhan dalam membanteras gejala ini sebelum Malaysia mengalami nasib sama seperti pemimpin dalam ucapan beliau.

Semua masyarakat beragama dan bermoral menolak rasuah sebagai satu jenayah moral yang keji. Kesan rasuah bukan saja membabitkan segelintir individu pengamal rasuah, tetapi melangkaui lebih daripada itu. Ia membabitkan segenap aspek negara dari segi keadilan sosialnya, kestabilan politiknya, kemakmuran ekonominya, juga nilai dan etika rakyatnya.

FARIDAH MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Kolej Uniti, Port Dickson.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen