Isnin, 6 Februari 2012

ISU AGAMA : Jiwa tenang masih mampu tersenyum berdepan ujian


Oleh Amran Zakaria

Golongan yang tewas kuat memberontak, patah semangat


ALLAH mencipta jiwa manusia dengan segenap tabiat dan perangainya dan mengilhamkan kepada manusia potensi untuk bertakwa serta potensi berbuat dosa. Sesiapa yang memilih ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, maka dia menyucikan jiwanya dan membersihkannya daripada akhlak yang rendah dan tercela.

Seorang yang sedar bahawa dirinya hamba pasti akan pasrah dan bersedia menerima apa saja ujian yang diberikan Tuhan. Menerima hakikat itu, jiwa kita menjadi lebih tenang berbanding dengan hamba yang ‘memberontak’ atas apa yang Allah takdirkan.

Allah berfirman bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum datang kepadamu (ujian) seperti halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah, ayat 214).

Pepatah Melayu sering menyebut ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’ sebagai panduan dan peringatan buat mereka yang dilanda tekanan perasaan. Maksudnya, usah diikutkan hati dan perasaan kerana kesannya amat buruk.

Peringatan ini ada hikmahnya ketika hamba Allah berdepan dengan pelbagai cabaran yang menghimpit jiwa agar tidak mudah patah semangat dan berserah kepada situasi semasa. Mereka ini adalah golongan yang tewas dalam kehidupannya.

Sebenarnya tidak salah untuk kita berusaha menyelesaikan masalah yang menimpa, bahkan kita dituntut berbuat demikian. Namun, jika masalah itu tidak dapat diselesaikan juga, hendaklah kita berprasangka baik kepada Allah dan meredainya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah , ayat 216).

Seorang ulama sufi terkenal, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi kata-katanya: “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Pemikir Islam terkemuka, Imam Ghazali menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada Tuhan apabila dia menukar kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.

Keadaan ini berbeza dengan muqarrabin, yakni orang yang hampir dengan Allah yang mana mereka sedia menerima apa saja ujian yang Allah datangkan ke atas mereka. Penerimaan ini atas asas ketaatan dan menganggap ujian itu didatangkan untuk meningkatkan darjat keimanan mereka.

Hikmah ialah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai paling besar dengan satu ujian. Rasulullah SAW memberi perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu menghilangkan karatnya dan tinggallah yang baik saja.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah tanpa dia membawa dosa sedikit pun.” (Riwayat Imam Tirmizi)

Sering muqarrabin mengulas mengenai hikmah ujian dengan berkata: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau daripada kedua-duanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Dalam soal berdepan dengan cabaran hidup, hendaklah kita membersihkan jiwa bertujuan mengelakkan kekotoran yang akan mencemarkannya. Dunia ialah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.

Ibnu Taimiyah dalam kitabnya Amradhul Qulub wa Syifaa’uha mengatakan: “Penyakit hati ialah jenis kerosakan yang menimpanya dan menjadi penyebab kepada kerosakan pemikiran dan kehendak. Kerosakan pemikiran ini terjadi kerana adanya kesamaran sehingga tidak berupaya seseorang itu untuk melihat kebenaran atau dapat melihat kebenaran tetapi berlainan dengan apa yang seharusnya ada, sedangkan kehendaknya (penyakit hati) itu membenci kebenaran dan menyukai kebatilan.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Sungguh berbahagia orang yang menyucikan jiwanya dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” (Surah Asy Syams, ayat 9).

Ketika berdepan dengan masalah keresahan jiwa barulah kita sedar betapa nikmatnya manusia yang memiliki jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang akan sentiasa bahagia dalam mengharungi pelbagai cabaran, termasuk yang tidak berjangka. Malah, jiwa yang tenang mampu tersenyum ketika menghadapi pelbagai ujian. Mereka tidak mudah berputus asa, mengeluh dan gelisah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan nikmat apapun yang ada pada kalian maka semuanya berasal daripada Allah. Kemudian apabila kalian tertimpa musibah, maka kepada-Nya kalian memulangkan urusan.” (Surah An-Nahl, 53)

Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan dan hilang arah. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu. Jiwa yang tidak tenteram sebenarnya mempunyai sebab-musabab yang tersendiri. Antara sebab utamanya ialah kerana dosa silam yang pernah dilakukan dan menjelma kembali dalam kehidupan sekarang. Dosa itu meracuni hati dan perasaan yang kian menampakkan kegelisahan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan