Khamis, 17 Mei 2012

ISU BUDAYA WARISAN : Falsafah Wayang Kulit



Oleh : Adlan Jaafar

SEBAIK lampu di belakang layar putih dihidupkan, susunan watak wayang kulit serta-merta hidup. Suara tok dalang, panggilan kepada individu yang menghidupkan karakter tersebut berkumandang di seluruh ruang bilik.

Mula mengenali wayang kulit seawal usia tiga tahun, Che Mohd. Nasir Yusof, mempelbagaikan intonasi suara mengikut karakter yang dimainkan.

Watak utama, Raja Seri Rama bersuara tegas tetapi bersopan manakala Tuan Puteri Siti Dewi pula bersuara halus. Watak-watak comic relief seperti Wak Long dan Pak Dogo mempunyai nada lucu dan sedikit kelam-kabut.

Pertuturan tok dalang memiliki dinamik apabila menghasilkan ketegangan pada adegan-adegan tertentu. Dialog-dialog disampaikan berkisar isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara.

Bagi memberi isyarat kepada pemuzik untuk pengenalan babak seterusnya dan menghasilkan kesan bunyi, tok dalang menggunakan sejenis alat yang digelar sebagai pemetik.

"Jadi tok dalang mesti tahu serba-serbi. Mesti tahu menebang pokok untuk buat alat muzik. Harus pandai menjahit baju dan memasak untuk ahli kumpulan," kata lelaki yang dikenali sebagai Pak Nasir ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar lelaki yang berusia 56 tahun itu, wayang kulit Kelantan bersifat tiga dalam satu. Ia mempunyai tiga pengaruh agama iaitu Buddha, Hindu dan Islam.

Pengaruh Buddha dapat dilihat pada kesenian penghasilan watak manakala unsur-unsur Hindu boleh dikesan melalui penggunaan cerita epik Ramayana tetapi nama karakter telah dimelayukan.

Sehubungan itu, ada kalangan pakar-pakar berpendapat wayang kulit Kelantan memiliki hampir 95 peratus unsur Hindu.

Namun begitu, bagi Pak Nasir, karakter dan seni fizikal hanya unsur luaran. Paling penting ialah falsafah yang terkandung dalam sesebuah persembahan dan wayang kulit yang dimainnya sarat dengan unsur keislaman.

Kata lelaki yang berasal dari Kampung Bunohan, Kelantan itu, penggunaan seorang tok dalang yang mengawal semua perkara memberi tafsiran bahawa tuhan itu satu.

"Semua karakter sama ada baik mahupun jahat berupa raksasa, jin dan jembalang seperti Bota Raja Wana akan tunduk pada kekuasaan tok dalang," terang Pak Nasir yang telah ke Jepun sebanyak sembilan kali atas tiket wayang kulit.

Gambaran masyarakat

Wayang kulit Kelantan yang dipentaskan pada waktu malam juga mempunyai maksud tersirat. Ketika manusia berada dalam kegelapan, kita memerlukan cahaya untuk dijadikan panduan.

Bayang-bayang itu sendiri memberi gambaran kepada masyarakat umum bahawa lumrah manusia, lekas benar mengalami 'gila bayang' terhadap semua perkara seperti kuasa, wanita dan harta sehingga lupa tanggungjawab.


Mengikut teks asal epik Ramayana versi Melayu, hanya ada tiga karakter iaitu Tuan Puteri Siti Dewi, Raja Seri Rama dan Bota Raja Wana.

Ketiga-ketiga karakter menjadi refleksi pada unsur manusia (Raja Seri Rama), kebaikan (Tuan Puteri Siti Dewi) dan kejahatan (Bota Raja Wana).

Dalam permainan wayang kulit, barulah karakter-karakter lain seperti Maha Risi, Raja Muda Laksamana, Wak Long dan Pak Dogo diwujudkan.

Berbeza dengan wayang kulit Purwa dari Indonesia, mereka lebih menekankan teknik pergerakan karakter. Justeru, ia boleh dimainkan pada waktu siang.

Ia juga bersifat budaya dan dimainkan oleh masyarakat Jawa dan Bali tanpa mengira agama dan semua karakter berpakaian tradisonal Jawa.

Pak Nasir juga tidak menolak terdapat unsur-unsur mistik dalam wayang kulit dengan memuja karakter Pak Dogo. Tindakan itu bertujuan supaya ramai penonton dan berharap mereka datang kembali untuk menonton.

"Tetapi sebagai manusia yang membuat semua karakter ini, mengapa harus kita memuja mereka? Sepatutnya watak-watak ini yang harus tunduk kepada manusia," tegas Pak Nasir.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan