Isnin, 9 April 2012

ISU EKONOMI : Perlukah duit baharu?


WARTAWAN SINAR HARIAN

SEJURUS wang syiling baharu diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak awal tahun ini, mula kedengaran rungutan dan pertanyaan, mengenai penggunaan wang itu di mesin tempat letak kereta, mesin air dan lain-lain.

Ramai juga yang tidak nampak keperluan untuk menukar duit baharu.

Jadi mengapa BNM, seperti bank pusat lain, memilih untuk mengeluarkan wang syiling dan kertas baharu?

Di sebalik rungutan (yang hanya bersifat sementara), pengenalan wang baharu ini mempunyai banyak sebab yang perlu diketahui dan dihargai.

Sebenarnya, penukaran duit baharu bukanlah dibuat secara suka-suka atau untuk menggantikannya dengan duit lebih cantik, tetapi yang paling penting adalah peningkatan ciri-ciri keselamatan.

Duit syiling dan kertas baharu diperkenalkan BNM adalah jauh lebih praktikal dan berteknologi tinggi jika dibandingkan dengan wang sebelum ini.


Jika dilihat secara mudah, duit syiling baharu direka supaya lebih kecil dan ringan. Bukankah kita juga tidak gemar membawa duit syiling yang berat di dalam poket?

Yang menariknya, syiling dan kertas baharu ini direka bukan hanya bagi pengguna biasa, tetapi juga mengambil kira mereka yang kurang upaya penglihatan.

Jika diamati, setiap duit syiling mempunyai bahagian sisi yang berbeza supaya ia lebih mudah dikenal pasti, walaupun saiznya mungkin hampir sama antara satu sama lain.

Syiling 50 sen mempunyai sisi kosong dengan sembilan lekuk, syiling 20 sen mempunyai sisi kesat, 10 sen pula dengan sisi bergerigi dan 5 sen mempunyai sisi kosong.

Dan BNM melalui laman webnya turut menjelaskan, duit kertas baharu yang akan dikeluarkan, Jun ini, turut dilengkapi tulisan Braille untuk kegunaan orang buta.

Bagi kita yang bertuah dikurniakan penglihatan sempurna, mungkin kita tidak sedar mengenai perkara ini, bukan?

BNM turut memberi penjelasan mengenai wang RM1 yang dihasilkan menggunakan polimer.

Alasannya? Mudah saja. Polimer lebih tahan lama, dan RM1 antara wang yang paling kerap digunakan.

Selain reka bentuk yang praktikal, teknologi digunakan untuk penghasilan wang baharu ini juga dapat mengelakkan pemalsuan dan ketahanan duit.

Contohnya, duit syiling baharu menggunakan nikel loyang bersalut kuprum dan keluli tahan karat supaya ia tahan lama.

Ia juga dilengkapi ciri baru seperti imej pendam pada syiling 50 sen, yang anda dapat lihat apabila duit itu diserongkan sedikit.

Wang kertas pula dilengkapi ciri-ciri keselamatan baru, termasuk potret Tera Air Piksel dengan angka, benang kanta mikro dengan petak berkilat berwarna, bersama ciri sedia ada.

Tentu sekali pada detik awal pengeluaran, ada masalah yang timbul, terutama mesin tempat letak kereta, minuman dan lain-lain.

Tetapi kita tahu, BNM telah pun memberi notis awal enam bulan supaya pengendali mesin wang tunai dapat mengubah suai mesin sebelum wang baharu ini dikeluarkan, jadi masalah ini sepatutnya tidak timbul.

Kesimpulannya, kita jarang memikirkan mengapa sesuatu perkara itu dilakukan tetapi lebih gemar memberi komen negatif.

Kita juga gagal menghargai betapa wang kertas atau syiling itu bukan hanya benda biasa, tetapi menggambarkan kemajuan dan identiti negara kita.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan