PUTRAJAYA:
Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, darah tinggi dan diabetes kini
merupakan ancaman kesihatan baru di negara ini dengan jumlah pesakitnya
meningkat setiap tahun.
Ketua Pengarah
Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, tinjauan Kesihatan dan
Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun lepas mendapati kira-kira 5.8 juta
rakyat Malaysia menghidap darah tinggi, 2.5 juta mengalami masalah obesiti dan
2.6 juta menghidap diabetes.
"Situasi NCD
di negara ini amat merunsingkan. Apa yang membimbangkan ialah masih ramai
rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka telah menghidap NCD dan ramai
lagi tidak sedar mengenai risiko penyakit ini dan menganggap ia perkara
remeh," katanya kepada pemberita di sini Ahad.
Terdahulu itu, Dr
Hasan merasmikan Kem Kesedaran Kesihatan (3K) anjuran Kelab Lembaga Jururawat
Kuala Lumpur di Kompleks Kejiranan, Presint 11 di sini Ahad.
Tinjauan NHMS
pada tahun lepas menunjukkan penyakit diabetes meningkat 15.2 peratus
berbanding 11.6 peratus pada tahun 2006, darah tinggi di kalangan dewasa
berumur 30 tahun meningkat dari 32.2 peratus kepada 32.7 peratus bagi tempoh
yang sama.
Tinjauan itu juga
menunjukkan obesiti meningkat tiga kali ganda iaitu dari 4.4 peratus pada tahun
1996 kepada 15.1 peratus tahun lepas manakala kelaziman merokok turut meningkat
kepada 24.7 peratus berbanding 21.5 peratus tempoh yang sama.
Dr Hasan berkata,
kementerian mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kempen kesedaran di 88
lokasi di seluruh negara untuk memastikan rakyat mendapat pendedahan bagi
mengenal pasti jenis penyakit yang dihidapi.
Selain itu,
beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan juga akan menjalankan
aktiviti yang sama di lokasi terpilih untuk mendapatkan pendedahan dan rawatan
awal.
Dr Hasan berkata,
punca utama seseorang menghidap NCD ialah masyarakat kini mengamalkan amalan
hidup dan pemakanan tidak sihat serta kurang bersenam.
Selain itu,
beliau berkata, tinjauan NHMS mendapati ramai rakyat Malaysia tidak melakukan
ujian saringan kesihatan secara berkala.
"Individu
yang menghidap NCD tidak mengalami sebarang gejala dan kadang-kalaia hanya
dapat dikesan selepas tujuh hingga 10 tahun.
"Sehubungan
itu, kementerian menyarankan rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas
menjalani ujian saringan faktor risiko NCD setiap tahun untuk memastikan tahap
kesihatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan