Isnin, 9 April 2012

ISU BAHASA : Jangan 'pancung' Sastera mata pelajaran wajib


Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


USUL menjadikan sastera sebagai mata pelajaran wajib bermula peringkat prasekolah sehingga institusi pengajian tinggi tidak wajar ditolak mentah-mentah, sebaliknya wajar dibincang dan dikaji terlebih dulu termasuk melalui Jawatankuasa Perundingan.

Kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, dianggap mengejutkan khalayak sastera apabila berkata pembelajaran sastera sebagai subjek elektif di sekolah menengah sekarang sudah mencukupi dan tidak perlu diperluaskan sebagai mata pelajaran wajib dalam sistem persekolahan kebangsaan.

Ini kerana cadangan yang dikemukakan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) pada Hari Sastera Nasional (HSN) Ke-15 di Ayer Keroh, baru-baru ini, ialah suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekali gus mewakili kehendak rakyat.

Ketua Satunya, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, meminta Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi tidak menolak cadangan itu sebelum mengadakan diskusi dan perbincangan mengenai kepentingan sastera sebagai subjek wajib dalam sistem pendidikan.

“Jangan buat keputusan awal kerana kita masih dalam proses untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami berharap kementerian perlu peka dengan permintaan rakyat termasuk sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP),” katanya kepada Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

NUTP dalam kenyataan dalam Berita Harian pada Khamis lalu, menyambut baik cadangan menjadikan sastera sebagai mata pelajaran wajib khususnya pada peringkat prasekolah atau sekolah rendah.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata cadangan itu dapat meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan murid sejak peringkat kanak-kanak, tetapi meminta ia tidak dijadikan subjek baru, sebaliknya sebahagian mata pelajaran Bahasa Malaysia supaya tidak membebankan guru termasuk mengajar satu atau dua waktu daripada tujuh waktu subjek BM kini.

Prof Abdul Latiff berkata, pihaknya sendiri bukan bermaksud supaya kementerian melaksanakannya secara serta-merta seperti dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sebaliknya mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak terlebih dulu.

“Kami faham mata pelajaran wajib banyak, tetapi mahu perbincangan dan perundingan terlebih dulu dengan pihak seperti tokoh pendidikan, sasterawan serta persatuan penulis diadakan.

“Ini kerana pengenalan sastera sebagai mata pelajaran wajib adalah usaha baik dan murni dalam membina negara bangsa yang memiliki kekuatan jati diri berilmu,” katanya yang juga Pengarah Institusi Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau berkata, pelaksanaan itu penting supaya ilmu tidak dilihat daripada aspek potensi material semata-mata, sebaliknya kualiti modal insan yang bermoral dan memiliki unsur perpaduan seperti yang banyak terdapat dalam karya sastera.

Pandangan itu senada dengan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad yang menegur tindakan ‘memancung’ cadangan itu secara mendadak, sebaliknya perlu mempertimbang dan menyesuaikannya mengikut keadaan.

“Apatah lagi pandangan Kesusasteraan sebagai subjek elektif sudah cukup perlu dilihat dengan teliti kerana pelaksanaannya pada masa kini terlalu banyak lompong.

“Pelaksanaan elektif itu tidak dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab kerana hanya sedikit sekolah yang menawar atau membuka laluan kepada pelajar untuk mengambil subjek terbabit,” katanya yang juga Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM).

Dr Mohamad Saleeh berkata, Kementerian Pelajaran perlu memberikan penegasan supaya sekolah menawarkan subjek itu kepada pelajar kerana kebanyakan pengetua memilih untuk tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau beranggapan adalah lebih baik mata pelajaran Sastera tidak dipisahkan daripada aliran sains kerana ia bukan keperluan ekonomi, sebaliknya tuntutan rohani dan intelektual.

“Dalam suasana masyarakat mementingkan kerjaya, sudah tentu sastera sukar bersaing dengan sains dan teknologi sehingga ibu bapa dan pelajar yang pandai memilih aliran sains.

“Kami cadangkan sastera diajar kepada setiap pelajar tetapi ia menggunakan pengajaran dan pembelajaran yang sederhana serta tidak terlalu teoritikal dan kompleks, sebaliknya berupaya mendekatkan pelajar dengan sastera,” katanya.

Mengenai Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) pula, beliau berkata komponen itu mempunyai banyak kelemahan termasuk waktu pelajaran yang sangat sedikit dan pengisian tidak dipantau dengan baik sama ada teks mahupun tenaga pengajar berkelayakan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan