Sabtu, 21 April 2012
ISU SOSIAL : Daya tahan diri perisai hadapi dugaan kesenangan
Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my
Solat peneguh amali, sederhana perkasa naluri
TIADA manusia yang tidak inginkan kesenangan dalam hidupnya malah, kedatangan Islam membawa rahmat yang antaranya adalah kesenangan supaya manusia dapat memenuhi keperluan hidup, membantu sesama manusia, beribadat dan meningkatkan keimanan serta ketakwaan.
Namun, dalam mencari kesenangan, kita juga perlu memperkuatkan diri dengan daya tahan dalaman. Jika sebelum ini kita membincangkan cara memperoleh ketahanan diri menghadapi dugaan, kali ini saya ingin mengetengahkan bagaimana usaha memperkasakan diri apabila berada dalam kesenangan dan peluang mencapai kesenangan.
Diingatkan, kesenangan juga adalah dugaan untuk melihat sejauh mana kita mensyukurinya. Malah dugaan kesenangan itu lebih berat daripada dugaan kesengsaraan kerana semasa dalam kesenangan kita lebih mudah alpa, leka, lalai dan lupa diri.
Begitu juga kerana ingin mendapatkan kesenangan, kita sering kalah dengan tarikannya yang menyalahi syarak seperti sogokan dalam pelbagai bentuk ganjaran dan habuan kesenangan serta penipuan.
Penjawat awam, dikawal dan dipandu pelbagai sistem pengawasan serta pencegahan seperti Akta Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam dan Panduan Tatakelakuan Penjawat Awam.
Namun, semua sistem ini hanya sebagai sokongan luaran saja. Apa yang lebih utama ialah sistem daya tahan dalaman diri seseorang membina kekuatan untuk tidak memberikan walaupun pertimbangan kepada tarikan itu.
Ketahanan diri penting apabila kita sudah berada dalam kesenangan untuk menahan daripada menyalahgunakan harta kesenangan dengan bersifat boros, tamak, monopoli dan lokek.
Kesenangan menyebabkan kita leka, lupa diri, malas, sombong dan lalai melaksanakan tanggungjawab sesama manusia dan kepada Allah serta menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.
Semua adalah kesan daripada kelemahan daya tahan diri. Justeru, ketika berada dalam kesenangan dan berhadapan peluang kesenangan, daya tahan diri mampu menjadi perisainya untuk mengelak manusia hilang nilai insani dan mengelak kesenangan itu nilainya bersifat zahiriah saja.
Hakikatnya, kesenangan dan peluang mendapat kesenangan boleh menjadi musuh di hari akhirat sekali gus menyebabkan sumber rezeki tidak diberkati.
Peringatan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kelak pada hari kiamat, ada yang datang dengan tubuh perkasa tetapi nilai dirinya di sisi Allah lebih kecil dari seekor nyamuk.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya kita tidaklah dianggap berkuasa kerana jawatan, dianggap kaya kerana harta yang melimpah ruah dan dianggap perkasa hanya kerana fizikal yang kuat. Hakikat kaya, kuasa dan kuat ialah apabila kita berjaya menahan semua daripada disalah guna.
Allah SWT memerintahkan dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu mengambil peringatan.” – (Surah al-Nahl, ayat 90)
Ketahanan diri boleh diperkasa melalui pelbagai cara antaranya solat dan bersederhana. Solat menjadi perisai daripada pelbagai kemungkaran dan kesederhanaan sebagai perisai mengawal naluri keinginan kesenangan yang berlebih-lebihan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu), dan janganlah begitu (kelak kamu akan mengetahui). Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan yakin, nescaya kamu akan melihat neraka jahim. Dan sesungguhnya kamu akan benar-benar melihat dengan ainul yaqin, kemudian kamu akan pasti ditanya pada hari itu kenikmatan (yang kamu negah-megahkan di dunia).” (Surah al-Takatsur, ayat 1-8)
Bagi penjawat awam khasnya marilah kita memperkasakan solat sebagai peneguh amali dan menjadikan sederhana peneguh naluri dalam memperoleh kesenangan yang halal lagi diberkati.
Implikasinya disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa mencari dunia dengan cara yang halal untuk menjauhkan dirinya daripada mengemis, menjaga harga diri keluarga dan berbelas kasihan sesama tetangga, nescaya ia akan bertemu Allah dan wajahnya bersinar seperti bulan purnama.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Marilah bersama kita berusaha mencari dan memelihara nikmat kesenangan dengan memperkasakan ketahanan dalaman supaya ia tidak menghilangkan kebaikan di akhirat nanti.
Maksud doa Rasulullah yang sangat indah: “Ya Allah jauhilah daku dari dunia yang menghalang kebaikan akhirat.” Mudah-mudahan doa ini boleh kita jadikan ingatan dan munajat setiap hari dalam membina daya tahan mencari kesenangan dunia.
Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan