Isnin, 30 April 2012

ISU BAHASA : Melengkapi warga Melayu global


OLEH : TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Minggu lepas, saya bagi sekian kali, membicarakan betapa pentingnya orang Melayu/Pribumi menguasai minimum tiga bahasa - Melayu, Inggeris, Mandarin atau Arab. Kalau minda mampu dan ekonomi mencukupi empat, pilihan antara Sepanyol, Perancis, Jepun dan Jerman.

Secara kebetulan pula Perdana Menteri Najib Tun Razak pada hujung minggu yang sama ketika berkempen di Sandakan, Sabah menggalakkan rakyat Malaysia khasnya Pribumi menjadi orang trilingual - petah secara lisan dan menulis dalam Bahasa Melayu (BM), Inggeris (BI), Mandarin atau Arab. Kalau anda ragu menerima nasihat saya yang diulangi tegas Speaking, “ad nauseam” atau direpetisikan tanpa jemu dengarlah pesanan Najib kerana dia seorang pemimpin yang berwibawa, berkaliber; tujuannya baik.

Anda tidak akan rugi dan menyesal menerima petua yang baik daripada apa sumber dan siapa pun. Saya ulangi kata Najib, “Sekarang Mandarin menjadi bahasa pertuturan antarabangsa. Jika anda menguasai BM, BI dan Mandarin, ia menjadikan anda hebat untuk bersaing pada peringkat antarabangsa. Dua anak saya - sebagai contoh - seorang mempelajari Mandarin dan seorang lagi bahasa Arab selain BM dan BI.” (Berita Minggu, 22 April 2012).

Kedua bahasa Mandarin dan Arab bukan sahaja antara enam bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tetapi diguna dalam pertuturan kalangan komuniti antarabangsa malah memudahkan (kalau benar-benar mahir dalam bahasa itu) persaingan mendapat pekerjaan, menceburi perniagaan.

Puluhan ribu, kata orang lebih 100,000 murid Melayu dan bilangannya sedang meningkat belajar di sekolah Cina kerana sekolah tersebut dipercayai memberi disiplin, etika kerja dan gurunya lebih bertenaga, bersungguh dan tinggi komitmen dalam mendidik. Pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah Cina juga dilihat lebih bermutu dan berjaya berbanding sekolah kebangsaan. Di sekolah Cina, mengikut legenda ataupun pada realiti - bergantung dengan siapa anda bercakap - murid sekali gus mempelajari tiga bahasa - BM, BI dan Mandarin.

Beratus-ratus pula anak pembesar dan elit Melayu daripada prasekolah lagi dihantar ke sekolah swasta antarabangsa yang bahasa pengantarnya BI kerana destinasi anak ini universiti berjenama di luar negara. Lazimnya anak ini apabila lulus kelak mendahului pelajar lain ketika memasuki alam pekerjaan dan kerjaya.

Majoriti mereka juga tidak akan memasuki perkhidmatan awam kerana BM mereka lemah, kadangkala tidak ada langsung. Maka jadilah perkhidmatan awam satu kerjaya yang didominasi graduan lokal. Dunia ekonomi, industri, kewangan, teknologi canggih, inovasi terbaru, syarikat multinasional pula didominasi graduan seberang laut. Suka duka itu sudah pun berlaku sekarang dan akan lebih ketara dan satu kenyataan masa depan.

Ibu bapa mengejar bahasa kerana nilai ekonominya tinggi, darjat, harkat, sosialnya agung. Sebab itulah menteri, timbalan menteri, pegawai tinggi kerajaan, orang korporat hatta orang biasa yang bervisi mendidik anak mereka di sekolah yang bahasa pengantarnya BI. Tetapi ramai lagi sebenarnya terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan yang tidak semuanya menggunakan BM yang indah, bahasa yang mempunyai nilai kesusasteraan tinggi. BI dianggap oleh majoriti manusia sebagai bahasa politik, kultural, ekonomi, high finance dan penyelidikan.

Terlintas di kepala: Mana Usman Awang, Adibah Amin, Munsyi Abdullah, Tun Seri Lanang dan Zaaba baru sekarang? Dalam bidang perfileman, nyanyian dan muzik, mana P Ramlee, Saloma dan Sudirman baru?

Bahasa kacukan dan pidgin makin menjadi-jadi. Sepatutnya RTM, TV3, NTV7, TV9, Astro Awani dan radio menggunakan bahasa baku seperti BBC menggunakan Queen’s English atau hampir dengannya; CCTV bahasa Mandarin sebutan Beijing, CNN BI pelat Amerika. Saya tidak menentang penggunaan bahasa daerah atau loghat. Ini bisa dalam program tertentu tetapi tidaklah pada program perdana dan berita perdana. Sekarang kita memasuki zaman bahasa SMS, bahasa telegram; lebih teruk bahasa Tarzan!

Di Kelantan saya menggunakan loghat Kelantan. Sudah lama saya tidak melihat wayang kulit, makyong, menora - ketiga-tiga ini menggunakan loghat, pelat dan bahasa tersendiri. Sudah lama saya tidak mendengar bahasa hantu (bahasa jampi) iaitu bahasa yang ditutur khas oleh bomoh, pawang dan tok puteri.

Hingga kini BI terus dianggap dan diletakkan pada tahap tertinggi dalam semua bidang kehidupan di negara kita walaupun BM bahasa rasmi tunggal, bahasa nasional dan lingua franca rakyat. Kadangkala contoh yang terang seperti gambar di atas: Bahasa Mandarin di atas, bahasa kebangsaan di bawah! Kadangkala BI dan bahasa Mandarin sahaja! Perkara begini tidak akan berlaku di negara yang bermaruah tinggi seperti Indonesia, Thailand, Jepun dan Mesir. BM terus dilihat orang Melayu sendiri dan kerajaan pun sebagai bahasa vernakular!

Selagi BM tidak diberi nilai ekonomi dan sosial yang tinggi di buminya sendiri, selagi itulah ia tidak akan dimuliakan! Saya bisa, kalau perlu mengguna bahasa Istana/Keraton atau bahasa beradat. Saya amat kecewa dengan kerajaan kerana tidak tegas dalam melaksanakan BM dan meletakkannya di tempat tertinggi.

Apa pun ‘semangat bahasa jiwa bangsa’ semakin lemah. Di mana Syed Nasir, Ungku Aziz, Aminuddin Baki baru? Ke mana sudah pergi Persatuan Guru-guru Melayu Semenanjung, Persatuan Penulis Nasional (Pena), Gapena, persatuan Bahasa Melayu di universiti-universiti dan media Melayu? Sedih, sungguh masyghul; sungguh mendukacitakan. Pejuang bahasa tulen dan yang jujur hanya wujud ketika Dewan Bahasa dan Pustaka tiada bangunan pencakar langit.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan