KUALA LUMPUR :
Sikap pengguna jalan raya di negara ini yang tidak sabar, kelam-kabut, suka
memandu laju dan menukar lorong dengan sesuka hati, perlu diubah untuk
mengurangkan kemalangan.
Anggota Majlis
Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kempen
keselamatan jalan raya memang perlu diadakan, tetapi ia tidak akan berhasil
selagi pengguna tidak mematuhi perkara asas berkaitan keselamatan dan sikap
berhemah serta tidak mengubah sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab
masing-masing ketika di jalan raya.
"Mereka
sedar mengenai bahaya di jalan raya, tetapi reaksi mereka berubah apabila
mereka memandu, dan membahayakan nyawa sendiri serta nyawa orang lain apabila
mereka menganggap jalan dan lebuh raya sebagai trek perlumbaan Formula Satu," katanya
dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata,
Malaysia mengalami kerugian lebih kurang RM9 bilion setahun akibat kemalangan
jalan raya melalui perbelanjaan untuk membaiki kerosakan, membayar insurans dan
bil perubatan.
"Kajian
menunjukkan lebih separuh daripada kemalangan jalan raya membabitkan mereka
yang berusia antara 18 dan 40 tahun, yang juga aset penting negara,"
katanya.
Lee berkata, pada
2010, 414,421 kes kemalangan jalan raya dilaporkan, berbanding 397,330 pada
tahun sebelumnya, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus. Jumlah
kematian akibat kemalangan jalan raya pula meningkat dua peratus kepada 6,872
pada 2010 daripada 6,745 pada 2009.
Katanya,
kemalangan kenderaan bermotor adalah kes tertinggi berkaitan kemalangan dan
kematian berkaitan kerja.
"Masalahnya,
ada orang yang tidak pernah mengambil pengajaran daripada gambar-gambar
mengerikan mengenai kenderaan yang remuk,
mayat bergelimpangan, mangsa yang mengerang kesakitan dan kepiluan yang dialami oleh keluarga
mereka," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan