Sabtu, 11 Februari 2012
ISU KENEGARAAN : Ketua negara Islam kena kuasai semua bidang
Oleh Syuhada Choo Abdullah
GOMBAK: Tugas kepemimpinan kini semakin kompleks yang memerlukan pemimpin negara Islam tidak hanya memiliki ilmu kerohanian tetapi pengetahuan serta kemahiran dalam pelbagai bidang untuk membolehkan mereka mempertahankan keselamatan dan kesejahteraan umat seperti disyariatkan agama.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pemimpin umat harus memiliki kedua-dua cabang ilmu pengetahuan berkenaan kerana Islam tidak hanya terbatas kepada kerohanian tetapi adalah gaya hidup meliputi keseluruhan aktiviti manusia dengan berpandukan al-Quran serta hadis.
"Pemimpin hari ini tidak memadai sekadar mampu membuat petikan daripada al-Quran serta hadis dan memberikan penterjemahannya, tetapi mesti berilmu pengetahuan dalam bidang lain supaya memahami keperluan berkaitan yang akan memberi sumbangan penting kepada keselamatan, kesejahteraan, kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kebajikan umat.
“Pemimpin tidak dapat menerajui umat dan negara dengan baik kerana hanya menumpu kepada salah satu cabang berkenaan, terutama dalam keadaan dunia yang huru-hara kini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Kepemimpinan dan Perubahan Sosial dalam Dunia Islam: Prospek dan Cabaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.
Sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, pemimpin harus memastikan keselamatan rakyat dipertahankan dengan kemahiran ketenteraan dan keupayaan mencipta senjata canggih terbaru yang memerlukan kemajuan penyelidikan dan pembangunan serta penggemblengan ilmu dalam pelbagai bidang saintifik.
Akibat tiada keupayaan menghasilkan senjata berikutan tidak memiliki ilmu diperlukan, katanya, ada negara Islam kini lemah dan tidak berupaya mempertahankan diri sehingga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar membeli senjata pada kualiti tidak setanding daripada pihak lain.
Dalam konteks ini, Dr Mahathir berkata, umat Islam memerlukan sistem pendidikan bagus yang mendedahkan mereka kepada semua bidang ilmu pengetahuan mencakupi kedua-dua cabang keagamaan dan juga bukan kerohanian, bagi melahirkan pemimpin sedemikian.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara peranan pertama terpenting perlu dilakukan pemimpin ialah mewujudkan peluang pekerjaan untuk memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat, seperti dilakukan kerajaan negara ini sejak merdeka.
Sumber : http : //www.bharian.com/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan