Azman Anuar
SEKARANG, walaupun ramai orang besar kata mereka sentiasa
mendaulatkan bahasa Melayu tetapi hakikatnya tidaklah sedemikian. Dalam bab
memartabatkan bahasa rasmi negara ini, ia masih meragukan.
Bukan sahaja ‘pembesar-pembesar’ dalam dunia korporat Melayu
tidak mengutamakan pengiklanan dalam bahasa Melayu di media dan akhbar
tempatan, malah program-program anjuran jabatan kerajaan pun ada dibuat dalam
bahasa Inggeris.
Cuba tinjau program yang dianjurkan oleh kementerian atau
jabatan kerajaan, ada yang tanpa rasa malu mengetengahkan bahasa Inggeris pada
program atau tayangan video/slide.
Sepatutnya sebagai jabatan kerajaan, mereka mengutamakan
bahasa Melayu. Kalau pun program bersama bukan Melayu, semua pihak wajib tahu
berbahasa Melayu.
Kalau sebilangan pegawai atasan kerajaan pun ‘malu-malu’
untuk guna bahasa kebangsaan, apatah lagi orang swasta.
Nampak sangat pegawai-pegawai kerajaan sebegini tidak
menjiwai semangat cinta akan bahasa sendiri. Memang mereka terdiri daripada orang
Melayu, boleh berbahasa Melayu dan Inggeris. Tapi keutamaan bahasa diletak pada
tempat yang salah.
Kalau pegawai tertinggi kerajaan tidak menghormati dan
memartabatkan bahasa Melayu, janganlah kita terlampau mengharapkan syarikat
bukan Melayu akan mematuhinya.
Agak-agaknya bila kita tidak perlu lagi bercakap soal
mendaulatkan bahasa kebangsaan? Saban tahun kita asyik membicarakan tentang
bahasa kebangsaan yang semakin hilang tempatnya.
Jangan kita salahkan orang bawahan jika orang atasan
terutama pemimpin kerajaan sendiri ‘malas’ untuk mengangkat bahasa ibundanya
sendiri.
Sebab itu masyarakat Cina dan India mempertahankan
bermati-matian sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil daripada ditutup. Mereka
tidak mahu perkembangan bahasa dan tulisan ibunda masing-masing terhapus
sebagaimana sedang dialami oleh tulisan jawi yang menjadi warisan orang Melayu.
Kita asyik menafikan bahasa Melayu tidak diabaikan dalam
segala urusan terutama sektor awam tetapi hakikatnya tanpa disedari bahasa itu
menjadi ‘eksklusif’ hinggakan malu untuk dipertuturkan. Kadangkala dalam majlis
rasmi kerajaan dan mesyuarat pun bahasa Inggeris yang dikumandangkan.
Bukan tetamu yang hadir tidak tahu bahasa Melayu, tetapi
mulut mudah memantulkan bicara dalam bahasa Inggeris. Mengapa jadi begini?
Mungkin kita harus terima hakikat, generasi berpendidikan aliran Inggeris masih
ada dalam tampuk pimpinan kerajaan dan swasta. Jadi mereka masih kurang peka
dan ‘terbiasa.’
Saf-saf kepimpinan ini akan bersara dalam beberapa tahun
mendatang. Tempat mereka akan diambil pula oleh generasi aliran bahasa Melayu
sepenuhnya. Entahlah, apakah saf kepimpinan aliran bahasa Melayu ini boleh
diharapkan atau tidak untuk mengembalikan martabat penggunaan bahasa Melayu
dalam segala urusan kerajaan. Tunggulah...
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan