Isnin, 30 April 2012

ISU PENDIDIKAN : Ilmu asas pembangunan Islam


Oleh Mohd Hariri Mohamad Daud

Ulama jadikan penulisan medium dakwah utama

IMAM Syafie pernah mengatakan ilmu itu (umpama) binatang buruan, tulisan itu (laksana) ikatan, ikatlah binatang buruan itu dengan kuat (supaya tidak dapat lari).

Kata-kata Imam Syafie ini memberi gambaran kuatnya ikatan antara buku dan ilmu, penulis dan pembaca, pendakwah dan sasaran dakwah. Maka tidak hairanlah jika ulama terdahulu menulis buku dan menghasilkan buku hingga akhir hayat mereka.

Tidak kurang juga yang menulis walau di dalam penjara kerana bagi mereka menyampaikan dakwah Islam, usaha itu tidak akan terhenti walaupun di tirai besi.

Contohnya, tafsir Fi Zilalil Quran ditulis oleh Syed Qutub ketika di dalam penjara dan Profesor Hamka menulis Tafsir Al-Azhar di balik tirai besi. Iltizam dan semangat ulama terdahulu untuk mewariskan ilmu kepada ummah wajar dicontohi.

Dunia Islam kaya dengan warisan ilmu hinggakan bandar jajahan Islam dikenali sebagai kota ilmu. Buktinya jelas seperti terbinanya Baitul Hikmah, perpustakaan ulung umat Islam.

Jika diimbau kembali, ulama dulu menjadikan penulisan sebagai medium dakwah utama mereka. Selain menyampaikan ceramah, kuliah, syarahan, mereka juga kaya dengan buku tulisan masing-masing yang menjadi rujukan hingga ke hari ini.

Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri manusia dan mengangkat darjat orang yang berilmu. Bahkan tuntutan menuntut ilmu dalam Islam adalah suatu tuntutan fardu ain bagi setiap manusia.

Sabda Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik maksudnya: “Menuntut ilmu adalah fardu atas setiap orang Islam dan penuntut ilmu akan didoakan keampunan oleh semua makhluk termasuk ikan-ikan di lautan.” (Hadis riwayat Ibn Abd Al-Bar)

Ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima olah Rasulullah yang maksudnya: “(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-‘Alaq, ayat 1-5)

Ulama membahagikan ilmu kepada beberapa pecahan iaitu ilmu teras agama yang wajib dikuasai, ilmu al-quran dan tafsirnya, ilmu hadis dan kitabnya, sirah nabawiyyah, ilmu tauhid, ilmu fiqh dan tasauf Islam.

Ilmu berkaitan sejarah dan sirah supaya memahami inti pati dan belajar daripada sejarah, ilmu berkaitan bahasa yang menjadi kuasa baru dunia, ilmu pembinaan modal insan dan sains sosial seperti psikologi serta kaunseling. Begitu juga ilmu berkaitan kehidupan manusia hari ini.

Menyusuri sejarah hidup ulama silam, mereka bersungguh dan rajin mencari ilmu. Imam al-Syafie mengembara meninggalkan kampung halaman ke Iraq, Parsi, Palestin dan Yaman untuk menuntut ilmu.

Ketika umur 10 tahun, Imam Syafie telah menghafaz Kitab al-Muwattak karangan Imam Malik. Berdasarkan kefaqihan beliau dalam bidang agama, Imam Syafie dilantik menjadi pakar rujuk di Masjid Al-Haram dan mengeluarkan fatwa menyelesaikan permasalahan umat Islam di usia 15 tahun.

Antara kata-kata Imam Syafie yang masyhur ialah: “Saudaraku, kamu tidak akan mendapat ilmu kecuali dengan enam perkara. Aku akan beritahu kepadamu penjelasannya. Kepintaran, keinginan, kesungguhan dan zuhud, serta melazimi guru dan tempoh masa yang lama.”

Rasulullah SAW juga bersabda daripada Abu Hurairah: “Sesiapa yang berjalan untuk mencari ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan untuknya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Ahmad)

Kita sering cemburu dengan budaya masyarakat di negara bukan Islam yang cintakan ilmu dan buku. Senario di stesen bas, dalam kereta api, tempat awam, sehingga di tandas pun kita akan lihat budaya membaca dihidupkan.

Oleh itu, usaha utama yang perlu dilakukan ialah dengan mengubah sikap masyarakat yang malas membaca kepada cintakan ilmu pengetahuan dan minat membaca.

Penyuburan sikap suka membaca perlu dipupuk dalam kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa memainkan peranan penting. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan dengan buku sama ada memegang, melihat atau menikmati buku secara bercerita.

Disamping itu, alangkah baiknya jika setiap rumah mempunyai perpustakaan mini dan ibu bapa juga memperuntukkan perbelanjaan keluarga dengan membeli buku ilmiah.

Salah satu cara menghidupkan budaya ilmu dalam masyarakat ialah dengan memperbanyakkan buku ilmiah untuk bacaan dan rujukan ummah. Perkembangan penulisan buku di Malaysia juga begitu memberangsangkan sama ada ditulis tokoh agama atau anak murid yang menulis kembali syarahan gurunya di kuliah mahupun kelas pengajian.

Seperkara lagi yang menarik perhatian ialah masjid sudah mula memberi nafas baru kepada kuliah dengan program bicara buku tokoh agama. Kuliah Maghrib, Subuh atau kuliah mingguan menjadi interaktif apabila penulis sendiri datang menerangkan isi kandungan buku sambil diteliti jemaah.

Oleh yang demikian, ulama, cendekiawan dan ilmuwan perlu memainkan peranan menghasilkan buku ilmiah bermutu dan menterjemahkan buku dari bahasa Arab, bahasa Inggeris dan lain-lain bahasa ke dalam bahasa ibunda untuk rujukan masyarakat.

Rasulullah bersabda daripada Abu Bakar As-Siddiq yang bermaksud: “Jadilah kamu orang yang berilmu, yang mempelajari ilmu, yang mendengar dalam majlis ilmu atau yang cintakan ilmu. Jangan kamu menjadi orang yang kelima nescaya kamu akan binasa.” (Hadis riwayat Tabrani).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan