Sabtu, 21 April 2012
ISU KENEGARAAN : Sidang Parlimen catat sejarah
NOOR AZURA SAHRIL
SHAH ALAM - Pertama kali dalam tempoh 22 tahun, persidangan Parlimen mencatat sejarah apabila Dewan Rakyat ‘menggantung’ masa bagi membolehkan semua aturan urusan mesyuarat dan usul diselesaikan.
Difahamkan, kali pertama sidang Dewan Rakyat mengalami keadaan serupa ialah ketika perbahasan Ordinan Darurat Kelantan pada 1977 berlaku ketika Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tun Zahir Ismail yang berakhir sehingga jam 2.45 pagi.
Persidangan dewan bagi sesi penggal ini ditangguhkan pada jam 3.22 pagi, selepas 22 hari bersidang yang dipengerusikan Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dewan Rakyat bersidang sehingga awal pagi Jumaat bagi membolehkan semua aturan urusan mesyuarat dan usul diselesaikan.
Dewan telah membahaskan dan meluluskan lapan Rang Undang-undang pada sidang dewan yang terakhir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Peraturan Mesyuarat 90(2) digunakan bagi menggantung Peraturan Mesyuarat 12 yang menyatakan semua aturan mesyuarat mesti diselesaikan pada hari yang sama.
“Perkara ini tidak pernah terjadi sejak saya telibat dalam hal ehwal Parlimen,” katanya di lobi Parlimen, semalam.
Arahan Tetap 12 menyatakan setiap sidang Dewan Rakyat dibenarkan untuk mencecah tempoh 5.30 pagi bagi melengkapkan perbahasan pada hari tersebut.
Usul Nazri itu disokong Timbalannya, Datuk VK Liew dan diluluskan.
Usul itu membenarkan Dewan Rakyat untuk dilanjutkan bagi melengkapkan perbahasan dan meluluskan lapan rang undang-undang yang telah disenaraikan untuk slot semalam.
Mohamed Nazri membentangkan usul tersebut sebelum tengah malam kelmarin ketika Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2012 untuk bacaan kali kedua.
Ketika usul itu dikemukakan, terdapat 34 Ahli Parlimen Barisan Nasional, 17 anggota pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.
Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan