Jumaat, 3 Februari 2012

ISU SOSIAL : Sabar penghalang penat, tekun pembawa dekat


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my


Sifat kerajinan terhasil menerusi usaha baik secara berterusan tanpa paksaan, arahan

RAJIN adalah satu perkataan pendek pada sebutan tetapi luas pengertian dan kesannya dalam kehidupan. Ia adalah sifat akhlak terpuji yang menjadi penentu kepada kebaikan, kejayaan, keimanan dan ketakwaan di dunia dan akhirat.

Saya terpanggil untuk mengupas sifat ini apabila mendengar luahan seorang pemandu teksi ketika berada di Jakarta. Melihatkan ramainya masyarakat Indonesia yang sibuk dengan pelbagai urusan termasuk yang paling ketara berniaga di jalanan, pemandu itu menyatakan satu sifat yang mereka perlu ada untuk meneruskan kehidupan ialah sifat rajin.

Desakan kehidupan juga menyebabkan sifat rajin menjadi sebati bagi mereka walaupun mengendalikan perniagaan secara kecil-kecilan dan hampir sama antara satu sama lain. Saya sangat tertarik dengan penjelasan ringkas pemandu itu.

Sememangnya sifat kerajinan menjelma melalui usaha baik secara berterusan, dengan sukarela dan kesungguhan tanpa paksaan atau arahan semata-mata. Peribahasa Melayu ada menyebut ‘sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat’ bermaksud seseorang yang sabar berusaha akan mendapat hasilnya.

Segala nikmat yang terbentang luas di muka bumi ini pun tidak akan dapat dinikmati tanpa kerajinan. Dengan adanya sifat rajin itulah, manusia dipilih menjadi khalifah Allah SWT memakmurkan muka bumi.

Bahkan jika diamati, rajin juga adalah benih yang membiakkan cabang nilai murni yang lain seperti berdisiplin, komited, tekun, profesional, cekap, kreatif dan inovatif. Dengan erti kata bahawa semua cabang nilai itu tidak akan tumbuh tanpa benih kerajinan.
Rajin bukan sekadar punca kejayaan material dan duniawi seperti kejayaan dalam pelajaran dan pekerjaan tetapi yang lebih utama adalah kejayaan dalam pegangan akidah. Ia termasuk dalam pelaksanaan hukum syarak khasnya ibadat khusus seperti solat, puasa, haji dan zakat.

Semua ibadat ini tidak tertunai tanpa adanya sifat rajin umat Islam dalam menunaikannya di kala susah mahupun senang. Dengan sebab itulah, ahli fiqah turut membincangkan hukum berdosa meninggalkan ibadat wajib dengan sengaja semata-mata kerana sifat malas.

Malah, untuk menambah dan memperbaharui iman juga memerlukan kerajinan hatta untuk membuang duri di jalanan. Justeru semua kebaikan yang terhasil daripada sifat rajin itu menjadikannya ibadat dan sedekah kepada pelakunya.

Sabda Rasulullah SAW bahawa setiap kebaikan itu adalah sedekah. Walaupun yang mendapat manfaat daripada hasil kerajinan kita adalah haiwan sekalipun. Sabda Rasulullah SAW, “Tiada seorang Muslim yang menanam apa jenis tanaman atau bercucuk tanam, lalu dimakan sebahagiannya oleh manusia atau haiwan ataupun sesuatu, melainkan ia menjadi sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ajaran Islam juga melarang kita daripada sifat malas melalui larangan gaya hidup dengan cara meminta-minta dan kebimbangan terjerumus ke lembah kekufuran kerana berada dalam kemiskinan dan kefakiran yang disebabkan oleh kemalasan berusaha.

Peringatan Rasulullah SAW bermaksud, “Hampir-hampir kefakiran itu membawa kekufuran.” (Riwayat Muslim). Dari aspek pekerjaan pula, masyarakat yang malas menjadi mundur dan negara tidak berjaya untuk dibangunkan menjadi negara maju. Lantaran Allah SWT berfirman agar selepas selesai melakukan kerja, maka ikutilah ia dengan kerja lain.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam mempamerkan nilai kerajinan holistik. Meliputi rajin beribadat, rajin bekerja dan rajin membantu masyarakat. Rasulullah SAW bersabda “Tiada seseorang yang lebih baik daripada mereka yang memakan makanan hasil usaha tangannya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW juga mengajar sahabat untuk membaca doa bagi mengelakkan diri daripada malas iaitu “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesedihan dan kesusahan, perasaan lemah dan malas, sikap bakhil dan penakut, hutang yang mengganggu fikiran dan orang yang menindasku.” (Riwayat al-Bukhari).

Saidina Umar Al-Khattab juga menganjurkan masyarakatnya untuk menjaga maruah diri melalui kerajinan.

Katanya, “Kalau aku melihat seorang pemuda tanpa pekerjaan, jatuhlah dia daripada pandangan mataku.”

Justeru, kerajinan boleh memberikan gambaran baik dan buruk sesuatu bangsa. Justeru, negara kita menjadikan pengalaman negara Timur seperti Jepun, Korea dan Taiwan sebagai contoh, khasnya dalam aspek kualiti kerja termasuk kerajinan, ketekunan dan disiplin melalui Dasar Pandang Ke Timur pada 1982.

Biasanya, kerajinan terbentuk apabila ada sesuatu habuan atau hajat yang ingin diperoleh. Seseorang rajin berdoa apabila dalam kesusahan atau masalah, rajin belajar apabila menghampiri tarikh peperiksaan, rajin bekerja apabila inginkan pangkat dan pendapatan.

Oleh itu, perlulah kita sentiasa meningkatkan kefahaman dan menyemarakkan jiwa dengan mewujudkan ‘persekitaran rajin’ melalui faktor ‘tolak-tarik’. Faktor tolakan termasuklah melalui galakan dan contoh amalan baik ahli keluarga dan rakan serta majikan melalui amalan kepemimpinan melalui teladan.

Sistem pemantauan, peraturan dan tindakan bagi yang gagal melaksanakan kerja boleh menjadi faktor tolakan untuk terus rajin dan tekun. Faktor tarikan pula ialah sistem ganjaran dan imbuhan, penghargaan, persekitaran kondusif termasuk dari aspek keselamatan, kebersihan, kemudahan tempat kerja, teknologi, hubungan sesama pekerja yang baik, kesihatan, sistem kerja yang teratur dan nilai yang didokong bersama dalam organisasi.

Kedua-dua faktor tolak-tarik ini boleh mewujudkan amalan bekerja dan mewujudkan budaya organisasi berasaskan kerajinan. Justeru, marilah kita berusaha memupuk budaya kerja dengan rajin kerana rajin itu mendekatkan kita kepada kejayaan dan ketakwaan sedangkan malas itu mendekatkan kita dengan kemunduran dan kekufuran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan