Isnin, 6 Februari 2012

ISU ANTARABANGSA : Filipina akan terus bergolak, sukar tumpaskan pemberontakan


Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


KEJAYAAN tentera Filipina membunuh tiga pemimpin kumpulan Abu Sayyaf dan sekutunya yang paling dikehendaki dari pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) baru-baru ini menimbulkan tanda tanya sama ada keamanan akan kembali ke wilayah bergolak di selatan negara itu.

Antara 15 militan yang terbunuh dalam serangan ke atas kubu kuat mereka di pekan Parang, Pulau Jolo itu ialah rakyat Malaysia, Zulkifli Hir, juga dikenali sebagai Marwan yang dianggap pemimpin kanan dalam JI dan dikehendaki kerajaan Amerika Syarikat dengan hadiah buruan berjumlah AS$5 juta (RM15.5 juta).

Turut maut, pemimpin Abu Sayyaf warga Filipina, Umbra Jumdail iaitu tokoh utama Abu Sayyaf, anggota JI warga Singapura, Abdullah Ali alias Muawiyah serta dua anggota Darul Islam (DI) disyaki dari Sabah, Bacho dan Jeknal Adil.

Abu Sayyaf dikatakan memberi perlindungan di Jolo dan Basilan, Filipina untuk anggota JI dari Indonesia serta terlibat dalam beberapa serangan ganas paling dahsyat termasuk serangan bom feri di Manila yang membunuh lebih 100 orang di samping penculikan warga asing dan tempatan.

Dengan tumpasnya beberapa orang pemimpin utama kumpulan pengganas di selatan Filipina, mungkinkah tahap keselamatan di sana akan pulih dan membuka ruang untuk rakyat negara itu kembali menjalani hidup yang aman?

Atau, mungkin kekosongan itu akan diisi pula muka baru dari Abu Sayyaf dan JI yang akan meneruskan aktiviti keganasan mereka di Filipina, kawasan sekitar mahupun seluruh Asia Tenggara?

Kehadiran anggota JI yang berpengkalan di Indonesia dan DI dari Sabah di Filipina juga menunjukkan Abu Sayyaf telah membentuk jaringan sekutunya sendiri dalam mencapai hasrat perjuangan mereka.

Sejauh mana kesan pembentukan jaringan sekutu pemberontak itu mungkin membawa kesan lebih meluas kepada rantau ini dan juga dunia kelak.

Penganalisis politik antarabangsa (Asia Tenggara), Ahmad Zaki Hassan berpendapat buat masa ini masih terlalu awal untuk mengetahui kesan tindakan membunuh pemimpin pemberontak ke atas wilayah selatan Filipina.

"Sudah menjadi budaya pemerintah di sana membunuh ketua pemberontak tetapi masalah sama telah berlarutan hampir dua dekad dengan pengeboman serta penculikan masih berterusan.

"Walaupun mendapat bantuan negara luar, masih sukar untuk pemerintah Filipina menghapuskan pemberontakan kerana mendapat sokongan penduduk setempat," katanya.

Tambahnya, kerana sokongan kuat penduduk tempatan juga imbuhan hadiah buruan yang amat tinggi ditawarkan untuk menangkap ketua-ketua pemberontak.

Menurut beliau, Abu Sayyaf kini bukan sahaja dikenali sebagai pejuang untuk autonomi malahan dikaitkan dengan rangkaian pengganas antarabangsa dan juga lanun yang mencari wang melalui penculikan.

"Melihat kepada senario semasa, seolah-olah akan ada tindak balas terhadap pembunuhan ketua mereka, mungkin juga perubahan strategi melibatkan ahli dari negara-negara lain.

"Negara-negara jiran di Asia Tenggara perlu mengetatkan kawalan sempadan kerana masalah pemberontakan di Filipina itu kini merentasi banyak negara," ujarnya.

Beliau berpendapat maklumat yang tidak lengkap mengenai ahli dan pergerakan pemberontak terbabit di negara lain menyukarkan lagi usaha menangani aktiviti mereka.

Ahmad Zaki menjelaskan, Abu Sayyaf bertapak kuat di Filipina kerana situasi politik yang lemah di antara membentuk kerajaan yang stabil dan menangani pemberontak.

"Apabila perhatian terhadap mereka tidak cukup, maka sukar untuk mengawal pergerakan pemberontak.

"Walaupun pemimpin pemberontak terbunuh, tempat mereka mungkin diganti muka baru seperti mana yang berulang kali berlaku sejak 1980-an lagi," jelasnya.

Bagi Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula, tindakan keras pihak berkuasa Filipina itu sebenarnya tidak menyelesaikan masalah berbangkit dan punca pemberontakan.

"Membunuh ketua pemberontak hanya akan membawa kesan sementara sahaja, bukan kesan besar pun. Mereka sepatutnya fokus kepada punca pemberontakan itu berlaku untuk penyelesaian jangka panjang.

"Jika punca rakyat bangkit memberontak dapat diselesaikan, ini akan menyekat dan melenyapkan ideologi dan gerakan pemberontak sepenuhnya," jelasnya.

Menurut beliau, kematian ketua-ketua utama Abu Sayyaf dan sekutunya hanya akan diisi muka baru selepas kumpulan pemberontak mengukuhkan kembali kekuatan mereka.

Tambahnya, jika punca pemberontakan diatasi maka pergerakan pengganas akan hilang segala sokongan, meninggalkan ketua-ketua yang tiada kuasa dan hanya boleh membuat sedikit kekecohan.

Beliau mengambil contoh gerakan menentang komunis di Malaysia di awal kemerdekaan dahulu, bagaimana ketua-ketua komunis masih ada tetapi pergerakan komunis gagal apabila sokongan rakyat terhadap mereka hilang.

"Pemberontak di Filipina mempunyai sebab untuk berjuang dan ia bukan baru bermula tetapi telah berpuluh tahun lamanya.

"Selagi pihak berkuasa di sana tidak mengatasi punca sebenar masalah tersebut, pemberontakan tidak akan berhenti walau seramai mana sekalipun ketua pengganas dibunuh," tegasnya.

Mohamed Mustafa turut membangkitkan perjuangan Al-Qaeda yang masih berterusan walaupun selepas pembunuhan Osama bin Laden dengan kepimpinan pergerakan itu diganti muka-muka baru.

"Gerakan gerila atau bawah tanah ini halus dan sukar dipastikan sokongan akar umbi terhadap perjuangan mereka.

"Kita tidak tahu pengaruh dan reaksi penduduk setempat terhadap tindakan pihak berkuasa Filipina itu. Jika yang mati dianggap pejuang, maka tentu mereka akan semakin marah dengan pemerintah," ujarnya.

Jelasnya, sebelum ini juga rakyat selatan Filipina memang marah terhadap pemerintah negara itu yang dilihat tidak membela nasib mereka dengan keadilan dan agihan kekayaan yang tidak sekata.

Beliau berpendapat, walaupun Abu Sayyaf lemah sedikit kini tetapi kumpulan itu akan kembali kuat dan wilayah tersebut bakal bergolak kembali selagi punca sebenar pemberontakan tidak diatasi pemerintah di Filipina.

"Lihat sahaja sudah berapa lama pemberontak mula bergerak dan kini masih kuat lagi. Nyata sekali kesan tindakan pemerintah tidak bertahan lama," tegasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan