Selasa, 10 April 2012

ISU KENEGARAAN : Sesuaikah kerajaan sementara dilaksanakan di Malaysia?


MUHAMMAD FATHI YUSOF

CADANGAN pelaksanaan caretaker government atau kerajaan sementara yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) baru-baru ini adalah satu perkembangan yang amat menarik.

Tidak kurang menarik juga, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasual Malaysia (SPRM) telah pun menyatakan kesediaan untuk mengemukakan garis panduan pelaksanaan kerajaan sementara untuk pilihanraya akan datang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull ketika memberikan hujah dalam Wacana Sinar Harian ke-12 telah menyebut bahawa pelaksanaan kerajaan sementara amat signifikan bagi mengelakkan penyalahgunaan aset kerajaan, termasuk penggunaan kenderaan rasmi kerajaan sewaktu tempoh kempen pilihan raya umum. Anda mungkin termasuk di kalangan mereja yang gembira dengan perkembangan yang berlaku ini.

Namun demikian, anda mungkin tidak menyedari bahawa idea pelaksanaan sebenarnya bukan perkara baru. Bahkan hampir setiap kali pilihanraya umum, soal ini menjadi bahan perdebatan. Malah dalam pilihanraya umum 2008 yang lalu, pemimpin DAP iaitu Lim Kit Siang telah menulis secara rasmi kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan perbincangan ke arah pelaksanaan konsep ini. Namun, SPR telah menolaknya melalui surat yang ditulis oleh Datuk Kamaruzaman bin Mohd Noor bertarikh 17 Januari 2008.

SPR waktu itu secara jelas menyebut bahawa mereka tidak mengiktiraf konsep kerajaan sementara dengan alasan ia tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Sikap menolak konsep ini turut ditunjukkan oleh pemimpin kerajaan.

Keengganan kerajaan sebelum ini untuk mengiktiraf pelaksanaan kerajaan sementara adalah sesuatu yang malang memandangkan sistem adalah satu keperluan bagi sebuah Negara pengamal demokrasi berparlimen. Dalam demokrasi berparlimen, teraju badan eksekutif yang terdiri daripada Perdana Menteri dan Kabinet terbina melalui sokongan yang terdapat dalam Parlimen. Perdana Menteri dan Kabinet juga bertanggungjawab kepada Parlimen.

Apabila Parlimen dibubarkan, kedudukan mereka seolah-olah terawang-awang kerana mereka tidak mempunyai pertanggungjawaban kepada Parlimen seperti keadaan biasa. Oleh itu berasaskan amalan biasa atau konvensyen, kuasa pihak Perdana Menteri dan kabinet perlu dihadkan. Tambahan pula dalam tempoh kempen pilihanraya, pihak parti pemerintah dan parti-parti lain sebenarnya berada pada kedudukan yang sama tinggi.

Namun begitu, masih ramai rakyat Malaysia yang terkeliru dengan keperluan sebenar kerajaan sementara. Bahkan ada yang termakan dengan propaganda bahawa penubuhan kerajaan sementara oleh membawa kepada keadaan kacau bilau dan huru hara.

Sebenarnya konsep ini terbina di atas tiga prinsip iaitu: (a) konsep amalan pertanggungjawaban dalam sistem demokrasi berparlimen seperti yang dijelaskan di atas; (b) keperluan untuk melaksanakan pilihan raya yang adil di mana semua parti mempunyai peluang dan ruang yang seimbang; (c) prinsip amalan berkerajaan yang telus, amanah dan bersih dari salahguna harta, tenaga dan sumber milik awam untuk kempen politik. Ketiga-tiga prinsip ini amat fundamental dalam sebuah negara demokrasi.

Tanpa amalan kerajaan sementara, seperti yang berlaku selama ini, berlakulah pencabulan demokrasi, pilihanraya yang berat sebelah dan penyelewengan sumber awam. Anda mungkin masih tertanya-tanya apa maksud sebenar ‘caretaker government’ atau kerajaan sementara. Apa pula bezanya kerajaan sementara dengan kerajaan yang sedia ada sekarang? Secara umumnya pelaksanaan kerajaan sementara tidak melibatkan perubahan organisasi, tetapi ia melibatkan perubahan fungsi.

Dalam tempoh ini kerajaan hanya menjalankan tugas-tugas asasi seperti menjaga keamanan dan menguatkuasakan undang-undang, serta memantau pelaksanaan tugas harian jentera kerajaan sehinggalah pilihanraya dapat berjalan dengan jayanya. Oleh itu kerajaan sementara tidak boleh mengemukakan dasar baru, membuat perlantikan ke jawatan penting dan membuat perjanjian yang besar dengan pihak luar.

Malah yang lebih penting lagi, kerajaan sementara perlu memastikan pemisahan antara entiti kerajaan dengan parti politik. Jentera kerajaan di semua peringkat tidak boleh terlibat dalam kempen politik kepartian. Penjawat awam tidak boleh diarahkan untuk menguruskan program yang boleh ditafsirkan sebagai bertujuan untuk meraih sokongan politik dalam tempoh ini. Malah premis milik kerajaan serta media kerajaan hanya boleh digunakan jika semua parti mendapat peluang untuk memanfaatkannya secara adil.

Ini bermakna pemimpin kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahu pun negeri-negeri hanya boleh berkempen atas kapasiti parti bukannya atas jawatan kerajaan. Program-program kerajaan di semua peringkat perlu dikurangkan setakat yang boleh bagi mengelakkan salahguna jentera atau program kerajaan untuk mendapat pengaruh politik. Prinsip ini berdiri di atas logik bahawa program dan sumber kerajaan adalah milik awam dan ia tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan persendirian, iaitu calon-calon pilihan raya.

Kaedah ini sebenarnya dapat dilaksanakan dengan jayanya di negara-negara demokrasi berparlimen lain. Kebanyakannya dikuatkuasakan secara konvensyen atau amalan biasa tanpa diikat dengan beraturan bertulis. Namun ada juga negara yang mengemukakan garispanduan bertulis bagi memudahkan pelaksanaannya. Kerajaan Australia dan New Zealand contohnya mengeluarkan dokumen rasmi bagi menguatkuasakan amalannya secara terperinci. Panduan ini amat sesuai untuk menjadi rujukan bagi pengamalannya di Malaysia.

Kerajaan Bangladesh pula menetapkan secara rasmi penubuhan kerajaan sementara di dalam Perlembagaannya. Menurut amalan di negara itu apabila Parlimen dibubarkan kerajaan yang sedia ada turut terbubar dan satu kerajaan sementara ditubuhkan di bawah pentadbiran Majlis Penasihat Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara.

Ini bermakna pelaksanaan kerajaan sementara di Bangladesh bukan sahaja melibatkan perubahan fungsi kerajaan, bahkan ia melibatkan perubahan organisasi. Demikianlah betapa terkehadapannya negara-negara lain dalam usaha untuk memastikan pilihanraya berjalan tanpa salahguna kuasa oleh parti pemerintah.

Rakyat perlu yakin bahawa konsep ini sama sekali tidak menyebabkan negara tidak stabil. Jentera kerajaan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sekatan. Bahkan rakyat akan lebih selesa dan beruntung kerana hak mereka tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi ahli-ahli politik. Bahkan orang ramai sepatutnya mengambil langkah proaktif dengan memantau perjalanan kempen dan melaporkan salah guna harta kerajaan (sebenarnya harta rakyat) dalam kempen pilihan raya nanti.

Selain itu diharap pihak SPR dan SPRM wajar diberikan ruang yang secukupnya untuk menguatkuasakan konsep kerajaan sementara ini bagi kebaikan rakyat keseluruhannya. Tentunya kita mahu menyaksikan demokrasi di Malaysia ini terus subur dengan menjanjikan persaingan adil dalam suasana yang harmoni dan damai.

Penulis ialah Pensyarah Undang-undang Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan