Selasa, 7 Februari 2012

ISU SOSIAL : Perkasa Melayu sebagai umat contoh


Oleh : Dr. Sidek Baba

Melayu ialah kejadian ALLAH dalam bentuk suatu bangsa. ALLAH tidak menjadikan manusia dalam sifatnya suatu bangsa sahaja. Tentu ada hikmah mengapa kejadian berbangsa-bangsa itu terjadi.

Surah al Hujurat : 13 memberikan faham yang jelas maksud kejadian berbangsa-bangsa itu atas maksud litaarrafu (kekenalan). Maksud litaarafu sangat luas, tidak saja memberi pedoman kekenalan secara luaran tetapi memandu manusia memahami kelainan budaya dan tradisi, kelebihan manfaat pemikiran yang ada dan perbezaan gaya hidup serta melakukan sinergi bagaimana sesuatu yang baik dikongsi dapat disuburkan.

Bangsa Melayu telah sekian lama ditindikkan dengan faham Hindu, Budhha dan Sharman atau kepercayaan terhadap perkara ghaib. Ia telah membentuk suatu worldview atau tasawwur mengikut faham yang dianuti. Kemudian datang Islam mendekati keyakinan dan jiwa orang-orang Melayu menyebabkan akidahnya berubah kepada tauhid dan pandangan alamnya berubah ke arah sesuatu yang Islami.

Konsep ummatan wasata (umat berimbang) dan khayra ummah (umat terbaik) dengan segala ciri dan sifatnya mendasari rupa bentuk sesuatu bangsa. Secara rohaniahnya bangsa itu percaya kepada ALLAH yang Satu dan dari sudut amalan faktor syariah menjadi landasan utama mempedoman cara ibadah dan cara hidup.

Kelainan dari segi tradisi dan budaya yang tidak bercanggah dengan aqidah dan syariah dibenarkan. Orang Cina contohnya menggunakan sepit untuk makan kerana sifat makanannya memerlukan alat demikian. Orang Melayu makan dengan tangan kerana sifat makanannya ialah nasi dan memerlukan cara sedemikian. Ia tidak bercanggah dengan aqidah dan syariah.

Orang Melayu menggunakan baju kurung dan baju Melayu sebagai cerminan pakaian menutup aurat. Dikenakan songkok dan tudung - kaedah menutup aurat yang menjadi keperluan syariah terpakai. Orang Melayu melakukan kaedah gotong-royong dalam hubungan sosial selari dengan jiwa jemaah yang dianjurkan Islam.

Al-Quran sebagai sumber petunjuk dan pedoman dalam Islam terkandung prinsip yang menjadi pedoman syarak. Ulama, ilmuwan dan profesional umat Melayu menjadikan prinsip al-Quran lebih terkini dengan membangunkan Bank Islam, Taqaful dan Sukuk yang selari dengan kepentingan semasa dan berlandaskan syariah.

Apabila ruh Qurani dan Islami mendasari jiwa ilmuwan dan profesional Melayu menyebabkan terhasil produk bisnes dan ekonomi yang selari dengan keperluan syarak walaupun faktor zaman berbeza dan berubah.

Orang Melayu juga tidak dapat mengelak daripada pengaruh Barat. Penjajahan yang berlaku silih berganti menyebabkan kekaguman terhadap Barat sebagai model maju dan moden terus terjadi. Tidak sedikit berlaku konflik yang berterusan antara faham bangsa, faham agama dan faham Barat.

Bangsa adalah takdir ciptaan ALLAH. Apabila faktor bangsa ditindikkan dengan jiwa Islami ia bakal membentuk tasawwur atau pandangan semesta yang lebih jelas. Kita tidak menentang Barat semata-mata Barat pernah menjajah kita.

Banyak faedah berbanding yang boleh dimanfaatkan dari Barat kemudian dengan tasawwur yang Islami kita olah sesuatu dari Barat itu ke dalam acuan kita sendiri. Namun, umat Islam dan Melayu tidak belajar daripada sejarah.

Mereka memiliki tabiat berpecah-belah dan tidak pandai pula mencari jalan keluar dari kemelut yang terjadi. Kelemahan ini menyebabkan dominasi orang lain berlaku dengan mudah dan menyebabkan umat Melayu terus lemah.

Justeru, memperkasa umat Melayu mesti bermula dengan pembangunan modal insan supaya sifatnya seimbang. Dalam masa sama umat Melayu harus memiliki keterampilan semasa yang mampu mendukung perubahan zaman dan melerai cabaran lingkungan.

Umat Melayu juga harus memiliki keupayaan berfikir yang tangkas dan mampu memiliki upaya strategik yang tinggi supaya cabaran dapat dileraikan dan agenda memperkasa umat dapat ditekuni.

Umat Melayu mempunyai kekuatan tamadun Islam untuk dijadikan pedoman dan bersikap reflektif terhadap yang silam dan futuristik terhadap perubahan hari depan. Jangan asyik dengan retorik kosong dan cetusan emosi tidak terkawal, membina sifat dendam dan kebencian tidak berhujung.

Umat yang kuat ialah bersikap berlapang dada terhadap perbezaan, sentiasa mencari jalan keluar terhadap kemelut dan jadikan al-Quran dan as-sunnah sebagai pedoman terbaik. Sekiranya ini terjadi umat Melayu sentiasa dipelihara ALLAH dan dapat barakah-Nya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan