Selasa, 10 April 2012
ISU PENGAJIAN TINGGI : Mahasiswa dibenar berpolitik relevan dengan perkembangan semasa
Oleh Nur Fadilah Abdul Basit
rencanabh@bharian.com.my
BELIA adalah kelompok terbesar dalam populasi masyarakat di Malaysia dan sebahagian besar daripada mereka adalah mahasiswa yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi, sama ada di dalam atau di luar negara.
Ini adalah petunjuk yang baik bagi negara kerana mempunyai banyak sumber untuk tenaga kerja, pencetus idea serta penggerak muda bagi meneruskan agenda pembangunan negara. Menurut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, pada 2010, jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun seramai 11.6 juta dan 44.8 peratus daripadanya berumur dalam lingkungan 15 tahun.
Mahasiswa adalah tonggak utama dalam membantu proses pembinaan negara berdasarkan tahap keintelektualan tinggi. Bagaimana mereka boleh menjejakkan kaki ke menara gading jika tidak mempunyai tahap keintelektualan yang tinggi. Justeru, segala tindak-tanduk dan gerak-geri mahasiswa tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat.
Membenarkan mahasiswa berpolitik dilihat relevan dengan perkembangan semasa, apatah lagi mahasiswa bakal menjadi memimpin negara pada masa depan. Ini bersesuaian dengan tindakan beberapa pusat pengajian tinggi di Malaysia untuk membenarkan penuntut mereka mengundi pada dalam pilihan raya umum akan datang. Ini juga menunjukkan suara mahasiswa diperlukan bagi menentukan masa depan negara.
Berdasarkan pengalaman penulis, tempoh pengajian di universiti ialah ruang lingkup untuk mahasiswa mempersiapkan diri bagi menghadapi dunia berpolitik sebenar dan mengundi. Sebagai penuntut universiti, proses pilihan raya bukanlah sesuatu yang asing kepada mahasiswa di Malaysia. Pada setiap pusat pengajian tinggi awam diadakan pilihan raya kampus bagi memilih pucuk pimpinan yang terdiri daripada mahasiswa sendiri.
Ini bersesuaian dengan amalan demokrasi yang diamalkan di negara kita yang memilih pemimpin berdasarkan pilihan raya atau lebih tepat lagi mengikut suara majoriti. Mahasiswa yang memenangi pilihan raya itu akan dilantik sebagai ahli dalam Majlis Perwakilan Pelajar bagi universiti masing-masing. Oleh itu, mereka perlu bertanggungjawab mendengar suara hati mahasiswa lain dan perlu mengambil berat mengenai kebajikan mahasiswa.
Pilihan raya kampus, contohnya mendedahkan mahasiswa kepada amalan demokrasi di Malaysia. Melalui pilihan raya kampus, mahasiswa diajar proses memilih pemimpin berdasarkan organisasi yang diwakili, selain mesti mempunyai ciri kepemimpinan sendiri. Justeru, pembabitan mereka dalam politik kampus adalah antara proses pembinaan karakter dalam kepemimpinan. Ini kerana setiap pengalaman akan menjadi pembelajaran yang sangat berguna.
Langkah beberapa universiti awam yang membenarkan mahasiswa mengundi pada pilihan raya umum akan datang dilihat bijak. Ini akan menjadikan mahasiswa itu lebih matang dan bertanggungjawab dalam mencorakkan gaya kepemimpinan negara pada masa akan datang. Justeru, pembabitan mahasiswa sebagai pengundi pada pilihan raya umum akan membuatkan mahasiswa berasa lebih dihargai kerana suara mereka diambil kira oleh pucuk pimpinan negara.
Mahasiswa semestinya akan membuat persiapan rapi sebelum mengundi seperti mengambil kira ciri-ciri pemimpin yang akan dipilih berdasarkan penelitian dan rujukan mereka.
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nasrul Hakim Ahmad, berkata kesedaran berpolitik di kampus semakin ketara berdasarkan pembabitan mereka dalam proses pilihan raya bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar.
“Kajian peratusan keluar mengundi pelajar sarjana muda mencatatkan lebih 90 peratus sejak 2007 hingga 2011. Mengikut data yang direkodkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, secara purata seorang pelajar terbabit dalam aktiviti dan pembabitan dalam pelbagai program sepanjang tempoh pengajian ialah 28.8 peratus,” katanya.
Oleh itu, katanya, mahasiswa perlu prihatin dengan melaksanakan tanggungjawab kepada negara sebagai warga kampus dan rakyat untuk keluar mengundi apabila diberikan peluang nanti.
Mahasiswa yang berketerampilan dan berilmu pengetahuan dapat memberikan input yang bermakna kepada negara. Mereka juga perlu menunjukkan kesungguhan dan ketekunan dalam bidang akademik untuk memastikan pencapaian yang cemerlang dalam bidang diceburi. Ini selaras dengan saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa pelajar supaya melengkapkan diri bagi mencapai Wawasan 2020 dengan menghindarkan diri daripada dikuasai budaya dan nilai hidup kebaratan yang tidak sesuai dengan kemajuan negara.
Kata beliau, tanpa pelajar yang cemerlang dan dinamik ini, hasrat kerajaan untuk melihat sebuah negara maju mengikut acuan Malaysia pada 2020 nanti mungkin tidak tercapai.
Malah, seorang cendekiawan Indonesia, Allahyarham Mohammad Natsir yang juga bekas Menteri Indonesia pernah mengatakan: “Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah gelandangan ummah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat.” Oleh itu, mahasiswa perlu melengkapkan diri mereka dengan sifat pemimpin iaitu sekurang-kurangnya bertanggungjawab, amanah dan berani memperjuangkan hak mereka.
Penulis masih menuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan