Ahad, 29 April 2012

ISU PENDIDIKAN : Rakyat dipelawa sertai dialog Nasional Pendidikan Negara 2012


PUTRAJAYA: Kerajaan mempelawa semua lapisan masyarakat untuk menyampaikan pandangan dan suara hati melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 bagi memartabatkan sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain sesi dialog, rakyat juga boleh menyalurkan pandangan mereka melalui twitter, facebook dan laman sesawang kajian semula pendidikan bermula hari ini sehingga pertengahan Julai nanti. "Siri dialog ini adalah satu inisiatif yang bersejarah kerana buat pertama kali kerajaan mempelawa pandangan masyarakat umum dalam skala yang besar untuk bersama-sama merangka pelan pembangunan pendidikan negara ketika kita sedang melangkah memasuki fasa baru transformasi," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha, Datuk Dr Rosli Mohamed; Ketua Pengarah, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Pengerusi Panel Penilaian Bebas Kajian Semula Pendidikan, Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak. Muhyiddin berkata, satu laporan awal disediakan selepas kajian itu dilakukan dan rakyat sekali lagi dipelawa untuk memberikan pandangan mereka sebelum dokumen Pelan Hala Tuju Pendidikan Negara dimuktamadkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa siri dialog tersebut bukan medan untuk mengutarakan tuntutan melampau yang bercanggah dengan perkara-perkara asas yang termaktub dalam perlembagaan, undang-undang dan Rukun Negara.

Jelasnya, siri dialog itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina/Tamil, mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan.

"Jangan ada pihak yang merasakan hanya sekolah-sekolah tertentu sahaja yang akan menerima manfaat daripada kajian semula pendidikan ini, manakala sekolah-sekolah yang lain pula terabai," katanya.

Menurutnya, kerajaan menetapkan sembilan bidang utama kajian semula pendidikan iaitu: memartabatkan profesion keguruan; meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah; meningkatkan kualiti sekolah yang merupakan elemen penting dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran; memantapkan kualiti dan pentaksiran untuk menyediakan modal insan abad ke-21.

Seterusnya, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid; penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan; meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja; memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber dan membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Katanya, transformasi pendidikan penting bagi melahirkan generasi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui pendidikan bertaraf dunia.

"Kita mensasarkan dalam tempoh 15 tahun akan datang, Malaysia bakal meraih kejayaan seperti Korea, Finland, New Zealand dan Singapura yang berada pada kedudukan teratas dalam pencapaian pentaksiran di peringkat antarabangsa," katanya.

Jelasnya melalui usaha berterusan kerajaan, sektor pendidikan terus mengalami perubahan sejak penggubalan Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 dan 1979 serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1988.

"Jika kita menoleh ke belakang, pada 1970 hanya 75 peratus rakyat Malaysia boleh membaca dan menulis. Namun hari ini kadar literasi di negara kita telah meningkat kepada lebih 90 peratus. Demikian juga halnya dengan taraf sosio-ekonomi rakyat," katanya.


Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli panel dialog nasional pendidikan negara iaitu Pengerusinya, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Wan Mohd Noordin yang juga Pengerusi Universiti Teknologi MARA.

Ahli panel lain termasuk Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Bhd, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Pengerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Tan Sri Sulaiman Mahbob, dua bekas timbalan ketua pengarah Kementerian Pelajaran, Datuk Asariah Mior Shaharudin dan Dr Zahri Aziz.

Mereka juga termasuk Pengerusi Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Dr Zulwali Kifli Merawi; Pensyarah Kuliyyah Pendidikan UIA Malaysia, Prof Datuk Dr Sidek Baba; Pengerusi Kolej Yayasan Sabah, Datuk Kamal D E Quadra; Timbalan Dekan Sekolah Sains Sosial USM, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian; Timbalan Pengarah Institut Alam & Tamadun Melayu UKM, Prof Dr Teo Kok Seong dan pengurus besar Policy Initiative Telentcorp Malaysia, Agnes Maria San.

Pada sidang media kemudian, Muhyiddin berkata, panel khusus itu akan mengadakan perjumpaan dengan semua pihak yang berkepentingan dan masyarakat di seluruh negara untuk mengumpul pandangan sebelum ia dijadikan sebagai pelan tindakan pada Ogos nanti dan menyiapkan laporan lengkap sebelum akhir tahun ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan